Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tsutomu Ogura tekankan komunikasi, kerjasama rapat dengan kelab

Bekas ketua jurulatih luah pandangan bahawa pemain perlu diberi kepercayaan, bukan dikawal, ketika sesi sembang santai dengan FAS
Jul 22, 2025 | 3:10 PM
Tsutomu Ogura
Bekas jurulatih pasukan bola sepak Singapura,Tsutomu Ogura (kanan), berkongsi pengalaman dan falsafahnya buat kali terakhir di sesi sembang santai di Stadium Jalan Besar pada 21 Julai. Beliau menekankan kepercayaannya tentang kepentingan komunikasi antara kelab tempatan dengan persatuan bola sepak. - Foto BH oleh KHAIRUL AKMAL ALI

Tsutomu Ogura telah menghubungi pihak Lion City Sailors (LCS) secara peribadi apabila pemain pertahanan LCS, Zulqarnaen Suzliman, mengalami kecederaan ketika perlawanan menentang China yang berkesudahan dengan kekalahan 4-1 pada 2024.

Ogura telah memohon maaf dan berbincang mengenai keadaan pemain tersebut, selain beberapa perkara lain.

Menurut bekas ketua jurulatih pasukan Singapura itu dalam sesi sembang santai anjuran Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) di Stadium Jalan Besar pada 21 Julai, tindakan itu mencerminkan hasratnya untuk bekerjasama rapat dengan kelab demi kebaikan pemain dan juga pasukan kebangsaan.

“Komunikasi dan kerjasama itu segalanya. Kelab dan pasukan negara perlu bergerak seiring,” katanya.

Namun, visi itu kini perlu diteruskan tanpa kehadirannya.

Pada Jun lalu, FAS mengesahkan Ogura telah meletak jawatan sebagai ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan Singapura atas sebab peribadi.

Dilantik pada Februari 2024 dengan kontrak dua tahun, Ogura terpaksa kembali ke Jepun untuk menangani urusan keluarga yang mendesak, menurut kenyataan rasmi FAS pada 24 Jun.

Pemergiannya meninggalkan kekosongan sekali lagi dalam jawatan tertinggi pasukan itu, menjadikan ini kali keempat dalam tempoh enam tahun Singapura mencari jurulatih baru.

Bagi memastikan kelangsungan pasukan, FAS telah melantik Gavin Lee, bekas ketua jurulatih BG Tampines Rovers FC, sebagai jurulatih sementara.

Harapan kini disandarkan kepada Lee untuk meneruskan asas kukuh yang telah dibina dalam tempoh singkat tetapi bererti di bawah kepimpinan Ogura.

Kehadiran Ogura bukan sekadar membawa perubahan taktikal atau strategi perlawanan.

Apa yang membezakan beliau ialah pendekatan falsafah yang lebih mendalam.

Beliau percaya bahawa pemain perlu diberi kepercayaan, bukan dikawal.

“Semasa perlawanan, pemain perlu berfikir. Mereka perlu berkomunikasi sesama sendiri. Saya percaya mereka. Segala persediaan sudah diberi,” katanya.

Falsafah itu jelas terbukti dalam kemenangan penting ke atas Bangladesh di Stadium Kebangsaan Bangabandhu, Dhaka, semasa perlawanan kelayakan Piala Asia AFC pada 10 Jun.

Dalam suasana tegang dan penuh tekanan, skuad Singapura berjaya mengekalkan kelebihan 2-1.

“Mungkin 18 bulan lalu, ia akan jadi 2-2, tapi mereka mempamerkan semangat dan mentaliti yang lebih kuat,” kata Ogura dengan bangga.

“Mereka berbincang, bertempur, saling memberi semangat. Seperti jurulatih di atas padang.”

Ogura juga membuka sesi latihan kepada peminat – bukan sekadar untuk hiburan, tetapi untuk mencipta suasana yang meniru tekanan sebenar perlawanan.

“Kalau ada yang memerhati, tumpuan tidak hilang. Ia jadi seperti perlawanan sebenar,” jelasnya.

Beliau juga menolak peranan tradisional antara jurulatih dengan pemain.

“Kami bukan guru dan murid. Kami profesional dan patut belajar daripada satu sama lain,” katanya mengenai satu pendekatan yang mencerminkan rasa hormat dan kepercayaan antara kededua pihak.

Dari urusan logistik hingga ke rutin pemanasan badan, Ogura membawa tahap profesionalisme lebih tinggi.

Beliau mendedahkan bahawa pemain akan saling berkomunikasi dan menolong kakitangan FAS, agar semua rasa terhubung dan dihargai.

“Saya hanya minta mereka pertimbangkan dua situasi – adakah keputusan tersebut akan memanfaatkan pasukan, ataupun tidak,” kata Ogura.

Walaupun beliau telah melangkah pergi, pengaruhnya masih terasa.

Singapura kini berada di kedudukan teratas dalam kumpulan kelayakan Piala Asia AFC, hasil daripada kepercayaan, struktur, dan semangat berpasukan yang telah dibinanya.

Perpisahannya tidak mudah.

“Bola sepak ialah hidup saya,” katanya. “Tapi keluarga juga hidup saya.”

Kata-kata itu memperlihatkan betapa sukarnya keputusan yang diambil.

Namun, harapan tetap ada. “Suatu hari nanti, saya tak tahu bila, mungkin saya akan kembali. Itu akan sangat menggembirakan saya,” tambahnya.

Beliau turut mengakhiri sesi sembang santai tersebut dengan ucapan: “Majulah Singapura!”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg