Berbekal hasrat membuat penampilan sulung bersama skuad senior Singapura, pemain tengah, Jared Gallagher, sentiasa mengagumi ketenangan pemain berpengalaman seperti Safuwan Baharudin ketika berdepan dengan tekanan pasukan lawan.
“Saya banyak belajar daripada pemain seperti Safuwan yang telah capai semuanya, termasuk pernah bermain dalam perlawanan berprestij seperti di final Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2),” kata Jared, 23 tahun, kapten pasukan Liga Perdana Singapura (SPL), Albirex Niigata.
“Melihat bagaimana mereka kekal tenang di bawah tekanan merupakan sesuatu yang saya ingin pelajari dan dijadikan sebahagian daripada permainan saya sendiri.”
Mengimbas kekecewaannya apabila tidak tersenarai semula selepas panggilan pertama ke skuad nasional pada Mac 2024, Jared berkata kali ini keadaannya berbeza.
Pemain midfield itu menjelaskan bahawa beliau lebih matang dan bersedia beraksi secara konsisten bersama skuad Singa.
Jared juga percaya beliau mampu memberi sumbangan berharga di bahagian tengah pasukan.
“Saya boleh memastikan penguasaan bola sepak yang kemas dan kawal rentak perlawanan,” kata beliau dengan yakin.
“Gaya bola sepak saya agresif, saya mahu menang semula setiap kawalan bola dan setiap pertarungan.”
Bercakap dengan Berita Harian (BH) di Parkroyal Beach Road pada 28 Ogos, ketua jurulatih sementara skuad nasional, Gavin Lee, turut menyatakan keinginan melihat reaksi para pemainnya apabila turun beraksi dalam dua perlawanan ujian sukar menentang Malaysia pada 4 September dan kemudian Myanmar pada 9 September.
Beliau mendedahkan bahawa pemilihan pemain untuk skuad beliau bukan sekadar berdasarkan kualiti, tetapi semangat mereka untuk berjuang mati-matian demi negara.
“Kami inginkan pemain yang memahami nilai menyarungi jersi negara, dan akan memberikan segala-galanya dalam padang. Kami mahukan pemain yang sanggup berjuang bersama kami melalui detik-detik sukar,” katanya.
Perlawanan persahabatan menentang Malaysia dan Myanmar berfungsi sebagai persiapan menghadapi aksi penting kelayakan Piala Asia Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menentang India pada Oktober nanti.
“Kami sedar bahawa perlawanan (menentang Malaysia) adalah persaingan yang penuh bersejarah. Namun yang lebih penting adalah bagaimana kami bertindak apabila menghadapi detik-detik sukar,” kata jurulatih berusia 34 tahun itu.
“Perlawanan ini adalah peluang yang baik untuk menguji keupayaan para pemain... membuat keputusan yang betul di padang, mendorong satu sama lain dan membakar lagi semangat kami – semuanya perkara yang kami perlukan untuk berjaya apabila menentang India.”
Bekas jurulatih BG Tampines Rovers itu menekankan kepentingan meraih pengalaman dan pengajaran tersebut sebelum Oktober tiba agar mereka dapat bersedia sebaiknya apabila menentang India.
Beliau juga kerap menekankan kepentingan untuk mendapatkan kesemua enam mata untuk perkukuhkan lagi peluang pasukannya mara ke pusingan Piala Asia seterusnya.
Pasukan Singa kini menduduki tempat teratas dalam Kumpulan C, tetapi Hong Kong juga mempunyai empat mata.
Hanya juara kumpulan akan layak ke peringkat seterusnya, justeru untuk mengumpul sebanyak mungkin mata menjadi tujuan terpenting dalam persaingan Kumpulan C.
Lee mengalu-alukan agar penyokong Singapura berikan sokongan dan semangat sepenuhnya untuk pasukan Singa.
“Tanpa sokongan peminat, perjuangan ini hampir mustahil. Kami benar-benar memerlukan semua untuk bersama-sama dan memberikan dorongan tambahan kepada kami,” ujar beliau.
“Apabila pemain melangkah ke padang, sokongan anda memberikan mereka kekuatan.”
“Bersama-sama, kami akan memberikan segala yang kami ada untuk menghasilkan prestasi yang boleh dibanggakan oleh negara.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg