Jurulatih sepak takraw kebangsaan dan bekas pemain negara, Salleh Nanang, terpaksa “rehatkan diri” daripada Sukan SEA kurang sebulan sebelum kejohanan bermula, selepas mengalami serangan jantung secara tiba-tiba semasa menghadiri kursus pertolongan cemas (first aid) pada 22 November.
Kejadian tersebut mengejutkan masyarakat sepak takraw dan juga dalam kalangan anggota keluarga terdekat, memandangkan Salleh tidak mempunyai sejarah masalah jantung sebelum ini.
Apabila ditanya tentang penglibatan Salleh susulan kejadian tersebut, pengurus pasukan, Hilman Farid, menjelaskan bahawa keputusan belum ditentukan dan ia memerlukan masa untuk menilai keadaan kesihatan beliau dahulu.
Sementara itu, penolong jurulatih, Nur Hisham Adam akan mengambil alih urusan pasukan buat sementara.
Serangan jantung tersebut berlaku semasa Salleh sedang hadir bagi kursus first aid di Bangunan PKMS yang terletak di Changi Road.
Ketika melakukan latihan praktikal bantuan pernafasan kecemasan atau resusitasi kardiopulmonari (CPR) – selepas beliau selesai menjalani penilaian – beliau tiba-tiba rebah.
Isterinya, Cik Aini Mohd Amin, 54 tahun, menerima panggilan di rumah mereka di Yishun dan diminta datang segera.
Mereka terus menaiki Grab ke jabatan Kemalangan dan Kecemasan (A&E) Hospital Besar Changi (CGH) dan tiba sekitar 10 pagi.
Di sana, Salleh segera dinilai doktor dan dibawa bagi pembedahan kecemasan.
Sebelum menjalani pembedahan, doktor meminta beliau membuat panggilan video kepada isterinya – detik yang sangat mengerikan baginya.
“Saya mula rasa risau, dan rasa macam panggilan terakhir,” kongsinya.
Doktor kemudian menjalankan prosedur untuk membuka saluran ke jantung yang tersumbat.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar, pemulihannya pun agak cepat,” kata Cik Aini.
Pada malam 23 November, beliau sudah dialihkan daripada Unit Jagaan Rapi (ICU) ke wad biasa.
Apabila Berita Harian (BH) menemuinya di CGH, beliau kelihatan ceria, malah sempat bergurau dengan isterinya.
Yang lebih mengagumkan lagi, semangatnya terhadap sepak takraw dan pasukan, yang diibaratkan sebagai “sudah menjadi darah dagingnya”, tidak pernah pudar.
“Untuk Sukan SEA… saya selalu doakan pasukan negara berjaya, tunjukkan prestasi dan permainan yang terbaik,” katanya, tetap memberikan sokongan penuh kepada anak didiknya walaupun tidak dapat berada di sisi mereka.
Doktor menasihatkan beliau supaya berehat sepenuhnya dan beliau tidak dibenarkan menaiki pesawat, sekali gus mengesahkan bahawa beliau tidak dapat mengikuti pasukan ke Sukan SEA.
Namun Salleh tetap bersemangat.
“Saya sasarkan nak kembali semula pada Mei 2026, sebelum Piala Dunia sepak takraw,” katanya yakin, dengan harapan dapat kembali memimpin pasukan apabila tiba waktunya.
Beliau turut berharap pengalamannya menjadi pembakar semangat buat pasukan.
“Sakit ini biarlah jadi kekuatan dan dorongan untuk pemain beri yang terbaik,” ujarnya.
Bagi isterinya, kejadian tersebut masih meninggalkan kesan mendalam. Beliau teringat saat-saat cemas di A&E, ketika doktor dan jururawat bertungkus-lumus menyelamatkan suaminya.
“Saya sangat bersyukur beliau sekarang stabil. Masa kejadian itu keadaannya memang sangat kritikal, tapi saya tak pernah putus harapan. Dengan berkat doa semua dan sokongan keluarga yang ramai datang, kami dapat mengatasinya,” katanya.
Beliau juga tersentuh dengan sokongan yang datang bukan sahaja dari keluarga dan rakan-rakan, bahkan daripada kenalan jauh, termasuk dari Amerika Syarikat dan India.
“Orang lain mungkin kenal beliau sebagai jurulatih sepak takraw atau bekas pemain, tapi bagi saya beliau cuma suami saya. Kesihatannya adalah keutamaan saya,” ujar Cik Aini.
Kini, Salleh memberi tumpuan kepada proses pemulihan sambil menghargai setiap mesej dan doa yang diterima.
Walaupun terpaksa ketinggalan, hatinya tetap bersama pasukan yang dibimbingnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg