Pasukan Singa mempamerkan disiplin pertahanan yang tinggi untuk mengikat juara bertahan Vietnam 0-0 dalam aksi Piala Asean Hyundai di Stadium Kebangsaan My Dinh, Hanoi.

Keputusan tersebut pada 31 Julai bermakna mereka membawa pulang satu mata berharga yang memastikan peluang pasukan negara ke peringkat separuh akhir masih menyala.

Walaupun diasak hampir sepanjang perlawanan, benteng pertahanan yang diketuai Hariss Harun dan Jacob Mahler kekal utuh, manakala penjaga gol berpengalaman Izwan Mahbud sekali lagi membuktikan nilainya dengan beberapa aksi menyelamat penting untuk membantu skuad Singa berkongsi mata.

Pasukan bimbingan Gavin Lee memulakan perlawanan dengan cukup positif apabila menguasai bola dan sabar membina serangan, namun Vietnam pantas mengambil alih rentak permainan dengan mencipta lebih banyak peluang berbahaya.

Peluang pertama tuan rumah hadir apabila gerakan dari bahagian sayap menemui penyerang mereka sebelum rembatan dari luar kotak penalti hanya sedikit tersasar melepasi bahagian atas tiang gol Singapura.

Vietnam terus mengasak dan hampir memecah kebuntuan pada minit ke-17, namun penjaga gol Izwan Mahbud bertindak cemerlang menafikan percubaan lawan.

Tekanan berterusan skuad Vietnam menyaksikan beberapa lagi percubaan mereka sekadar tersasar, termasuk satu percubaan yang terkena tiang gol.

Benteng pertahanan Singapura terus diuji dan separuh masa pertama berakhir 0-0.

Selepas rehat, Singa tampil dengan persembahan yang lebih berani dan mula memberi ancaman kepada tuan rumah.

Pada minit ke-49, rembatan Song Ui-young dari luar kotak penalti sekadar tersasar namun ia memberi petanda awal bahawa skuad Lee tidak sekadar mahu bertahan.

Kemasukan Ilhan Fandi menggantikan Song pada minit ke-59 turut menyuntik lebih tenaga di jentera serangan.

Peluang terbaik Singapura hadir pada minit ke-76.

Sepakan percuma Kyoga Nakamura menemui Jacob Mahler, namun percubaannya diselamatkan penjaga gol Vietnam,Patrik Le Giang.

Bola kemudian jatuh kepada Ilhan sebelum beliau melorongkan hantaran ke arah Shawal, tetapi penyerang itu gagal mengarahkan percubaannya tepat ke sasaran.

Vietnam bagaimanapun terus menguji benteng Singapura dan hampir meraih kemenangan pada minit ke-79 apabila Nguyen Tai Loc melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti.

Mujur buat skuad Singa, bola sekadar menggegarkan bahagian atas tiang gol buat kali kedua dalam perlawanan itu.

Walaupun gagal mencipta banyak peluang, Singapura menunjukkan ketahanan mental dan disiplin taktikal yang tinggi untuk mengekang asakan berterusan tuan rumah, sekali gus meraih keputusan seri yang cukup berharga di Hanoi.

Skuad Lee kini boleh menarik nafas lega selepas membawa pulang satu mata penting, namun tugas mereka masih belum selesai.

Dengan segala-galanya masih terbuka dalam perebutan tiket ke separuh akhir, tumpuan kini beralih kepada aksi terakhir Kumpulan A menentang Indonesia di Stadium Jalan Besar pada 7 Ogos, di mana masih banyak yang perlu diperjuangkan.