Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kecederaan Gabriel Jesus cemar kemenangan Arsenal

Oct 25, 2023 | 1:56 PM
PERLU DITELITI: Setelah bertindak cemerlang dengan menjaringkan gol menentang Sevilla, Gabriel Jesus kini berdepan hari-hari tidak menentu dengan kecederaannya perlu diteliti dengan lebih mendalam oleh pakar.
PERLU DITELITI: Setelah bertindak cemerlang dengan menjaringkan gol menentang Sevilla, Gabriel Jesus kini berdepan hari-hari tidak menentu dengan kecederaannya perlu diteliti dengan lebih mendalam oleh pakar. - Foto REUTERS

SEVILLE (Sepanyol): Gabriel Jesus menjaringkan gol untuk membantu Arsenal kembali kepada momentum kemenangan dalam Liga Juara-Juara Eropah dengan menundukkan Sevilla di Sepanyol.

Selepas tewas 2-1 kepada Lens dalam perlawanan sebelum ini, pasukan Gunners itu mengharungi ujian sukar menentang juara Liga Europa tujuh kali itu.

Gabriel Martinelli memberi Arsenal permulaan yang baik dan menyerikan penampilan sulungnya dalam Liga Juara-Juara dengan gol pembukaan setelah beliau menyempurnakan hantaran cemerlang Jesus dalam masa kecederaan separuh masa pertama.

Jesus kemudian menambah jaringan bagi Arsenal pada awal separuh masa kedua dengan rembatan hebat ke penjuru gol.

Sevilla, disokong penonton tuan rumah yang lantang, mula menguasai perlawanan apabila Nemanja Gudelj menanduk bola masuk ke gawang gol Arsenal hasil hantaran tendangan percuma.

Menyusuli gol tersebut, Arsenal terpaksa bertahan setelah dikenakan tekanan hebat oleh tuan rumah yang cuba mencari gol penyamaan.

Pasukan bimbingan Mikel Arteta itu kemudiannya mengalami tamparan apabila Jesus terpaksa ditarik keluar kerana kecederaan hamstring. Namun, Arsenal berjaya bertahan untuk memastikan kemenangan yang melonjakkan mereka ke persada Kumpulan B.

Dengan tiga gol dalam tiga perlawanan Liga Juara-Juara musim ini, Jesus adalah pemain penting untuk Arsenal bagi pertandingan Eropah.

Justeru, kecederaannya itu menimbulkan kebimbangan dan Arteta mengesahkan selepas perlawanan bahawa penyerang itu digantikan kerana mengalami kecederaan hamstring.

“Jesus terus meminta untuk diganti, dan ia bukan berita baik kerana Jesus bukan pemain yang mudah mengalah kepada kecederaan dan minta diganti.

“Kita perlu tunggu dan lihat dalam beberapa hari akan datang,” ujar beliau. – Agensi berita.

“Jesus terus meminta untuk diganti, dan ia bukan berita baik kerana Jesus bukan pemain yang mudah mengalah kepada kecederaan dan minta diganti. Kita perlu tunggu dan lihat dalam beberapa hari akan datang.”
 Mikel Arteta, pengurus Arsenal.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg