MUNICH: Kapten skuad England, Harry Kane, berkata hasrat beliau untuk kembali ke England dari Jerman pada satu hari nanti “tidak lagi kuat”, termasuk keinginan bagi mengatasi rekod jaringan sepanjang zaman dalam Liga Perdana England (EPL).

Penyerang itu meninggalkan Tottenham Hotspur untuk menyertai Bayern Munich pada 2023 selepas menjaringkan 213 gol dalam divisyen utama England – kurang 47 gol di belakang rekod Alan Shearer iaitu 260 gol.

Sejak berpindah ke Munich, Kane telah mempamerkan prestasi cemerlang untuk kededua kelab dan negara, dan mencatat keseluruhan 73 gol pada musim lalu.

Beliau telah memasuki 12 bulan terakhir dalam kontrak empat tahun yang ditandatanganinya dengan Bayern selepas pemindahan bernilai £86.4 juta ($150 juta) dari Spurs pada 2023.

Kane dijadualkan akan mula berunding dengan Bayern mengenai kontrak baharu.

Selepas menerima anugerah Kasut Emas kerana muncul sebagai penjaring terbanyak Bundesliga pada 19 Ogos, kapten England itu menekankan bahawa beliau berasa selesa dan gembira di Bayern.

“Masa saya mula-mula tinggalkan (England), memang saya ada terfikir – yang saya pasti akan kembali. Tetapi sekarang, hasrat itu tidak lagi begitu kuat.

“Saya sangat gembira di Munich, ia membuka mata saya kepada dunia bola sepak yang berbeza sama sekali di luar England dan membuatkan saya lebih menghargai bola sepak Eropah.

“Saya cuma rasa dengan barisan pasukan dan pengurus yang kami ada di sini, serta keluarga saya yang sudah sangat selesa di sini, apa yang penting adalah berada di tempat yang sebaik mungkin.

“(Saya) tidak akan kata (saya tidak akan kembali) buat selamanya, tetapi buat masa ini fokus saya adalah pada Bayern Munich dan kita tunggu dan lihat apa yang bakal berlaku pada masa akan datang,” kata Kane.

Kane menjaringkan 61 gol dalam 51 penampilan bersama Bayern musim lalu, sekali gus membantu skuad kendalian Vincent Kompany itu meraih kejuaraan liga dan piala.

Pengurus Bayern, Kompany, mula mengendali kelab berkenaan pada 2024 dan menurut Kane, bekas pemain pertahanan Manchester City itu banyak membantu dalam meningkatkan prestasi permainannya ke tahap lebih tinggi.

“Saya yakin ini adalah prestasi terbaik saya,” tambah Kane.

“Saya rasa pencapaian musim lalu sudah membuktikannya. Dari aspek itu, tidak ragu lagi ia adalah musim terbaik dalam kerjaya saya.

“Sejak bos (Kompany) tiba, beliau membimbing permainan saya ke tahap yang lebih tinggi – sama ada dari segi corak permainan, cara kami menyerang dan bertahan, mahupun kebebasan yang diberikan kepada pemain untuk turun lebih jauh ke kawasan padang untuk menerima bola atau masuk ke dalam kotak penalti pada saat akhir.

“Saya juga kerap memainkan peranan dan posisi berbeza seperti ini ketika di Tottenham, terutamanya sejak era kendalian (Jose) Mourinho. 

“Ia konsep yang sama – saya diberi kebebasan untuk turun ke bawah, mengambil bola, dan saya mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Son Heung-min (ketika di Spurs).

“Perkembangan itu berterusan, tetapi saya fikir untuk musim ini, dengan barisan rakan pasukan, kualiti pemain serta sistem permainan yang diterapkan jurulatih, ia benar-benar meningkatkan (prestasi) saya ke tahap lebih tinggi.” – Agensi berita.