Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Man Utd tidak tergesa-gesa turunkan Martinez selepas pulih kecederaan

Oct 31, 2025 | 1:15 PM
Kali terakhir pemain pertahanan Manchester United, Lisandro Martinez (kanan), beraksi bagi kelab itu adalah semasa menentang Crystal Palace pada 2 Februari 2025. Beliau alami kecederaan pada perlawanan itu.
Kali terakhir pemain pertahanan Manchester United, Lisandro Martinez (kanan), beraksi bagi kelab itu adalah semasa menentang Crystal Palace pada 2 Februari 2025. Beliau alami kecederaan pada perlawanan itu. - Foto fail

LONDON: Manchester United akan mengambil pendekatan berhati-hati berkaitan kepulangan Lisandro Martinez selepas pembedahan lututnya, walaupun pengurus Ruben Amorim gembira melihat pemain pertahanan yang dikenali dengan gaya agresif itu kembali menjalani latihan bersama pasukan.

Pemain pertahanan tengah dari Argentina itu tidak beraksi sejak Februari lalu selepas mengalami kecederaan ligamen krusiat ketika kekalahan di tempat sendiri menentang Crystal Palace.

Ia merupakan kecederaan serius keempat bagi pemain berusia 27 tahun itu sejak menyertai United.

Beliau pernah berdepan masalah lutut dan dua kecederaan kaki yang membataskannya kepada hanya 52 penampilan Liga Perdana England (EPL), walaupun beliau berpindah dari Ajax pada musim panas 2022.

Rekod kecederaan itu menjadi antara sebab Amorim tidak akan menuruti keinginan pemain tersebut untuk segera kembali beraksi dalam perlawanan menentang Nottingham Forest pada 1 November.

“Beliau memang ingin beraksi, tapi tidak untuk perlawanan ini – kami akan berinya masa.

“Martinez sudah mula latihan, tapi kami terpaksa ubah beberapa jenis latihan untuknya supaya proses pemulihan berjalan perlahan dan selamat,” jelas Amorim.

Kepulangan Martinez memperkukuhkan lagi ahli kumpulan enam pemimpin dalam pasukan utama, terutama sekali selepas Amorim pernah menggariskan “kekurangan pemimpin” dalam skuadnya.

“Beliau memberi semangat dan ketegasan dalam setiap sesi latihan. Itu sangat baik untuk pasukan,” kata Amorim.

Perlawanan di City Ground nanti juga menandakan kali pertama Amorim berdepan Sean Dyche sejak pengurus baru Forest itu mendakwa pada awal 2025 bahawa beliau boleh meraih lebih banyak kemenangan di United berbanding Amorim – hanya dengan menggunakan formasi tradisional 4-4-2.

Dalam satu podcast bersama Sam Allardyce, Dyche bersetuju bahawa Amorim bernasib baik kekal di United meskipun prestasi buruk musim lalu menyaksikan kelab itu menamatkan saingan di tangga ke-15 EPL.

“Mereka asyik bercakap tentang falsafah permainan, tapi ia tidak berhasil.

“Saya yakin saya boleh menang lebih banyak perlawanan hanya dengan gunakan 4-4-2. Mungkin saya silap, sebab mungkin mereka akan beli tiga pemain bintang pada musim panas.

“Tapi ini Man United, biasanya anda tak akan kekal dalam situasi seperti itu,” kata Dyche ketika itu apabila United hanya mengutip 27 mata daripada 28 perlawanan liga.

Apabila komen tersebut diajukan kepada Amorim semasa sidang media menjelang perlawanan menentang Forest, pengurus berusia 40 tahun itu berkata beliau faham sebab Dyche berkata begitu.

“Mungkin betul kalau kami terapkan 4-4-2, kami akan menang lebih banyak perlawanan. Tapi saya sudah jelaskan bahawa gaya permainan saya ambil masa untuk dibentuk.

“Tapi saya juga lihat Sean Dyche sebagai pengurus dan penganalisis. Jika anda seorang penganalisis dan tidak membuat kenyataan yang berani, saya pun tidak mahu menonton anda.

“Saya faham ini dua pekerjaan yang sangat berbeza. Saya tahu Sean Dyche seorang yang sangat bijak dan beliau tahu bagaimana untuk ‘bermain permainan’ ini,” jawabnya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg