Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kebangkitan pemain terbaru Man Utd Joshua Zirkzee

Jul 22, 2024 | 5:30 AM
Joshua Zirkzee merupakan sebahagian daripada anggota pasukan Bologna yang melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah.
Joshua Zirkzee merupakan sebahagian daripada anggota pasukan Bologna yang melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah. - Foto REUTERS

MANCHESTER: Jika para penyokong Manchester United mengharapkan Joshua Zirkzee memberi impak awal di Old Trafford, mereka hanya perlu melihat minit-minit pertamanya menyarung jersi Bayern Munich pada 2019.

Ketika itu, penyerang berusia 18 tahun itu digunakan dalam beberapa perlawanan pertama Hansi Flick selaku pengurus Bayern dalam musim dengan The Bavarians memenangi treble Bundesliga, Piala Jerman dan Liga Juara-Juara Eropah.

Meskipun tidak menjadi pemain tetap pasukan itu, Zirkzee memainkan peranan penting dalam kejayaan liga domestik mereka.

Pada Disember 2019, Bayern menduduki tangga kelima dalam liga dan kelihatan semakin jauh dalam bersaing untuk tangga teratas apabila mereka terikat 1-1 di Freiburg memasuki minit ke-90.

Zirkzee dimasukkan dan hanya mengambil masa 104 saat bagi pemain Belanda itu memberikan kesan besar dalam penampilan Bundesliga pertamanya, menyempurnakan gol daripada Serge Gnabry, yang juga mencatatkan gol pada masa tambahan untuk Bayern menang 3-1.

Beberapa hari kemudian, Zirkzee dimasukkan dari bangku simpanan dan sekali lagi menyelamatkan Bayern, menentang Wolfsburg di Allianz Arena.

Kali ini, beliau mengambil masa 149 saat untuk membolosi pertahanan Wolfsburg pada minit ke-85, sebelum Gnabry menambah satu lagi gol untuk Bayern menang 2-0.

Kemunculan Zirkzee di pentas antarabangsa merupakan ganjaran bagi perjalanan yang bermula pada 2007 di kelab tempatan VV Hekelingen di Spijkenisse, sebelum pengalaman di Spartaan ‘20 membawanya ke kelab profesional ADO den Haag.

Selepas tiga tahun, beliau berpindah ke akademi Feyenoord dan menjadi penyerang serba boleh dalam tahun-tahun pembentukannya, dengan kebolehan sangat baik menjaringkan gol.

Prestasi Zirkzee menakjubkan semasa bermain dengan pasukan bawah 16 tahun dan bawah 17 tahun pada musim yang sama di Feyenoord, menjuarai liga dan piala dengan pasukan masing-masing serta menjaringkan banyak gol sepanjang proses tersebut.

Pada musim panas 2017, perpindahan ke luar negara menjadi lebih mungkin dan dua kelab berminat mendapatkan khidmatnya – salah satunya adalah dari Liga Perdana England.

Persaingan untuk mendapatkan khidmatnya adalah antara Bayern Munich dengan Everton, dengan Zirkzee beraksi dalam dua perlawanan dalam kejohanan belia antarabangsa di Czechia.

Namun, Zirkzee menunggu sehingga beliau menerima tawaran daripada Bayern.

Ia mengambil sedikit masa, tetapi akhirnya ia berlaku selepas satu langkah kreatif yang dicadangkan beliau sendiri.

“Pada mulanya, Bayern melihat saya beraksi dalam dua perlawanan bersama Feyenoord yang bukan merupakan prestasi terbaik saya, jadi mereka tidak pasti.

“Kemudian, saya menyarankan mereka supaya saya boleh berlatih tiga kali bersama dan nilai persembahan saya sama ada saya cukup baik,” ujar Zirkzee.

Pasukan Bavaria itu bersetuju dengan cadangannya dan pemuda itu kemudian meyakinkan Bayern untuk menawarkannya kontrak.

“Pada masa itu, pemain muda Belanda biasanya pergi ke England.

“Ternyata, saya merupakan antara pemain pertama yang pergi ke Jerman. Saya fikir, ini sesuatu yang berbeza, saya ingin menyahut cabaran ini,” kata beliau.

Zirkzee memulakan kerjayanya dengan pasukan bawah 17 tahun dan kemudian beralih ke pasukan bawah 19 tahun mereka.

Pada musim keduanya, beliau sudah menjadi sebahagian daripada pasukan simpanan Bayern Munich.

Beliau beberapa kali dijemput berlatih dengan pasukan utama dan menyertai mereka dalam kem latihan di Amerika Syarikat dan Qatar.

Beliau berkongsi bilik persalinan dengan Robert Lewandowski, Thomas Muller, dan Manuel Neuer.

Meskipun itu, Zirkzee tetap bersabar dalam menunggu peluang untuk tampil dalam pasukan utama.

Akhirnya, Flick membawanya ke dalam skuad perlawanan Liga Juara-Juara Eropah menentang Tottenham Hotspur, dengan beliau membuat penampilan debut secara rasmi, sebelum memberikan sumbangan penting dalam perlawanan liga menentang Freiburg dan Wolfsburg.

Jaringan Zirkzee sangat penting kerana ia membolehkan Bayern merapatkan jurang dengan Leipzig di puncak liga dengan empat mata, sebelum merapatkan lagi jurang tersebut dan akhirnya menjuarai liga.

Beliau beraksi di Parma dan Anderlecht sebagai pemain pinjaman untuk mendapatkan lebih banyak masa permainan menyusul, dengan pasukan Belgium itu pengalaman terbaik beliau.

Zirkzee menjaringkan 15 gol dan melakukan lapan ‘assist’ dalam pasukan di bawah naungan jurulatih Bayern pada saat ini, iaitu Vincent Kompany.

Sepanjang tempoh tersebut, beliau mewakili pasukan Belanda bawah 21 tahun, dengan pelatihnya, Erwin van de Looi. menjelaskan dalam Voetbal International dua tahun lalu bagaimana Zirkzee menyerlahkan dirinya sebagai seorang penyerang.

“Apa yang membuat Joshua istimewa bagi saya adalah kemampuannya menggabungkan sifat terbaiknya – teknik, kekuatan, daya, dan kemampuannya dalam menerima bola – dengan begitu berkesan,” ujar beliau.

Pada musim kemudian, Zirkzee berpindah ke Bologna dan sekali lagi beliau harus bersabar.

Beliau sering digunakan sebagai pemain ganti dalam kempen pertamanya bersama pasukan Serie A itu.

Pada musim keduanya di Bologna, Zirkzee membuat kemajuan pesat. Sumbangan 11 gol dan lima ‘assist’ beliau memainkan peranan penting dalam memastikan kelayakan Liga Juara-Juara Eropah untuk pasukan dari Emilia-Romagna itu.

Persembahan beliau memberinya tempat dalam skuad Belanda di Euro 2024 yang dibimbing Koeman, setelah Teun Koopmeiners terpaksa menarik diri kerana kecederaan.

Pemain berusia 23 tahun itu tampil sebagai pemain pengganti dalam perlawanan suku akhir menentang Turkey, meraih penampilan antarabangsa pertamanya.

Baru sahaja mencapai peringkat separuh akhir bersama negaranya, pemindahannya ke Manchester United hampir direalisasikan.

Zirkzee akan menambah pelbagai kemahiran di Manchester United, dengan beliau menjadi aset sangat berharga untuk Erik ten Hag.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beliau telah mengembangkan aspek permainannya dengan lebih mendalam – membuat larian dalam, menambah kemampuan menerima dan mengawal bola, serta mengelecek dengan mahir.

Teknik dan kreativitinya menyerlah dan juga keupayaannya meletakkan rakan sepasukan dalam posisi untuk menjaringkan gol.

Rakan penyerang, Rasmus Hojlund, mungkin akan sangat gembira dengan kedatangan pemain Belanda itu.

Dan jika Zirkzee boleh mempunyai impak segera yang sama semasa beliau beraksi dalam Bundesliga lima tahun lalu, penyokong United pasti akan sangat gembira juga. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg