Ceburi sukan yang memerlukan ketelitian tinggi dan tidak membenarkan sebarang kesilapan, dengan setiap kesilapan kecil mampu menghasilkan percikan air yang besar – tidak hairanlah atlet terjun cantik nasional, Ashlee Tan, cenderung kepada kerjaya sebagai seorang doktor.
Kini menjalani latihan doktornya di Hospital Ng Teng Fong, Ashlee, 25 tahun, melihat persamaan antara kerjayanya dengan sukan yang diceburinya.
“Kedua-dua bidang perubatan dan terjun indah ini mempunyai banyak aspek teknikal dan saya perlu beri perhatian terhadap butiran teknikal dalam setiap bidang.
“Selain itu, saya juga perlu berdisiplin tinggi untuk imbangi latihan, pelajaran dan kerja,” katanya kepada The Straits Times.
Setiap hari, beliau bangun seawal 5.45 pagi, memulakan syif kerja di hospital pada 6.30 pagi, dan terus ke sesi latihan dari 5.30 petang hingga 8.30 malam, sebelum tidur pada 10.30 malam.
Walaupun rutin hariannya sangat meletihkan, Ashlee tetap komited kerana cintanya terhadap sukan itu.
Bekas ahli gimnastik sekolah rendah itu mula berjinak-jinak dengan sukan terjun indah pada usia 11 tahun, dan terus jatuh cinta dengannya.
“Ramai orang bertanya kenapa saya masih teruskan sukan ini dengan jadual saya yang begitu padat, kerana kebanyakan orang hanya mahu pulang dan berehat selepas seharian bekerja.
“Tapi saya benar-benar menikmati aksi melompat dan berputar di udara serta rasa puas apabila mendarat dengan kemas ke dalam air.
“Selain itu, saya juga ada keinginan kuat untuk memperbaiki teknik terjunan saya dan berjaya dalam pertandingan – inilah yang mendorong saya terus berlatih walaupun selepas waktu kerja,” kongsinya.
Walaupun Singapura mempunyai sejarah gemilang dalam acara renang, acara terjun cantik tidak begitu menonjol – malah ia hanya dihidupkan semula selepas negara ini menjadi tuan rumah temasya Sukan Olimpik Belia (YOG) sulung pada 2010.
Program terjun cantik yang lama terhenti itu dimulakan semula dan pada 2013, Singapura berjaya kembali meraih pingat dalam Sukan SEA selepas penantian selama 30 tahun.
Ketika negara-negara teratas dalam sukan terjun cantik dunia cuba mengejar penguasaan China, atlet terjun cantik Singapura berusaha merapatkan jurang dengan negara jiran mereka, Malaysia.
Sebagai atlet terjun cantik, Tan menyaksikan sendiri perkembangan tersebut sepanjang sedekad menjadi atlet nasional.
“Malaysia memang dari dulu menghasilkan pemenang pingat Olimpik dan kejohanan dunia, jadi jurang antara kami dengan mereka memang sangat besar pada awalnya.
“Tapi kini, kami semakin rasa bahawa apa yang mereka boleh lakukan, kami juga boleh tandingi, malah mungkin lakukan lebih baik,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg