Disokong oleh Program Peningkatan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Piala Lion City 2025 bakal mencatat sejarah dengan penganjuran sulung kategori bawah 16 tahun untuk pemain perempuan.
Pasukan tuan rumah, Singapura, akan menentang Kemboja, Korea Selatan dan Hong Kong di Stadium Jalan Besar dari 8 hingga 13 Julai.
Dalam kenyataan media pada 26 Jun, Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) turut mengumumkan edisi ke-29 kejohanan tersebut akan terus menampilkan kategori bawah 16 tahun lelaki, dengan penyertaan Singapura, Kemboja, Hong Kong dan Filipina.
Pasukan yang menduduki tangga teratas selepas tiga perlawanan akan dinobatkan sebagai juara.
“Kami teruja untuk menyaksikan penglibatan pemain perempuan kita di pentas ini – satu wadah penting untuk menonjolkan bakat mereka di hadapan rakyat Singapura,” kata Setiausaha Agung FAS, Chew Chun-Liang, dalam kenyataan media tersebut.
“Pengenalan kategori perempuan bukan sahaja meningkatkan profil bola sepak wanita di Singapura, malah memastikan Piala Lion City kekal sebagai peneraju pembangunan bola sepak belia di rantau ini,” tambahnya.
Pasukan bawah 16 tahun perempuan Singapura akan dibimbing oleh Yeong Sheau Shyan, Ketua Bola Sepak Wanita pasukan Liga Perdana Singapura, Lion City Sailors.
Beliau berjaya meraih kejuaraan Liga Perdana Wanita (WPL) dua tahun berturut-turut bersama Sailors pada 2022 dan 2023.
“Kami semakin maju dalam memperkasakan bola sepak wanita tempatan, dan saya amat gembira apabila peluang kini terbuka luas buat remaja perempuan kita untuk bertanding di peringkat ini, di hadapan keluarga dan penyokong,” kata jurulatih berusia 46 tahun itu
“Saya amat menantikan sesi persiapan bersama mereka agar dapat memanfaatkan peluang ini sepenuhnya.
“Walaupun masih muda, ada antara pemain kami sudah mempunyai pengalaman beberapa musim dalam WPL. Saya yakin mereka bersedia mempamerkan kemampuan sebenar di Piala Lion City,” tambahnya.
Menurut The Straits Times, kapten pasukan perempuan Singapura, Tyan Foong, menyifatkan penyertaannya dalam kejohanan sulung itu sebagai satu penghormatan besar.
“Kejohanan ini ialah wadah terbaik untuk kami menunjukkan kebolehan sebenar.
“Kami tidak sabar untuk beraksi di hadapan rakan-rakan, keluarga dan penyokong tempatan di Stadium Jalan Besar.”
Piala Lion City bermula pada 8 Julai dengan perlawanan antara Kemboja dengan Hong Kong pada 5 petang, diikuti pertemuan Singapura menentang Korea Selatan pada 8 malam.
Esoknya pada 9 Julai, pasukan lelaki pula akan beraksi, bermula dengan Hong Kong menentang Kemboja pada 5 petang dan Singapura menentang Filipina pada 8 malam.
Pasukan bawah 16 tahun lelaki Singapura akan dikendalikan oleh Ashraf Ariffin, Pengurus Akademi Lion City Sailors.
“Kami mempunyai beberapa bakat muda yang menyerlah. Kejohanan ini adalah platform yang sangat sesuai untuk mereka menonjolkan potensi masing-masing,” kata jurulatih berusia 38 tahun itu.
“Walaupun keputusan perlawanan itu penting, yang lebih utama ialah perkembangan pasukan dan peningkatan pemain sepanjang kejohanan,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg