Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kejayaan Paper Rex di Valorant Masters harumkan nama S’pura, Asia Tenggara

Jun 25, 2025 | 5:17 PM
e-Sukan, Paper Rex, Valorant Masters
Pemain pasukan sukan elektronik (e-sukan) berpangkalan di Singapura, Paper Rex, terdiri (dari kiri) Patrick ‘PatMen’ Mendoza, Khalish ‘d4v41’ Rusyaide, Wang ‘Jinggg’ Jing Jie dan Ilia ‘something’ Petrov, meraikan kemenangan sambil menjulang trofi Valorant Masters Toronto 2025. - Foto RIOT GAMES

Selepas beberapa percubaan yang hampir membuahkan kejayaan, pasukan sukan elektronik (e-sukan) yang berpangkalan di Singapura, Paper Rex, akhirnya berjaya merangkul trofi antarabangsa utama.

Pasukan yang sebahagian besar terdiri daripada pemain Asia Tenggara itu muncul juara dalam final Valorant Masters Toronto setelah mengejutkan pasukan pilihan, Fnatic, dengan keputusan 3-1 di Enercare Centre, Toronto, Canada, pada 22 Jun, sekali gus membawa pulang hadiah utama bernilai AS$350,000 ($449,000).

Pasukan berpangkalan di London, Fnatic – juara Masters 2023 – berjaya mara ke final selepas menempuh laluan mencabar, dan memberikan saingan hebat dalam perlawanan lima pusingan terbaik sebelum tewas dalam pertarungan sengit selama empat jam setengah dalam permainan video penembak orang pertama (FPS) yang popular itu.

Wang ‘Jinggg’ Jing Jie, 21 tahun, satu-satunya pemain Singapura dalam barisan Paper Rex, tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya selepas meraih kemenangan yang sekian lama dinanti, sekali gus menebus kekecewaan tewas dalam final Valorant Champions 2023.

Kejohanan ‘Champions’ merupakan pertandingan bertaraf lebih tinggi berbanding ‘Masters’, lapor The Straits Times (ST).

“Saya bangga dengan diri saya dan juga pasukan. Saya gembira kerana berpeluang mewakili bukan sahaja negara saya, bahkan juga mengibarkan semua bendera tanah air kami (dari rantau Asia Tenggara),” kata Wang.

Meskipun Paper Rex berpangkalan di Singapura, barisan pemainnya berasal dari negara jiran di rantau ini.

Selain pemain Russia, Ilia ‘something’ Petrov, anggota lain pasukan itu termasuk Aaron ‘mindfreak’ Leonhart dan Jason ‘f0rsakeN’ Susanto dari Indonesia; Khalish ‘d4v41’ Rusyaidee dari Malaysia; serta Patrick ‘PatMen’ Mendoza dari Filipina.

Dalam pusingan berkumpulan pertama, Paper Rex menewaskan Team Heretics dari Sepanyol 2-0, namun tewas 0-2 kepada pasukan Gen.G Esports dari Amerika Utara.

Dalam perlawanan penentuan nasib mereka, Paper Rex berjaya meraih kemenangan 2-1 ke atas Team Liquid dari Belanda bagi mengesahkan salah satu daripada empat tempat ke pusingan seterusnya.

Menentang juara daripada empat liga antarabangsa – Amerika Utara dan Selatan; Eropah, Timur Tengah dan Afrika; Pasifik (Jepun, Korea Selatan dan India); serta China – dalam pusingan penyingkiran dua kali melibatkan lapan pasukan, Paper Rex mara ke final tanpa sebarang kekalahan.

Dalam perlawanan tiga pusingan terbaik, Paper Rex, menang dua pusingan berturut-turut, menewaskan G2 Esports dari Amerika Utara, Sentinels dari Amerika Syarikat sebelum mengatasi Wolves Esports – pasukan e-sukan kelab Liga Perdana England (EPL), Wolverhampton Wanderers.

Ketua jurulatih Paper Rex, Alexandre ‘alecks’ Salle, 35 tahun, meluahkan rasa lega berikutan kemenangan anak didiknya.

“Saya rasa saya tak mampu hadapi (satu lagi) kekalahan,” katanya, merujuk kepada perjalanan pasukan itu yang beberapa kali hampir merangkul kejayaan, termasuk menduduki tempat kelima/keenam di Valorant Masters Shanghai 2024 dan tempat ketiga di Valorant Masters Tokyo 2023.

Dengan trofi kini dalam genggaman, Paper Rex, menumpukan perhatian kepada perlawanan seterusnya – Peringkat 2 Liga Pasifik Valorant di Seoul, yang akan berlangsung dari 15 Julai hingga 31 Ogos.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg