Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kiria jaya raih gangsa

Jaya naiki podium di kejohanan peringkat Asia buat kali pertama
Jun 20, 2025 | 2:56 PM
Atlet lawan pedang negara, Kiria Tikanah Abdul Rahman, tersenyum sambil memegang pingat gangsa yang dimenanginya dalam acara ‘epee’ individu wanita di Kejohanan Lawan Pedang Asia 2025 di Bali, Indonesia.
Atlet lawan pedang negara, Kiria Tikanah Abdul Rahman, tersenyum sambil memegang pingat gangsa yang dimenanginya dalam acara ‘epee’ individu wanita di Kejohanan Lawan Pedang Asia 2025 di Bali, Indonesia. - Foto BIZZITEAM

Dengan meraih pingat gangsa bersama di Kejohanan Lawan Pedang Asia pada 19 Jun, atlet pedang ‘epee’ Singapura, Kiria Tikanah Abdul Rahman, akhirnya berjaya menamatkan penantiannya untuk menaiki podium di kejohanan peringkat benua itu buat kali pertama.

Namun, atlet dengan ranking ke-70 dunia itu mengakui beliau berasa “lebih lega daripada teruja” selepas membawa pulang pingat untuk negara, walaupun tewas dalam aksi separuh akhir menentang atlet pilihan utama kejohanan dan ranking pertama dunia dari Korea Selatan, Song Se-ra, dengan keputusan 15-12 di Westin Resort Nusa Dua di Bali, Indonesia.

“Saya sudah lama tersekat di pusingan 16 terbaik, malah kadang-kadang lebih teruk. Jadi, memang rasa lega dapat lepasi halangan itu dan pulang dengan pingat,” kata atlet berusia 24 tahun itu kepada The Straits Times.

Kiria, yang sudah dua kali beraksi di Sukan Olimpik, sebelum ini hanya sampai ke pusingan 32 pada edisi 2024 dan pusingan 16 pada 2023 dalam kejohanan sama.

Namun menurut jurulatihnya, Henry Koh, Kiria bersifat rendah hati apabila menilai prestasinya sendiri.

“Kiria memang sangat kritikal terhadap dirinya sendiri. Banyak detik dalam pertandingan hari ini yang jika beliau buat satu kesilapan kecil, putus asa atau tidak berikan sepenuhnya, mungkin boleh sebabkan beliau tidak sampai ke peringkat pingat, kerana semua lawannya di sini sangat bermutu,” kata Koh, 50 tahun.

Namun, Kiria jelas membuktikan beliau layak berada di pentas ini.

Selepas menang semua lima perlawanan dalam pusingan awal kumpulan, beliau layak terus ke pusingan 32 tanpa bertanding.

Di situ, beliau menewaskan Sofiya Nikolaichuk dari Kazakhstan (ranking ke-115 dunia) 15-13, sebelum menundukkan atlet India, Taniksha Khatri (ke-145 dunia), juga dengan keputusan 15-13.

Di peringkat suku akhir, Kiria berjuang habis-habisan untuk mengatasi Chan Wai Ling dari Hong Kong (ranking ke-74 dunia) 15-11.

Walaupun gagal menewaskan Song dalam separuh akhir, Kiria berjaya menunjukkan peningkatan berbanding pertemuan terdahulu mereka di Piala Dunia Lawan Pedang pada Mac 2024 dan Mei 2025, apabila beliau tewas 15-7 dalam kededua perlawanan itu.

Koh percaya bahawa pertemuan terbaru itu menunjukkan Kiria telah mempamerkan peningkatan yang besar.

Pingat gangsa bersama yang diraih Kiria merupakan pingat kedua Singapura dalam kejohanan ini, selepas Juliet Heng memenangi perak dalam acara ‘sabre’ individu wanita pada 18 Jun.

Acara berpasukan akan bermula pada 20 Jun, dengan penyertaan atlet Singapura dalam kategori ‘sabre’ lelaki dan ‘foil’ wanita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg