Topik diikuti
Pergi ke BHkuSPL: Geylang benam Jurong FC 3-1 untuk dahului liga
SPL: Geylang benam Jurong FC 3-1 untuk dahului liga
Geylang International kini menikmati kedudukan di puncak Liga Perdana Singapura (SPL) selepas menundukkan FC Jurong 3-1 di Our Tampines Hub pada 10 Oktober.
Namun, FC Jurong putih mata, walau ia memulakan perlawanan dengan cemerlang, dengan Akram Azman membuka tirai jaringan seawal minit ketiga.
Gol itu, yang pertama baginya untuk Jurong, dijaringkan hasil tendangan sudut Chris Van Huizen yang ditemuinya, sekali gus memberikan kelebihan awal 1-0 kepada pasukannya.
Namun, Geylang pantas memberikan tindak balas apabila menyamakan kedudukan kurang lima minit kemudian menerusi situasi sepakan sudut mereka sendiri.
Hantaran sudut Ryang Hyeonju menemui tandukan Dejan Racic, yang berjaya ditepis penjaga gawang Hassan Sunny.
Bagaimanapun, bola melantun ke tiang sebelum terkena Hassan sekali lagi untuk masuk ke dalam gawang bagi gol penyamaan Geylang.
Kedua-dua pasukan kemudian terus saling mengatur serangan dalam usaha mencari gol kedua, tetapi tiada peluang yang berjaya dimanfaatkan untuk mengubah kedudukan dan separuh masa pertama berakhir 1-1.
Selepas rehat, kedua-dua pasukan meneruskan usaha memburu gol kemenangan.
Geylang turut mengancam menerusi beberapa gerakan menarik, termasuk kombinasi serangan yang membabitkan Racic dan Darren Teh.
Usaha tuan rumah akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-67 apabila satu gerakan tersusun menghasilkan gol kedua mereka.
Nazrul Nazari membuat hantaran kepada Kaisei Ogawa, yang kemudian menghantar bola silang ke dalam kotak penalti yang dimanfaatkan oleh Sahil Suhaimi untuk meletakkan Geylang di hadapan 2-1.
Pada minit ke-77, Racic menggandakan kelebihan Geylang selepas beliau bijak menggelecek pertahanan Jurong di dalam kotak penalti sebelum menjaringkan gol dengan tenang.
FC Jurong cuba menghasilkan beberapa peluang untuk cuba rapatkan jurang perlawanan, tetapi tidak kesampaian dan perlawanan berakhir 3-1 memihak Geylang.
Geylang kini berpeluang meluaskan kelebihan di puncak liga apabila kembali beraksi menentang Balestier Khalsa pada 17 Oktober.
Sementara itu, FC Jurong berdepan tugas sukar apabila menentang juara bertahan SPL, Lion City Sailors pada 18 Oktober dalam usaha bangkit daripada kekalahan tersebut.