Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bintang Liverpool, Diogo Jota maut dalam nahas kereta

Jul 3, 2025 | 6:19 PM
Diogo Jota, Liverpool, Andre Silva
Penyerang Liverpool dari Portugal, Diogo Jota, maut bersama adiknya, Andre Silva, dalam kemalangan kereta di Sepanyol pada 3 Julai 2025. - Foto REUTERS

MADRID: Penyerang Liverpool dari Portugal, Diogo Jota, 28 tahun, bersama adiknya, Andre Silva, maut dalam satu kemalangan kereta yang terbakar berhampiran Zamora di barat laut Sepanyol, kata Pengawal Awam Sepanyol.

Andre, 26 tahun, juga merupakan pemain bola sepak profesional dan bermain untuk kelab divisyen dua Portugal, FC Penafiel.

Agensi penguatkuasaan undang-undang kebangsaan mengesahkan kematian kedua-dua pemain tersebut dalam satu kenyataan lisan pada 3 Julai.

“Maklumat yang kami terima setakat ini adalah bahawa kereta tersebut, sebuah Lamborghini, terlibat dalam kemalangan jalan raya dan terbabas akibat tayar meletup semasa memotong.

“Kejadian berlaku pada awal pagi, sekitar 12.30 BST (7.30 pagi, 3 Julai waktu Singapura), di kawasan perbandaran Cernadilla dalam wilayah Zamora.

“Kereta itu terbakar dan kedua-dua penumpangnya maut,” lapor BBC, menukil kenyataan itu.

Jabatan bomba wilayah Castille-Leon di Zamora berkata di laman web mereka bahawa sebuah kereta terlibat dalam kemalangan dan terbakar.

Kejadian itu berlaku sejurus selepas tengah malam 3 Julai, dengan dua lelaki berusia 28 dan 26 tahun ditemui maut di lokasi.

Merakam ucapan takziahnya, Perdana Menteri Portugal, Encik Luis Montenegro, berkata:

“Berita pemergian Diogo Jota, seorang atlet yang banyak mengharumkan nama Portugal, dan adiknya merupakan satu berita yang tidak dijangka dan amat tragik.

“Saya merakamkan ucapan takziah sedalam-dalamnya kepada keluarga mereka. Ini adalah hari yang menyedihkan bagi dunia bola sepak serta arena sukan di peringkat nasional dan antarabangsa.”

Persekutuan Bola Sepak Portugal turut mengucapkan takziah melalui laman web mereka dan berkata:

“Diogo Jota bukan sahaja seorang pemain hebat dengan hampir 50 penampilan untuk pasukan kebangsaan, bahkan seorang insan luar biasa yang dihormati oleh semua rakan sepasukan dan lawannya. Beliau seorang yang ceria dan sebagai tauladan dalam masyarakat sendiri...

“Kami telah kehilangan dua juara. Pemergian mereka merupakan kehilangan yang tidak dapat diganti bagi bola sepak Portugal, dan kami akan melakukan segala yang termampu untuk menghormati legasi mereka setiap hari,” kata kenyataan itu.

Dalam satu hantaran di Instagram, Liverpool turut melahirkan sokongan penuh kepada keluarga, rakan dan rakan sepasukan Jota dan tidak akan membuat sebarang komen setakat ini.

“Kelab Bola Sepak Liverpool amat berduka dengan pemergian tragik Diogo Jota,” kata kelab itu dalam kenyataan ringkas.

Sementara itu, kemalangan tersebut berlaku dalam suasana penuh duka kerana Jota baru sahaja melangsungkan perkahwinan dengan Rute Cardoso pada 28 Jun, kurang dua minggu lalu.

Dalam satu hantaran bersama di Instagram, mereka memuat naik gambar hari bahagia mereka dengan hantaran “22 Jun 2025. Untuk selamanya”.

Hantaran itu menerima lebih 200,000 tanda suka atau ‘likes’ dan 1,000 komen.

Jota menyertai Liverpool pada 2020 menerusi perpindahan bernilai 44.7 euro juta ($67 juta) daripada Wolverhampton Wanderers, dan menjaringkan 65 gol dalam 182 penampilan bersama The Reds.

Beliau merupakan sebahagian daripada pasukan tersebut yang menjuarai Piala FA (2022), Piala Liga (2022) dan Liga Perdana England (2025).

Jota juga telah membuat 49 penampilan untuk Portugal dan memenangi Liga Negara-Negara Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) sebanyak dua kali. – Agensi berita.

Berikut beberapa fakta penting mengenai Jota:

Tarikh lahir: 4 Disember 1996

Mula bergelar pemain profesional: 2013, melalui program belia Paços de Ferreira

Menyertai pasukan kebangsaan bawah 19 Portugal: 2014

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg