Dalam tempoh 45 minit pertama menentang Indonesia, skuad Singa mendapat gambaran jelas tentang sejauh mana tahap yang perlu mereka capai sekiranya mahu bersaing dengan pasukan terbaik di rantau ini.

Indonesia kelihatan terlalu selesa mengawal permainan, bergerak pantas, dan kerap kali menembusi benteng pertahanan Singapura dengan mudah.

Skuad Singa menghabiskan sebahagian besar separuh masa pertama di kawasan sendiri, mendapatinya sukar mengekalkan kawalan bola serta gagal memberikan tekanan secara konsisten ke atas pihak lawan.

Walau bagaimanapun, situasi tidak mengecewakan sepenuhnya kerana skuad Singa tidak menyerah kalah – mereka bangkit dan mempamerkan persembahan yang lebih baik pada separuh masa kedua, seperti yang diakui oleh ketua jurulatih Singa, Gavin Lee.

Kapten Singapura, Hariss Harun (kanan), dan barisan pertahanannya berdepan tugas berat mengekang asakan bertali-arus barisan serangan Indonesia.
Kapten Singapura, Hariss Harun (kanan), dan barisan pertahanannya berdepan tugas berat mengekang asakan bertali-arus barisan serangan Indonesia. - Foto FAS

Namun, sejak wisel permulaan, Indonesia kelihatan lebih yakin.

Gol Ragnar Oratmangoen pada minit ke-13 memberi gambaran awal tentang tekanan yang bakal dihadapi Singa, dengan tuan rumah terus mengawal permainan dan mencipta beberapa peluang mengancam sebelum rehat.

Pasukan Singa sering gagal menutup ruang dan tidak dapat mengikuti gerakan pemain Indonesia.

Indonesia pula pantas mengeksploitasi ruang tersebut, dengan pemain mereka mampu menerima bola dalam kedudukan yang lebih maju sebelum menggerakkan serangan ke kawasan berbahaya.

Masalahnya bukan semata-mata pertahanan Singa gagal membuat terjahan atau menghalang percubaan.

Sebaliknya, struktur keseluruhan pasukan tidak cukup kompak.

Lee sendiri mengenal pasti perkara itu.

Menurut ketua jurulatih itu, situasi yang berlaku di bahagian tengah adalah akibat Singa “tidak cukup mempercayai diri sendiri” pada separuh masa pertama.

“Saya rasa situasi yang kami hadapi pada separuh masa pertama adalah akibat daripada kami tidak benar-benar mempercayai diri sendiri,” kata Lee.

Kapten Hariss Harun turut mengakui Singapura gagal mengawal permainan dengan baik pada separuh masa pertama.

“Kami tidak cukup baik, terutama untuk mendapatkan mata,” katanya.

Namun, terdapat perubahan yang ketara selepas separuh masa.

Singapura lebih kompak di tengah padang, lebih berani memegang bola dan mula memberikan Indonesia lebih banyak masalah.

Gavin membuat sedikit perubahan taktikal dengan menambah seorang pemain di bahagian tengah – satu langkah yang membantu Singapura mengimbangi permainan dengan lebih baik.

“Separuh masa kedua kami bermula dengan lebih baik dari segi menjadikan bahagian tengah lebih kompak, dan kami melakukan lebih baik dari segi pertahanan selepas itu,” jelas Lee.

Kemasukan Song Ui-young (kiri) pada separuh masa kedua menyuntik tenaga dan kelincahan yang membantu pasukan mengimbangi rentak permainan.
Kemasukan Song Ui-young (kiri) pada separuh masa kedua menyuntik tenaga dan kelincahan yang membantu pasukan mengimbangi rentak permainan. - Foto FAS

Kemunculan Song Ui-young pada separuh masa kedua juga memberikan tenaga tambahan.

Song bukan sahaja memberikan lebih banyak pengalaman kepada jentera Singa, malah kehadirannya turut membantu mengubah sedikit rentak permainan.

Singa jelas lebih agresif dari segi pertahanan dan serangan.

Perubahan itu tidak serta-merta mengubah keseluruhan corak permainan, tetapi ia cukup untuk menunjukkan bahawa Singa mempunyai kemampuan untuk memberi tentangan apabila mereka bermain dengan lebih yakin.

Kemudian datang detik yang hampir mengesahkan kekalahan Singa.

Safuwan Baharudin dilayangkan kad merah pada minit ke-70, selepas pengadil menukar keputusan awal kad kuning kepada kad merah selepas semakan Video Pembantu Pengadil (VAR).

Susulan tendangan percuma itu, Indonesia memperoleh sepakan penalti yang disempurnakan.

Dalam tempoh hanya beberapa minit, tugas Singapura menjadi jauh lebih sukar.

Namun, mereka tidak runtuh.

Dan semangat yang dipamerkan sesuatu yang boleh dibanggakan.

Walaupun bermain dengan 10 pemain dan ketinggalan dua gol, Singa terus mengejar bola, terus bertahan dan masih cuba mencari jalan untuk kembali ke dalam permainan.

“Kami adalah pasukan yang tidak pernah berputus asa, kami tidak pernah mengalah,” kata Lee.

Walaupun tewas kepada Indonesia, harapan Singa dalam Piala Asean Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) masih belum padam.

Cabaran seterusnya ialah memastikan semangat itu diterjemahkan kepada persembahan yang lebih lengkap - bermula dengan perlawanan seterusnya menentang Bangladesh pada 28 September.

Seperti yang ditegaskan Lee, Singapura tidak boleh terlalu jauh melihat ke hadapan.

“Kami ambil perlawanan seterusnya sebagai final seterusnya dan kemudian kami lakukan yang terbaik, satu perlawanan pada satu masa,” katanya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti