ANKARA: Kelab utama Turkey, Trabzonspor, pada 4 Ogos menyatakan bahawa mereka telah memulakan rundingan dengan bekas penyerang Liverpool, Mohamed Salah.

Pengerusi kelab itu, Ertugrul Dogan, berkata mereka berharap dapat menandatangani penyerang Mesir berkenaan minggu ini.

“Rundingan telah dimulakan bagi memindahkan pemain bola sepak profesional, Mohamed Salah, yang berstatus ejen bebas, ke kelab kami,” kata Trabzonspor dalam satu kenyataan di platform pendedahan awam Turkey.

Tidak lama selepas kenyataan itu dikeluarkan, Dogan memberitahu saluran penyiaran tempatan, A Spor, bahawa meskipun perpindahan itu belum dimuktamadkan, Salah dijangka tiba di Istanbul bagi menjalani ujian perubatan pada 5 Ogos.

Beliau kemudian akan berangkat ke bandar Trabzon untuk menandatangani kontrak bersama kelab dari wilayah Laut Hitam itu.

Pengerusi kelab berkenaan tidak menyatakan bila kontrak itu akan ditandatangani, namun berkata ia mungkin dimuktamadkan pada 6 Ogos.

Salah meninggalkan Liverpool musim panas ini selepas sembilan tahun bermain untuk kelab ‘The Reds’ itu, dengan menjaringkan 257 gol dalam 442 penampilan, di mana beliau membantu kelab itu memenangi Liga Perdana England (EPL) sebanyak dua kali dan Liga Juara-Juara sekali.

Pada musim 2024/25, beliau menjaringkan 29 gol EPL dan menyumbang 18 bantuan gol, sekali gus menyamai rekod penglibatan gol terbanyak dalam satu musim liga dan mencipta rekod baharu bagi kempen 38 perlawanan.

Beliau dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Musim EPL serta memenangi anugerah Kasut Emas dan Anugerah Pengatur Serangan (’Playmaker Award’), menjadikannya pemain pertama yang merangkul ketiga-tiga anugerah tersebut dalam satu kempen.

Prestasi beliau dilihat merosot musim lalu, apabila hanya mencatatkan tujuh gol dan tujuh bantuan gol dalam 27 perlawanan liga.

Salah turut kerap berada di bangku simpanan dalam saingan Liga Juara-Juara, yang menyebabkan tercetusnya perbalahan terbuka dengan pengurus Liverpool ketika itu, Arne Slot.

Pemain berusia 34 tahun itu memulakan kerjayanya di Eropah bersama kelab Switzerland, Basel, pada 2012 sebelum menyertai Chelsea.

Beliau juga pernah bermain buat seketika di bawah Fiorentina dan AS Roma antara 2015 dengan 2017 sebelum berpindah ke Liverpool.

Trabzonspor secara umumnya dianggap sebagai kelab keempat terbesar di Turkey selepas gergasi Istanbul iaitu Fenerbahce, Galatasaray dan Besiktas.

Kelab tersebut menduduki tempat ketiga dalam liga utama Turkey, Super Lig, musim lalu dan bakal beraksi dalam pusingan perlawanan penentuan Liga Europa.

Menurut media tempatan, Salah sebelum ini hampir menyertai kelab Istanbul, Besiktas, namun pengarah bola sepak kelab itu, Onder Ozen, berkata rundingan telah terhenti berikutan tuntutan berkenaan isu kewangan dan hak imej. – Reuters.