Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasukan takraw ambil iktibar dari kekalahan Piala Raja Thailand

Kekalahan berikutan masalah kecederaan, pemain jatuh sakit, serta jadual perlawanan sangat padat
Jul 28, 2025 | 6:04 PM
Walaupun beraksi penuh semangat, pasukan takraw Singapura terpaksa akur dengan kekalahan di kejohanan Piala Raja Thailand. Jurulatih pasukan, Salleh Nanang, menegaskan bahawa pengalaman tersebut merupakan amaran penting bagi pasukannya untuk Sukan SEA pada Disember nanti.
Walaupun beraksi penuh semangat, pasukan takraw Singapura terpaksa akur dengan kekalahan di kejohanan Piala Raja Thailand. Jurulatih pasukan, Salleh Nanang, menegaskan bahawa pengalaman tersebut merupakan amaran penting bagi pasukannya untuk Sukan SEA pada Disember nanti. - Foto ISTAF

Jurulatih pasukan sepak takraw Singapura, Salleh Nanang, tampil mempertahankan pasukannya, selepas pasukannya mengalami kekalahan teruk pada kejohanan Piala Raja Thailand baru-baru ini – termasuk kekalahan 15-0, 15-2 kepada juara pertandingan, Thailand.

Berkongsi pengalaman sepanjang kejohanan, beliau berkata pasukannya menghadapi beberapa cabaran, antaranya masalah kecederaan, pemain jatuh sakit, serta jadual perlawanan yang sangat padat.

“Kami terpaksa bermain empat perlawanan dalam sehari dengan tempoh rehat yang sangat singkat. Ada hari kami berakhir bermain sehingga lewat sekitar pukul 1 pagi,” kata jurulatih berusia 62 tahun itu.

Menurut Salleh, jadual padat tersebut turut menjadi kebimbangan pasukan lain kerana ia meningkatkan risiko kecederaan.

Walau kecewa, Salleh melihat pengalaman itu sebagai pengajaran berharga dan satu amaran penting sedang pasukan sedang bersiap untuk Sukan SEA yang akan datang pada Disember ini.

Dalam Piala Raja Thailand, Singapura tewas 0-3 kepada Thailand, 1-2 kepada India dan Vietnam, tetapi berjaya menang 2-1 ke atas Brunei.

Dalam satu set perlawanan dengan Thailand, Singapura tidak berjaya memperoleh sebarang mata, dan set tersebut dimenangi Thailand dengan keputusan 15-0.

Pada set berikutnya, Singapura hanya berjaya memperoleh dua mata dan berakhir dengan keputusan 15-2.

Salleh mengakui bahawa Thailand berada pada tahap jauh lebih tinggi berbanding pasukannya.

“Servis mereka sangat kuat dan pantas. Servis mereka sukar diterima bukan sahaja oleh kami, tetapi juga oleh semua pasukan yang menentang mereka,” kongsinya.

Namun, beliau menambah bahawa pasukannya sebenarnya mampu menerima servis tersebut, tetapi gagal memanfaatkan peluang untuk melakukan pukul mati.

Pengalaman ini juga telah menonjolkan aspek yang perlu dipertajamkan dalam pasukan, dan Salleh mendedahkan bahawa latihan bagi teknik pukul mati akan menjadi tumpuan utama apabila mereka kembali ke Singapura.

Beliau turut merancang meningkatkan intensiti latihan supaya pasukan lebih bersedia menghadapi perlawanan berturut-turut, serta akan memikirkan strategi pemulihan selepas perlawanan.

Muhammad Althaqif Muhammad Taufiq berjaya pamerkan potensi besar dan semangat juang tinggi.
Muhammad Althaqif Muhammad Taufiq berjaya pamerkan potensi besar dan semangat juang tinggi. - Foto BH oleh KHALID BABA

Salleh juga mengakui beliau sedar dengan komen yang mengkritik pemilihan pemain muda terbaru Singapura, Muhammad Althaqif Muhammad Taufiq, dalam pasukan.

Namun, beliau menegaskan bahawa keputusan membawa Thaqif ke Thailand sama sekali tidak mengecewakan sebagai seorang jurulatih.

Thaqif terpaksa bermain lebih banyak perlawanan daripada yang dijangka selepas Al Mustahqin Al Lazina Al Habib mengalami kecederaan kepada kaki kirinya semasa perlawanan menentang Brunei.

Mustahqin dikejarkan ke hospital, namun keadaannya kini stabil dan akan menjalani pemeriksaan lanjut di Singapura.

Salleh berkongsi bahawa pada awalnya jelas kelihatan Thaqif agak gementar, tetapi akhirnya dia berjaya mempamerkan bakat dan potensinya.

“Saya beritahunya supaya lakukan yang terbaik sahaja. Buktikan bahawa usianya hanyalah sekadar nombor dan dia mampu bersaing dengan pemain lain yang lebih berpengalaman.”

Beliau kata apabila Thaqif menemui rentaknya, dia bukan sahaja boleh melakukan pukulan mati, malah boleh menghalang pukulan lawan juga.

Thaqif menerima banyak pujian dan sokongan, dan ramai terkejut apabila mengetahui usianya yang masih muda.

Salleh berharap prestasi dan kemunculan Thaqif dapat mendorong lebih ramai pemain muda dan baru untuk menyertai pasukan.

“Ada komen, budak 15 tahun boleh bermain di pasukan kebangsaan. Saya mahu tekankan saya tidak membawa dia sekadar untuk mengisi ruang. Asalkan pemain itu mampu bermain, dan Thaqif benar-benar menunjukkan persembahan baik,” tekan Salleh.

Dalam kategori Quadrant, prestasi pasukan juga tidak memberangsangkan: Singapura tewas 0-2 kepada Myanmar, 0-2 kepada Thailand, menang 2-0 ke atas Korea Selatan, dan kalah 0-2 kepada Malaysia.

“Bagi saya, ini adalah satu pengajaran untuk pemain supaya meningkatkan prestasi mereka dan juga sebagai amaran,” ujar Salleh.

“Saya beritahu pemain, tidak ada yang perlu rasa malu. Pemain lama pun pernah mengalami kekalahan teruk seperti ini. Tapi jangan risau, ini akan jadi motivasi untuk kami terus maju.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg