Kejohanan Boling Senior Syntech Asia ke-17 akhirnya tamat setelah berlangsung selama sembilan hari di Singapore Bowling@Rifle Range.
12 negara menghantar wakil ke kejohanan boling peringkat Asia ini, dengan seramai 320 pemain boling senior bertanding dalam 4 divisyen berbeza.
Singapura diwakili 44 pemain merentasi empat divisyen, iaitu divisyen lelaki senior, wanita senior, lelaki lebih senior, dan wanita lebih senior.
Pertandingan bagi acara Masters sebagai kemuncak pertandingan berlangsung pada 22 Oktober, yang turut dihadiri Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua, sebagai tetamu terhormat.
Perlawanan akhir bagi acara Masters mengikuti format round robin antara 16 pemain terbaik berdasarkan 18 perlawanan di peringkat kelayakan.
Philip Tang kembali menjadi tumpuan Singapura di acara Masters setelah meraih emas di acara All Events pada 20 Oktober.
Beliau berjaya merangkul pingat gangsa divisyen lelaki lebih senior untuk acara Masters pada 22 Oktober.
“Sangat gembira dapat ikut serta dalam kejohanan ini, ditambah pula kegembiraan dengan prestasi yang kami capai. Saya amat berterima kasih kepada seluruh pasukan dan jurulatih atas sokongan dan bimbingannya selama ini,” kata Tang, 68 tahun, yang berjaya merangkul lima pingat daripada lima acara yang beliau sertai.
Ini menjadikan pungutan pingat Singapura di kejohanan itu kepada tiga emas, tiga perak dan enam gangsa.
Dengan keseluruhan 12 pingat, Singapura menduduki tempat ketiga dalam ranking pungutan pingat.
Ranking pertama diduduki oleh Korea Selatan dengan sembilan pingat emas daripada keseluruhan 17 pingat, diikuti Jepun dengan lima pingat emas daripada 17 pingat secara keseluruhan.
Paiman Dali, 61 tahun, salah seorang wakil Singapura yang meraih satu pingat emas, dua pingat perak dan satu pingat gangsa sangat teruja dengan pencapaian pasukannya secara keseluruhan.
“Saya merasakan persaingan amat sengit dan keputusan sentiasa boleh diperbaiki lagi. Tetapi kami telah melakukan yang terbaik.
“Pengajaran yang saya dapat daripada menyertai kejohanan ini adalah, jangan pernah meragui diri sendiri, ia belum berakhir hingga bola terakhir dilemparkan. Saya (juga) sangat bersyukur atas persahabatan yang terjalin dan pengalaman yang diperoleh serta peluang yang diberikan walaupun sudah tidak muda lagi,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg