"LIONSXII mahu menyerang? Hmmm... Kami ke sini juga bukan untuk bermain secara defensif."
Demikian jawapan ringkas dan padat ketua jurulatih dan pengurus Selangor FA, Mehmet Durakovic, apabila diberitahu bahawa rakan sejawatnya, Fandi Ahmad, akan menggempur kubunya apabila kededua musuh tradisi itu bertemu dalam perlawanan kedua pertandingan Liga Super Malaysia (MSL) di Stadium Jalan Besar malam esok.
Jawapan itu sekali gus membayangkan satu permainan menarik dan mendebarkan antara LionsXII dengan Selangor, yang mempunyai sejarah persaingan sengit sejak era Piala Malaysia 1970-an lagi.
Dalam pertandingan musim lalu, LionsXII muncul juara, mengalahkan Selangor di tempat kedua dengan perbezaan tiga mata.
"Kami sedar LionsXII mempunyai seorang jurulatih yang baik dan ikon di Singapura dalam Fandi Ahmad.
"Saya juga sedar LionsXII mempunyai rekod yang baik dan tidak pernah kalah di padang sendiri di Stadium Jalan Besar.
"Ini ditambah pula dengan skuadnya yang terdiri daripada pemain muda dan berbakat yang sanggup bekerja keras untuk mencatat kemenangan.
"Tetapi kami juga mempunyai skuad serupa, yang muda dan bersungguh-sungguh berusaha untuk menang," kata Durakovic seakan 'membeli' cabaran yang dibentangkan Fandi kepada dirinya.