Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jurulatih skuad U-16 Singa mahu bentuk pemain berdikari

Mahu setiap pemain muda bertanggungjawab dalam perkembangan diri mereka sendiri
Jul 6, 2025 | 5:30 AM
Lion City Sailors, Ashraf Ariffin
Pengurus Akademi Lion City Sailors, Ashraf Ariffin, akan membimbing pasukan Bawah 16 Tahun (U-16) lelaki Singa dalam Piala Lion City yang akan berlangsung pada 8 hingga 13 Julai di Stadium Jalan Besar. - Foto FAS

Dalam sesi latihan bersama jurulatih baru skuad Bawah 16 Tahun (U-16) Singa, Ashraf Arrifin, pemain tidak hanya diminta menurut arahan secara membuta tuli.

Sebaliknya, mereka digalakkan bertanya dan memahami tujuan sebenar di sebalik setiap latihan yang dijalankan.

“Saya mahu mereka jadi pemain yang berdikari. Kalau mereka tak faham sesuatu latihan atau arahan, saya galakkan mereka bertanya,” kata jurulatih berusia 38 tahun itu.

Selain kemahirannya dalam aspek taktikal dan pengalamannya dalam ekosistem bola sepak tempatan, apa yang benar-benar membezakan Ashraf ialah kepercayaannya bahawa setiap pemain muda perlu bertanggungjawab terhadap perkembangan diri mereka sendiri.

“Pada tahap ini, saya tidak lagi perlu mengajar soal usaha atau semangat. Itu mesti datang daripada diri sendiri.

“Pemain harus berada di sini kerana mereka benar-benar mahu, bukan kerana terpaksa,” katanya.

Pendekatan Ashraf banyak dipengaruhi oleh latar belakangnya.

Sebelum menceburi bidang kejurulatihan sepenuh masa, beliau berkhidmat selama 12 tahun sebagai guru Matematik di sekolah menengah.

“Melatih sebenarnya satu bentuk pengajaran juga. Kalau saya faham cara kanak-kanak belajar, saya boleh sampaikan ilmu dengan lebih berkesan sebagai jurulatih,” tambah beliau.

Pengalaman itu membentuk kepercayaannya terhadap pembelajaran yang mengutamakan perkembangan pemain – falsafah yang kini dibawanya ke pasukan belia kebangsaan menjelang kempen Piala Lion City yang bakal berlangsung dari 8 hingga 13 Julai.

‘Inti’ utama pendekatan Ashraf adalah nilai daya saing – sesuatu yang dilihatnya sebagai amalan harian, bukan sekadar semangat pada hari perlawanan sahaja.

Menurut beliau, semangat daya saing bermula daripada cara pemain berehat, makan, minum, dan melakukan penilaian diri.

Beliau juga mendedahkan bahawa setiap sesi latihan dan perlawanan dirakamkan dan pemain dijangka sentiasa menilai dan menganalisis prestasi mereka.

Langkah-langkah tersebut adalah sebahagian daripada usaha membina budaya kesedaran sendiri.

Ashraf menghabiskan bertahun-tahun menimba pengalaman di pelbagai peringkat – menjadi jurulatih untuk pasukan sekolah, akademi, dan Liga Bola Sepak Nasional (NFL).

Apabila menyertai Lion City Sailors pada 2020, beliau berada di persekitaran profesional yang menuntut kecemerlangan dan memberi peluang bekerja bersama jurulatih asing bertaraf tinggi.

Beliau menganggap pendedahan itu sebagai antara ciri penting yang membentuk dirinya hari ini.

“Saya sentiasa pesan kepada jurulatih tempatan supaya belajar sebanyak mungkin daripada jurulatih asing yang ada di sekeliling kita. ‘Perah’ mereka sepenuhnya selagi mereka masih di sini,” kata pengurus akademi Sailors itu.

Sebagai jurulatih tempatan, Ashraf juga mampu menjalin hubungan dengan pemain dengan mudah dan semula jadi.

Ia membantunya mencari keseimbangan yang tepat antara bersikap tegas dengan memahami.

Dalam masanya di Sailors, Ashraf cukup dikenali kerana kebolehannya membangunkan bakat muda.

Beliau melihat kempen Piala Lion City akan datang sebagai peluang penting menilai dan memupuk generasi baru bola sepak Singapura.

“Saya yakin dengan pendekatan yang betul, persiapan rapi dan disiplin yang tinggi. Pemain muda kita mampu bersaing dengan yang terbaik di rantau ini,” terang beliau.

Walaupun keputusan tetap penting, Ashraf menegaskan bahawa keutamaannya adalah kemajuan pasukan dan perkembangan individu.

“Ramai antara pemain ini belum pernah bermain di tahap sebegini. Piala ini merupakan pendedahan pertama mereka.

“Kami mahu lihat siapa yang sudah bersedia, siapa yang sedang berkembang, dan bagaimana mereka menyesuaikan diri di bawah tekanan,” jelasnya.

Beliau turut menekankan bahawa bakat semata-mata tidak mencukupi.

Menurutnya, pemain muda perlu diberikan cabaran yang sesuai, sokongan berterusan dan persaingan sihat untuk berkembang menjadi pemain profesional bertaraf tinggi – dan jika boleh, melangkah hingga ke peringkat Eropah suatu hari nanti.

Apabila ditanya Berita Minggu (BM) tentang gaya bola sepak yang akan dipamerkan oleh pasukannya, beliau berkata mereka akan mempamerkan corak permainan yang berani, agresif, bertenaga dan berdisiplin – sama ada ketika menguasai bola atau tidak.

“Kami sudah tetapkan prinsip permainan kami. Tapi para pemain juga perlu belajar menyesuaikan diri dengan pelbagai situasi. Itu sangat penting untuk perkembangan jangka panjang mereka,” tambahnya.

Pada edisi 2023 Piala Lion City, pasukan BG Pathum United dari Thailand muncul juara selepas menewaskan wakil dari Malaysia (Selangor), Indonesia (Borneo) dan pasukan U-15 Singapura.

Pada edisi 2024, Tokyo Verdy, dari Jepun pula menjuarai kejohanan, manakala Johor Darul Takzim berjaya menewaskan pasukan U-16 Singa dalam perebutan tempat ketiga.

Walaupun keputusan itu belum memihak Singapura, Ashraf kekal memberi tumpuan pada matlamat jangka panjang.

“Inilah langkah pertama dalam bab baru pemain muda bola sepak kami.

“Pemain akan berjuang, bersaing, dan terus berkembang – dan sokongan daripada penyokong amat bermakna buat mereka,” ujar beliau.

“Pada tahap ini, saya tidak lagi perlu mengajar soal usaha atau semangat. Itu mesti datang daripada diri sendiri. Pemain harus berada di sini kerana mereka benar-benar mahu, bukan kerana terpaksa.”
Jurulatih baru skuad U-16 Singa, Ashraf Arrifin. 

“Saya sentiasa pesan kepada jurulatih tempatan supaya belajar sebanyak mungkin daripada jurulatih asing yang ada di sekeliling kita. ‘Perah’ mereka sepenuhnya selagi mereka masih di sini.”
Jurulatih baru skuad U-16 Singa, Ashraf Arrifin. 
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg