Hasrat pasukan bola sepak wanita bawah 17 tahun (U17) Singapura untuk mencipta sejarah melayakkan diri ke Piala Asia 2027 di China tidak kesampaian apabila mereka tewas 5-0 kepada Indonesia dalam perlawanan kumpulan terakhir di Stadium Bishan pada 11 Oktober.

Indonesia memulakan perlawanan dengan garang apabila Febri Arum meletakkan pasukannya di hadapan dalam masa lima minit menerusi sepakan jarak jauh yang berjaya melepasi penjaga gawang Singa, Nur Umairah Luqmanul Hakim.

Kurang lima minit kemudian, Indonesia menggandakan kelebihan menerusi Fadilla hasil umpanan jarak jauh yang membuka ruang untuknya menembusi pertahanan Singapura.

Fadilla sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring apabila pemain sayap Kesya Arabela Manisya Nian bijak melorongkan bola melepasi barisan pertahanan Singapura.

Fadilla yang tidak dikawal di dalam kotak penalti tidak mensia-siakan peluang tersebut untuk menjaringkan gol dengan tenang, menjadikan kedudukan 3-0.

Walaupun ketinggalan, Singapura terus berusaha mencari jalan untuk merapatkan jurang, dengan Ain Salleh menjadi antara pemain yang paling mengancam kubu lawan.

Beberapa sepakan percuma yang dilancarkan Ain ke dalam kotak penalti turut menguji pertahanan Indonesia, namun barisan pertahanan lawan berjaya menangani ancaman tersebut.

Indonesia bagaimanapun terus menghukum kelemahan Singapura apabila Nian menemui sasaran untuk menambah jaringan, untuk menjadikan kedudukan 4-0 memihak Indonesia hingga separuh masa pertama berakhir.

Memasuki separuh masa kedua, Singapura cuba mencari gol bagi menghidupkan peluang untuk bangkit, namun usaha mereka tidak membuahkan hasil.

Malah, Indonesia yang berjaya meluaskan jurang perlawanan melalui jaringan Ayla Dva Khala Ahisma lewat perlawanan.

Keputusan itu menyaksikan hasrat pasukan wanita Singapura untuk mencipta sejarah ke Piala Asia tidak kesampaian walaupun setelah menghasilkan kempen yang memberangsangkan setelah menewaskan Arab Saudi dan Bahrain dalam Kumpulan B.

Indonesia berjaya mara ke pusingan seterusnya selaku juara kumpulan B dengan tiga kemenangan.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti
Laporan berkaitan