Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kane kecewa ramai pemain tarik diri daripada skuad England

Nov 14, 2024 | 2:21 PM
Kapten skuad kebangsaan England dan penyerang Bayern Munich, Harry Kane, sudah mewakili England 101 kali dalam pertandingan antarabangsa.
Kapten skuad kebangsaan England dan penyerang Bayern Munich, Harry Kane, sudah mewakili England 101 kali dalam pertandingan antarabangsa. - Foto REUTERS

LONDON: Kapten Harry Kane tidak puas hati dengan bilangan pemain yang menarik diri daripada skuad England, dengan menegaskan “England adalah keutamaan pertama sebelum kelab”.

Sembilan pemain tidak akan menyertai skuad untuk dua perlawanan terakhir Lee Carsley sebagai pengurus sementara sebelum Thomas Tuchel mengambil alih tugas pada Januari.

“Saya rasa England mendahului segala-galanya. England mendahului kelab,” kata Kane kepada ITV Sport.

“England adalah keutamaan paling penting sebagai pemain bola sepak profesional dan Gareth [Southgate] sangat tegas tentang itu. Beliau tidak takut membuat keputusan jika pemain tertentu mula memiliki sebarang keraguan.”

Kane sendiri mengakui bahawa saat ini sudah masuk tempoh sulit bagi ramai pemain, mengingatkan ia adalah detik-detik terakhir sebelum rehat pertengahan musim. Tidak dapat dinafikan, ramai pemain sudah letih secara fizikal dan juga mental.

Namun, Kane tidak segan mengakui bahawa beliau berasa ada pemain yang mungkin gunakan keadaan itu sebagai alasan untuk tidak bermain.

Trent Alexander-Arnold, Cole Palmer, Phil Foden, Jack Grealish, Bukayo Saka, Declan Rice, Aaron Ramsdale, dan Levi Colwill ialah di antara nama yang sudah pasti tidak masuk ke dalam jadual untuk dua perlawanan akan datang.

Pemain Everton, Jarrad Branthwaite, yang awalnya sudah dipanggil Carsley untuk mengisi kekosongan dalam skuad, akhirnya menjadi pemain kesembilan yang mengundurkan diri dan akan digantikan pemain Liverpool, Jarell Quansah.

“Sangat penting untuk memanfaatkan situasi ini sebaik mungkin. Dengan jumlah pemain yang telah menarik diri, ia memberi peluang kepada pemain yang hadir di sini,” tambah Carsley.

“Jumlah penarikan diri yang kami hadapi dalam tempoh ini bukanlah perkara yang tidak biasa. November sentiasa menjadi jendela yang mencabar.”

England mungkin perlu menewaskan Greece di Athens pada 15 November dan Republik Ireland di Wembley pada 18 November jika mereka ingin naik ke Liga A Liga Negara-Negara Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa).

Lee Carsley dan pemain sayap Newcastle, Anthony Gordon, hadir dalam sidang media dengan Carsley menafikan adanya isu “kelab lawan negara” dan memilih untuk membicarakan pemain-pemain yang pasti masuk ke dalam jadual.

“Saya rasa itu hanyalah pendapat beliau (Harry Kane). Saya hanya mampu menangani apa yang ada di hadapan,” tambah Carsley

“Saya tahu skuad bawah 21 tahun dan bawah 20 tahun juga mengalami banyak penarikan diri. Sudah pasti ini adalah masa pemain mula letih dan menghadapi masalah kecil.”

Gordon sendiri, apabila ditanya sama ada beliau perlu beritahu kelabnya tentang mahu menyertai pasukan antarabangsa itu, berkata:

“Saya tidak perlu beri tahu. Mereka tahu perasaan saya tentang bermain untuk England dan hasrat saya. Ia lebih kepada datang ke sini dan dinilai untuk melihat sama ada saya cergas untuk bermain, dan saya sihat.”

Menurut Gordon, Kane berhak berpendapat seperti itu tanpa mengelakkan masa-masa sulit yang mungkin sedang dihadapi beberapa pemain.

“Beberapa pemain juga bermain dalam Liga Juara-Juara, yang memburukkan keadaan. Jadi saya sangat memahami apa yang mereka alami. Saya sendiri pernah alami beberapa kecederaan, mujur kecederaan saya tidak terlalu teruk, tetapi kecederaan mereka memaksa mereka tidak boleh bermain, jadi saya doakan mereka yang terbaik,” kata beliau.

Pemain pertahanan Alexander-Arnold dipaksa keluar pada separuh masa pertama kemenangan 2-0 Liverpool ke atas Aston Villa pada 10 November.

Pemain tengah Arsenal, Rice dibawa keluar pada minit ke-71 dalam perlawanan apabila Arsenal seri 1-1 dengan Chelsea pada 11 November. Beliau juga bermain dengan keadaan kaki patah.

Saka juga tidak sihat, tetapi pemain sayap itu bermain untuk Arsenal sebelum akhirnya terincut-incut keluar padang. Beliau cedera bermain untuk England pada perlawanan antarabangsa yang lalu dan terlepas dua perlawanan dengan Arsenal.

Penjaga gawang Ramsdale dilaporkan patah jari semasa kekalahan 2-0 Southampton kepada Wolves pada 9 November.

Penyerang Manchester City, Grealish pula disenaraikan dalam skuad England walaupun tidak beraksi dalam mana-mana tujuh perlawanan terakhir Manchester City.

Guardiola tidak berpuas hati kerana England memilih Grealish. Beliau telah bertanya kepada Grealish mengenai situasi itu dan pemain itu beritahu beliau mahu melaporkan diri.

“Jack mengalami dua atau tiga masalah dari segi kecederaan,” tambah Guardiola.

Branthwaite mengalami sedikit kecederaan sewaktu perlawanan Everton menentang West Ham dan kemudian kembali ke kelabnya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg