Topik diikuti
Pergi ke BHkuKedudukan Vietnam dalam Piala Asean semakin kukuh selepas benam Indonesia 3-0
Kedudukan Vietnam dalam Piala Asean semakin kukuh selepas benam Indonesia 3-0
Kedudukan Vietnam dalam Piala Asean semakin kukuh selepas benam Indonesia 3-0
BOGOR (Indonesia): Juara bertahan, Vietnam, menundukkan tuan rumah Indonesia 3-0 pada 3 Ogos untuk menerajui Kumpulan A Piala Asean Hyundai sekali gus mencerahkan peluang mereka untuk mara ke peringkat separuh akhir.
Jaringan Nguyen Van Vi dan Nguyen Hai Long memberi kelebihan dua gol awal kepada juara bertahan itu dalam tempoh 15 minit pertama di Stadium Pakansari, Bogor.
Manakala gol jaringan Nguyen Xuan Son sekitar 19 minit sebelum tamat perlawanan mengesahkan tiga mata berharga buat pasukan pelawat.
Menyusuli kemenangan itu, skuad Vietnam telah mengumpul tujuh mata daripada tiga perlawanan.
Meskipun terikat tujuh mata dengan Singapura, ia berjaya menduduki tangga teratas Kumpulan A menerusi kelebihan perbezaan gol.
Indonesia pula berada di tangga ketiga dengan perbezaan satu mata.
Vietnam akan menentang Kemboja dalam perlawanan terakhir Kumpulan A pada 7 Ogos, manakala Singapura akan menjadi tuan rumah menentang Indonesia pada tarikh sama.
Dua pasukan teratas dalam kumpulan akan mara ke peringkat kalah mati.
Singapura hanya memerlukan keputusan seri menentang Indonesia di Stadium Jalan Besar pada 7 Ogos untuk layak ke separuh akhir, manakala Indonesia perlu mencatatkan kemenangan untuk mara ke pusingan seterusnya.
Van Vi meletakkan Vietnam di depan seawal minit keenam apabila menewaskan penjaga gol Indonesia, Nadeo Argawinata, sebelum Hai Long menggandakan kelebihan skuad tersebut menerusi serangan balas pantas yang cantik sembilan minit kemudian.
Xuan Son, yang bermula di bangku simpanan, menjaringkan gol ketiga pasukannya pada minit ke-71 menerusi satu serangan balas kilat, sekali gus membuktikan keupayaan Vietnam selaku juara bertahan.
Dalam satu lagi perlawanan pada hari yang sama, Kemboja menewaskan Timor-Leste 3-0 di Stadium Negara Morodok Techo, Phnom Penh, hasil dua gol jaringan Hav Soknet pada minit ke-16 dan ke-63.
Rado Mon kemudian meledak gol ketiga pada minit ke-90 untuk melengkapkan kemenangan selesa pasukannya.
Ia merupakan kemenangan pertama Kemboja dalam kejohanan itu, namun kedua-dua pasukan telah tersingkir daripada persaingan ke separuh akhir selepas menduduki dua tangga terbawah Kumpulan A. – Reuters.