Tahun 2026 bakal menyaksikan Singapura terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab sukan serantau dan antarabangsa.
Bukan sahaja bagi atlet, malah penggiat acara kesihatan juga mempunyai beberapa acara yang dinanti-nantikan pada 2026.
Berikut adalah beberapa acara yang bakal menarik perhatian ramai, bukan sahaja daripada warga tempatan bahkan seluruh dunia juga.
Terdapat juga acara yang akan disertai oleh atlet kita di luar negara.
Tarikh: Dijangka Jun atau November 2026
Tempat: Dijangka di Singapore Expo atau Kallang
Acara Hyrox 2025, Kejohanan Asia Terbuka AIA Hyrox, yang berlangsung di Stadium Negara pada 28 dan 29 Jun lalu berjaya menarik lebih 13,000 peserta, dan akan mengharapkan kejayaan yang sama pada 2026.
Hyrox merupakan peraduan kecergasan peringkat sejagat yang menggabungkan cabaran daya tahan dan kekuatan fungsi harian.
Peserta harus menghabiskan lapan larian sejauh satu kilometer, setiap satu diikuti dengan lapan stesen kecergasan iaitu SkiErg, Sled Push, Sled Pull, Burpee Broad Jumps, RowErg, Farmer’s Carry, Sandbag Lunges dan Wall Balls.
Dengan kategori individu, beregu dan berkumpulan, acara tersebut sesuai untuk pelbagai tahap kecergasan.
Tarikh: Dijangka Julai-Ogos 2026
Tempat: Stadium-stadium negara Asean
Dahulunya dikenali sebagai Piala Mitsubishi Electric, kejohanan tersebut memasuki era baru sebagai Asean Hyundai Cup sempena ulang tahun ke-30 kejohanan tersebut.
Kejohanan ini menghimpunkan pasukan kebangsaan terbaik Asia Tenggara dan kekal sebagai acara bola sepak paling berprestij di rantau ini.
Pasukan Singa mengakhiri kempen dalam pertandingan lalu di peringkat separuh akhir dengan kekalahan 1-5 kepada Vietnam, yang muncul juara kejohanan tersebut.
Penyokong akan mengharapkan sekurang-kurangnya pencapaian yang sama pada edisi 2026.
Tarikh: 20-26 Januari 2026
Tempat: Nakhon Ratchsima, Thailand, pada Januari 2026.
Atlet para Singapura akan bersaing dalam 11 sukan dalam Sukan Para Asean 2026.
Kejohanan ini meraikan ketabahan, semangat juang dan kecemerlangan atlet para, sambil memupuk kesedaran dan keterangkuman dalam dunia sukan.
Tarikh: 26-31 Mei 2026
Tempat: Stadium Tertutup Singapura
Sebagai kejohanan Jelajah Dunia Super 750 Persekutuan Badminton Dunia (BWF), ia terus menarik pemain badminton terbaik dunia.
Dikenali dengan kualiti permainan yang tinggi dan sokongan peminat yang amat baik, kejohanan ini kekal sebagai acara badminton paling berprestij di rantau Asia.
Tarikh: 16-18 Januari 2026
Tempat: Pusat Sukan ActiveSG Choa Chu Kang
Piala Presiden Silat merupakan kejohanan penting dalam jadual silat Singapura.
Menampilkan kategori Singa (bagi usia 6 dan 7 tahun), Macan (bagi usia 8 dan 9 tahun, dan Pra-Remaja (bagi usia 10 dan 11 tahun), acara ini menggabungkan perlawanan kompetitif dan persembahan seni silat, menonjolkan disiplin serta warisan budaya sukan tempur tradisional.
Tarikh: 1-5 April 2026
Tempat: OCBC Square, Kallang
Singapura sekali lagi menjadi tuan rumah kepada FIBA 3x3 Asia Cup, untuk tahun kelima berturut-turut, bersama kejohanan kelayakan ke Piala Dunia 3x3.
Acara ini bukan sahaja menampilkan pasukan elit Asia, malah menyokong pembangunan bola keranjang di peringkat akar umbi.
Tarikh: April 2026
Tempat: Home of Athletics, Kallang
Dianjurkan oleh Singapore Athletics, kejohanan tahunan ini merupakan pentas utama bagi atlet olahraga tempatan dan antarabangsa.
Ia merangkumi pelbagai acara balapan dan padang, serta berperanan sebagai platform pembangunan bakat baru.
Tarikh: Dijangka November 2026
Tempat: Stadium Negara dan kawasan Kallang
Menyambut ulang tahun ke-20, Great Eastern Women’s Run terus menjadi acara larian khusus wanita yang ikonik di Singapura.
Dengan kategori daripada separuh maraton hingga larian keluarga, acara ini menekankan kesihatan, kebersamaan dan pemerkasaan wanita.
Tarikh: 31 Januari-1 Februari 2026
Tempat: Stadium Negara, Kallang
Salah satu hentian utama litar ragbi Sevens dunia, HSBC SVNS Singapore menggabungkan aksi ragbi bertaraf Olimpik dengan suasana festival sepanjang hujung minggu.
Pasukan elit dunia bakal berentap dalam perlawanan pantas yang penuh tenaga dan hiburan.
Tarikh: 19 Februari – 1 Mac 2026
Tempat: Infinity Arena, Hab Sukan Singapura
Sebagai kejohanan WTT Grand Smash pertama dalam 2026, Singapore Smash menghimpunkan pemain tenis meja terbaik dunia yang bersaing merebut hadiah wang tunai bernilai AS$1.55 juta ($1.99 juta).
Acara ini turut menampilkan zon peminat, aktiviti belia dan hiburan, menjadikannya antara pengalaman penonton paling meriah dalam sukan global.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg