MIAMI (Amerika Syarikat): Insiden kekecohan penonton pada final Copa America 2024 mencetus persoalan besar buat penganjur Piala Dunia 2026, yang akan diadakan di Amerika Utara.
Permulaan perlawanan akhir antara Argentina dengan Colombia di Stadium Hard Rock di Miami ditangguhkan selama 82 minit setelah pegawai keselamatan terkial-kial memproses kemasukan peminat dengan selamat ke dalam stadium itu.
Penganjur menyalahkan penonton tanpa tiket yang menyerbu pintu masuk, menyebabkan mereka memutuskan untuk menutup pintu masuk hampir tiga jam selepas waktu ia dijadualkan dibuka.
Namun, walaupun terdapat banyak bukti peminat tanpa tiket masuk ke stadium, kejadian tersebut juga jelas menunjukkan bahawa sistem keselamatan gagal menanganinya.
Dalam kejadian yang mencemaskan itu, sebilangan peminat memerlukan rawatan perubatan kerana letih dan panas selepas tersepit di sekitar pagar pintu masuk ke stadium itu, yang dapat menampung hingga 65,000 penonton.
Stadium Hard Rock bakal menjadi tuan rumah bagi tujuh perlawanan semasa Piala Dunia 2026, dengan Amerika Syarikat, Mexico dan Canada menjadi hos bersama.
Copa America dianjurkan oleh Gabungan Bola Sepak Amerika Selatan (Conmebol), manakala Piala Dunia dikawal selia oleh badan pentadbir dunia, Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), dan penganjur tempatan.
“Ini bukannya sesuatu yang baik untuk dilihat,” kata bekas pemain antarabangsa Amerika, Alexi Lalas, yang sekarang bertugas sebagai pengulas televisyen bersama Fox Sports.
“Ini bukan sesuatu yang baik buat Conmebol dan kerana ia berlaku di bawah pengawasan kita, di negara kita, ia juga tidak baik untuk Amerika (kerana berlaku) kurang dua tahun sebelum Piala Dunia,” katanya.
Fifa, yang tiada peranan dalam mengendali Copa, tidak mengulas mengenai kejadian tersebut namun beberapa sumber menyatakan ia kini akan menggiatkan perbincangan dengan pengurus stadium mengenai rancangan keselamatan.
Seorang bekas pekerja stadium tersebut, yang bercakap dengan agensi berita, AFP, dengan syarat namanya tidak didedahkan, berkata kejadian di Stadium Hard Rock itu mendedahkan kelemahan perancangan.
“Saya cukup kenal kemudahan ini, ia tidak sepatutnya berlaku.
“Jika anda bimbang tentang senjata, jika anda bimbang tentang pistol, jika anda bimbang tentang pisau, anda sediakan perimeter, dan periksa senjata dan tiket di kawasan luar, bukan di pintu pagar, tempat laluan kecil apabila 10,000 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, cuba masuk (ke dalam stadium).
“Ramai wanita dan kanak-kanak pengsan di pintu pagar ketika cuba masuk ke dalam stadium bersama mereka yang membayar AS$2,000 ($2,688) bagi sekeping tiket.
“Ini memalukan untuk Conmebol, untuk Stadium Hard Rock, sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Stadium Piala Dunia Fifa cenderung menggunakan kawalan perimeter sedemikian, sebagai pemeriksaan awal ke atas peminat, sebelum mereka memasuki zon yang lebih dekat dengan stadium pertandingan.
“Saya tidak ragu-ragu Fifa, Amerika, Canada dan Mexico akan menyelesaikan masalah ini dan memastikan perkara ini tidak berulang pada masa depan,” kata Lalas semasa perlawanan itu.
Tetapi bencana di Miami itu bukan satu-satunya kejadian yang menimbulkan kebimbangan semasa Copa America.
Perlawanan separuh akhir pada 10 Julai antara Colombia dengan Uruguay di Charlotte berakhir dengan adegan yang tidak sepatitnya berlaku.
Ia menyaksikan pemain Uruguay naik ke tempat penonton dan bertempur dengan penyokong Colombia, dengan mendakwa bahawa ahli keluarga diancam di tempat duduk yang tidak diasingkan.
Bagaimanapun, jurulatih Canada, Jesse Marsch, dari Amerika, percaya bahawa isu Copa disebabkan terutamanya oleh kurangnya pengalaman Conmebol dalam pasaran Amerika dan bahawa Fifa akan melakukan kerja yang lebih baik pada 2026.
“Pengalaman keseluruhan (Fifa) dalam mengendalikan kejohanan, saya fikir, berada pada tahap yang jauh berbeza,” katanya. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg