Berita tentang kematian penyerang Liverpool dan Portugal, Diogo Jota, dalam kemalangan jalan raya pada usia 28 tahun mengejutkan dunia bola sepak.
Jota dan adiknya, Andre Silva, 25 tahun, terkorban apabila kereta yang mereka naiki terbabas di wilayah Zamora, Sepanyol.
Difahamkan Jota sedang dalam perjalanan pulang ke Liverpool untuk menyertai latihan pramusim.
Disebabkan baru menjalani pembedahan, doktor menasihatinya supaya tidak menaiki kapal terbang, dan beliau memilih untuk pulang melalui jalan darat dan laut.
Hanya 11 hari sebelum kejadian tragik itu, Jota berkahwin dengan pasangan yang sudah lama bersamanya, Rute Cardoso, dan mereka mempunyai tiga orang anak.
Kelab Liverpool menyifatkan kematian Jota sebagai satu “tragedi yang melangkaui dunia bola sepak”, manakala para penyokong berkumpul di luar Anfield bagi memberi penghormatan terakhir.
Pengurus Liverpool, Arne Slot, menggambarkan Jota sebagai “cerminan sebenar seorang pemain Liverpool”.
Jota dan Andre Silva, pemain profesional bersama kelab Penafiel di divisyen dua Portugal, meninggal dunia selepas kereta mereka terbabas akibat tayar meletup ketika sedang memotong kenderaan lain.
Difahamkan Jota juga menggunakan jalan darat dan laut untuk ke Porto bagi majlis perkahwinannya.
Sepanjang kerjayanya bersama Liverpool, Jota menjaringkan 65 gol dalam 182 perlawanan, membantu kelab tersebut memenangi Piala FA, Piala Liga pada 2022 dan kejuaraan Liga Perdana England (EPL) musim lalu.
Dalam kenyataan pada 6 Julai, Slot memberi penghormatan kepada seorang pemain yang telah menjadi “insan yang sangat disayangi” di kelab.
Slot berkata perbualan terakhirnya bersama Jota adalah untuk mengucapkan tahniah atas kejayaan Portugal memenangi Liga Negara-Negara Uefa serta mengucapkan selamat maju jaya sempena majlis perkahwinannya.
“Musim cuti ini bagaikan mimpi buat Diogo dan keluarganya, sebab itu lebih menyayat hati apabila ia berakhir sebegini,” katanya.
Kapten Liverpool, Virgil Van Dijk, memberi penghormatan kepada rakan sepasukannya di media sosial.
“Saya tidak boleh percaya, saya tidak mahu mempercayainya. Saya cukup kecewa dan tidak percaya sepenuhnya.
“Seorang individu yang mengagumkan, pemain yang cukup hebat, tetapi yang paling penting beliau adalah seorang lelaki yang mengutamakan keluarganya,” kata pemain pertahanan Belanda itu, yang berkongsi kesedihannya di Instagram.
“Anda sangat bermakna untuk kami semua dan akan sentiasa menjadi sebahagian daripada kami!
“Saya berjanji kepada anda bahawa dalam masa sukar ini dan seterusnya kami akan sentiasa ada untuk keluarga anda. Juara selama-lamanya, nombor 20 selama-lamanya.
“Adalah satu keistimewaan dapat berdiri bersama anda di padang, dan menjadi kawan anda di luar padang. Kami akan merinduimu dan tidak akan melupakan anda.”
Pemain bek kiri Liverpool, Andy Robertson, juga turut kongsi kenangannya bersama Diogo.
“Kali terakhir saya jumpa beliau ialah pada hari paling bahagia dalam hidupnya – hari perkahwinannya.
“Saya mahu terus ingat senyumannya yang tak pernah lekang pada hari indah itu. Betapa beliau dilimpahi kasih untuk isterinya dan keluarga,” kata beliau di Instagram.
Sebelum menyertai Liverpool pada 2020, Jota pernah bermain untuk Pacos de Ferreira, Atletico Madrid, Porto dan Wolves – menjaringkan 44 gol dalam 131 perlawanan bersama kelab itu.
Perlawanan terakhirnya adalah bersama Portugal dalam kemenangan ke atas Sepanyol di final Liga Negara-Negara Uefa.
Beliau telah menjaringkan 14 gol dalam 49 penampilan antarabangsa.
Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo turut luahkan rasa sedihnya atas pemergian Diogo.
“Baru saja kita bersama dalam skuad kebangsaan, dan kamu baru saja berkahwin,” katanya di wadah X.
Pemenang lima kali Ballon d’Or itu turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga, isteri dan anak-anak Jota.
Jurgen Klopp, bekas pengurus Liverpool yang membawa Jota ke Anfield, menyatakan bahawa hati beliau “hancur”.
“Diogo bukan sahaja pemain hebat, malah seorang sahabat sejati, suami dan ayah yang penyayang,” tulis Klopp di Instagram.
Malah, kesedihan pemergian Jota turut dirasakan oleh penyokong bola sepak di Singapura.
“Saya masih sukar menerima kenyataan bahawa seorang pemain daripada kelab kegemaran saya telah pergi buat selama-lamanya.
“Apabila nama Diogo Jota disebut, yang terlintas di fikiran saya adalah gol-golnya – seorang penjaring gol semula jadi,” kata pemain pertahanan Singa, Irfan Najeeb, seorang penyokong setia Liverpool.
“Saya rasa saya mewakili semua peminat Liverpool, malah seluruh peminat bola sepak, bahawa bukan sahaja seorang pemain hebat telah pergi, malah kita juga kehilangan seorang bapa penyayang, suami, sahabat dan insan yang sangat dihormati.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg