Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiga pemain baru dalam skuad Singa jelang persiapan kelayakan Piala Asia

Jurulatih sementara Gavin Lee panggil 25 pemain untuk perlawanan persahabatan lawan M’sia, Myanmar
Aug 26, 2025 | 7:09 PM
Pemain tengah Albirex Niigata, Jared Gallagher, telah mendapat tumpuan ketua jurulatih sementara Singapura, Gavin Lee, sehingga dipanggil untuk sertai skuad pagi tempoh rehat September.
Pemain tengah Albirex Niigata, Jared Gallagher, telah mendapat tumpuan ketua jurulatih sementara Singapura, Gavin Lee, sehingga dipanggil untuk sertai skuad pagi tempoh rehat September. - Foto BH oleh KHALID BABA

Tiga pemain kelab Liga Perdana Singapura (SPL) bakal menyarung jersi Singapura buat kali pertama menjelang dua perlawanan persahabatan menentang Malaysia dan Myanmar pada September.

Ketiga-tiga pemain tersebut adalah penjaga gol Geylang International, Rudy Khairullah; pemain tengah Albirex Niigata, Jared Gallagher; dan penyerang Balestier Khalsa, Ignatius Ang.

Mereka adalah antara 25 pemain yang disenarai untuk menyertai latihan semasa tempoh rehat Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) pada September, sebagai persiapan menjelang aksi kelayakan Piala Asia AFC menentang India nanti. 

Ini dinyatakan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dalam satu kenyataan pada 26 Ogos.

“Kami tahu Malaysia adalah pasukan yang kuat, dan ini adalah perlawanan derbi seberang tambak. Perlawanan sebegini sepatutnya membakar semangat kami untuk memberikan yang terbaik.

“Perlawanan kedua menentang Myanmar juga penting, kerana ia memberi ruang kepada kami untuk mencuba pendekatan taktikal yang berbeza,” katanya.

Perlawanan menentang Malaysia dijadualkan berlangsung pada 4 September, 9 malam, di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Selepas pertemuan dengan Malaysia, skuad Singa akan pulang ke Singapura untuk menentang Myanmar dalam satu perlawanan antarabangsa tertutup pada 9 September.

Antara pemain lain yang dipanggil ialah pemain pertahanan Hougang United, Ryaan Sanizal, yang kini semakin hampir untuk mengukuhkan tempatnya dalam skuad kebangsaan selepas pulih daripada kecederaan.

“Detik yang sangat membanggakan, bukan sahaja untuk saya, malah bagi keluarga saya juga,” kata pemain berusia 23 tahun itu.

“Beberapa bulan lepas tidak mudah, dengan Perkhidmatan Negara dan kecederaan, tetapi alhamdulillah saya percaya segala-galanya yang berlaku ada sebabnya.

“Kini saya bersedia berjuang untuk negara dan bagi tempat saya dalam pasukan,” tambahnya.

Namun, beberapa pemain ternama, seperti kapten pasukan, Hariss Harun, serta penyerang Singa, Ikhsan Fandi serta Ilhan Fandi, tidak termasuk dalam senarai tersebut.

Menurut kenyataan media FAS juga, senarai penuh pemain yang dipanggil untuk tempoh rehat September akan diumumkan pada 31 Ogos.

Turut menyertai barisan kejurulatihan pasukan kebangsaan ialah bekas pemain antarabangsa Singapura, Fahrudin Mustafic, yang pernah bekerjasama dengan Lee sebagai penolong jurulatih BG Tampines Rovers dari 2019 hingga Jun 2025.

Menurut Lee, setiap sesi latihan dan perlawanan dalam tempoh rehat tersebut perlu dimanfaatkan sepenuhnya sebagai persediaan terbaik menghadapi perlawanan kelayakan akan datang.

“Tumpuan kami dalam tempoh rehat ini adalah untuk melakukan setiap perkara dengan tujuan yang jelas – baik di atas padang latihan mahupun dalam perlawanan persediaan – agar kami berada dalam kedudukan terbaik untuk layak ke Piala Asia,” ujar bekas ketua jurulatih Tampines itu. 

Singapura kini menduduki tempat teratas dalam Kumpulan C dengan empat mata setelah menewaskan Bangladesh 2-1 di Stadium Kebangsaan Bangabandhu, Dhaka, pada 10 Jun dan seri 0-0 bersama Hong Kong di Stadium Negara pada 25 Mac.

Pasukan Singa akan berdepan India di padang sendiri pada 9 Oktober dan juga 14 Oktober di Stadium Jawaharlal Nehru.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg