Dua gangguan isyarat semasa perlawanan Euro 2024 antara Jerman dan Hungary pada 20 Jun menyebabkan peminat bola sepak di Singapura terlepas menonton aksi perlawanan.
Sebilangan pelanggan Starhub dan Singtel telah dilanda isu gangguan pada awal separuh masa pertama perlawanan, dengan televisyen dan peranti mereka memaparkan mesej di skrin: “Transmisi terganggu. Kesilapan pada sumber – Kami sedang bekerjasama dengan rakan kongsi kami untuk memulihkan perkhidmatan secepat mungkin. Kami mohon maaf atas kesulitan yang berlaku.”
Gangguan itu berlarutan selama kira-kira 20 minit, dengan penonton terlepas gol pertama Jerman pada minit ke-22 oleh pemain tengah, Jamal Musiala.
Gangguan serupa berlaku pada penghujung separuh masa kedua dan isyarat disambung semula lebih lima minit kemudian.
Jerman memenangi perlawanan itu 2-0 dan kini mendahului Kumpulan A selepas dua perlawanan.
Pengguna yang marah dan kecewa menggunakan media sosial untuk mengadu tentang perkhidmatan penyiaran syarikat telekomunikasi tempatan.
Menukil laporan The Straits Times (ST), pengguna Starhub, Pauline Huang, menyatakan: “Bayar banyak tetapi isyarat terganggu! Kualiti gambar juga tidak bagus, sila lakukan sesuatu mengenainya!”
Seorang lagi pengguna, Daniel Teo, berkata: “Berhenti mengatakan ia masalah dari sumber. Saya menonton laman penstriman percuma dan ia berfungsi lebih baik daripada Starhub, yang saya bayar pada harga $88.”
Di laman Facebook Starhub, pengguna Fasha Samsudin berkata: “Setengah jam permainan langsung lesap. Terlepas menonton satu gol. Ini 2024. Berhenti mengatakan masalah sumber. Bayar balik semua pelanggan yang membayar anda. Memalukan.”
Pelanggan Singtel, Philbert Lee, berkata: “Permainan baru saja bermula kemudian ia terganggu, selepas itu tiada bunyi tiada papan markah, kemudian selepas beberapa ketika keseluruhan permainan tidak dapat tonton... Pulangkan wang!”
Kesemua 51 perlawanan bagi Euro 2024 disiarkan secara langsung di Starhub, Singtel dan mewatch Mediacorp, dengan pengguna membayar harga awal $88 dan $108 kemudiannya.
Ketiga-tiga penyedia menyiarkan kejohanan dari 14 Jun hingga 14 Julai itu melalui SPOTV, rangkaian televisyen berbayar Korea Selatan yang telah memperoleh hak penyiaran untuk Singapura dan Malaysia.
Peminat bola sepak Singapura telah dilanda beberapa isu gangguan isyarat ketika perlawanan berlangsung beberapa tahun sejak kebelakangan ini.
Pada Ogos 2023, beberapa pelanggan Starhub mengalami masalah gangguan isyarat semasa perlawanan pembuka tirai Liga Perdana England (EPL).
Pelanggannya juga mengalami isu serupa bagi perlawanan pembuka tirai EPL musim 2022/23.
Pada Februari 2022, Starhub mengumumkan bahawa ia menjadi penyiar rasmi EPL di Singapura selama enam tahun.
Singtel dan Mediacorp juga telah dilanda gangguan isyarat untuk siaran bola sepak sebelum ini.
ST telah menghubungi Singtel, Starhub, Mediacorp dan SPOTV untuk mendapatkan penjelasan lanjut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg