Topik diikuti
Pergi ke BHkuKane percaya England mampu capai tahap lebih tinggi
Kane percaya England mampu capai tahap lebih tinggi
Juara bertahan, Argentina, kini halangi Kane dan rakan sepasukan ‘The Three Lions’ untuk mara ke final Piala Dunia buat kali pertama sejak 1966
Kane percaya England mampu capai tahap lebih tinggi
FLORIDA: Kapten England, Harry Kane, percaya pasukannya ‘masih mempunyai satu lagi tahap yang boleh dicapai’ sedang mereka memburu kejuaraan Piala Dunia buat kali pertama sejak 1966.
The Three Lions terpaksa mengharungi masa tambahan sebelum menewaskan Norway 2-1 pada Sabtu.
Mereka kini bakal berdepan juara bertahan Argentina dalam perlawanan separuh akhir di Atlanta pada Rabu.
Selepas aksi suku akhir itu, pengurus England, Thomas Tuchel, mengakui beliau tidak berpuas hati dengan prestasi pemainnya.
Menurutnya, England “bernasib baik”, selain beraksi secara “cuai”, melakukan “banyak kesilapan teknikal” serta “tidak cukup pantas dan tidak konsisten”.
Kane, 32 tahun, telah menjaringkan enam gol dalam kejohanan ini dan kini berkongsi kedudukan sebagai penjaring terbanyak England bersama Jude Bellingham.
Kapten England itu berpendapat rasa kecewa Tuchel berpunca daripada kegagalan pasukan mempamerkan corak permainan yang sama seperti yang mereka tunjukkan ketika sesi latihan.
“Apabila beliau melihat kami berlatih, melihat keserasian dalam pasukan dan apa yang mampu kami lakukan, terutama dengan pemain yang kami miliki... cara kami menyerang, situasi satu lawan satu dan kemahiran individu, beliau hanya mahu melihat versi itu dipamerkan dalam perlawanan sebenar.
“Beliau juga sedar bahawa ia tidak semudah itu kerana kami berdepan lawan yang berkualiti dan pasukan yang hebat.
“Beliau tentunya mahu melihat kemampuan terbaik daripada kami (di padang) dan kami sendiri tahu bahawa kami masih mempunyai satu lagi tahap yang boleh dicapai. Kami masih belum benar-benar mempamerkannya.
“Setakat ini, ia hanya muncul dalam beberapa detik... menentang Norway pun begitu. Namun, kami belum menguasai permainan sepenuhnya seperti yang kami mahukan dan saya percaya kami mampu melakukannya.
“Kami akan menentang salah satu pasukan terbaik dunia di separuh akhir. Perkara yang paling menggembirakan ialah kami sudah berada di separuh akhir tetapi masih merasakan kami boleh menjadi lebih baik, kata Kane.
Walaupun beliau bersetuju dengan pandangan Tuchel, Bellingham yang menjaringkan dua gol dalam dua perlawanan terakhir England mempunyai pandangan berbeza.
Bellingham berkata selepas tamat perlawanan:
“Memang sukar di atas padang. Ia satu perlawanan yang mencabar. Semua pemain telah bekerja keras. Saya amat menghargai usaha setiap pemain di atas padang.
“Mungkin beliau (Tuchel) tidak tahu bagaimana rasanya bermain dalam keadaan seperti itu... menentang Erling Haaland, Martin Odegaard, Antonio Nusa dan Alexander Sorloth.
“Mereka bukan lawan yang mudah. Saya tidak boleh memuji secukupnya rakan sepasukan yang telah beraksi hebat (di padang).”
England yang muncul juara dunia pada 1966 kini mara ke separuh akhir Piala Dunia buat kali keempat.
Sebelum ini, mereka tewas di peringkat sama kepada Jerman Barat pada 1990 dan Croatia pada 2018.
England juga pernah tewas dalam dua perlawanan akhir kejohanan Euro sebelum ini, iaitu kepada Italy menerusi penentuan sepakan penalti di Wembley pada 2021, dan juga kalah kepada Sepanyol di Berlin dua tahun kemudian.
Kane yang merupakan penyerang Bayern Munich berkata:
“Ini merupakan satu era yang amat berjaya buat pasukan kebangsaan kami. Sudah tentu kami mahu melengkapkannya dengan kejuaraan. Itulah satu-satunya perkara yang masih belum kami capai.
“Kami semakin hampir. Kami sentiasa berjaya mara ke separuh akhir dan juga pertarungan akhir. Minggu ini amat penting buat kami.
“Kami sudah bersama selama enam minggu dan telah menunjukkan sepenuh komitmen terhadap lencana negara. Kini kami memerlukan satu lagi lonjakan besar untuk minggu terakhir ini.
“Akhirnya, kami kini berada di separuh akhir Piala Dunia, dan itu bukan sesuatu yang sering dicapai oleh pasukan kebangsaan ini.
“Jadi, kami perlu menikmati detik ini.” – Agensi berita.
