Kemenangan Real Madrid jadi simbol perjuangan antiperkauman
Kemenangan Real Madrid jadi simbol perjuangan antiperkauman
Vinicius Jr dakwa beliau jadi sasaran kata-kata perkauman daripada pemain Benfica dalam pertandingan pertama
MADRID: Kemenangan Real Madrid ke atas Benfica untuk mara ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara disifatkan sebagai “kejayaan buat semua orang yang menentang perkauman”, kata pemain tengah Real, Aurelien Tchouameni.
Vinicius Jr mendakwa beliau menjadi sasaran kata-kata perkauman daripada pemain Benfica, Gianluca Prestianni, dalam pertandingan pertama pada 17 Februari – perlawanan yang menyaksikan penyerang Real itu menjaringkan gol tunggal perlawanan tersebut.
Prestianni yang menafikan tuduhan tersebut kemudiannya dikenakan penggantungan satu perlawanan, sekali gus terlepas aksi timbal balik pada 25 Februari (26 Februari waktu Singapura).
Sokongan terhadap Vinicius jelas kelihatan apabila penyokong tuan rumah mempamerkan sepanduk bertulis “tidak kepada perkauman” dalam bahasa Sepanyol sebelum perlawanan bermula.
Vinicius sekali lagi mempamerkan ketajamannya di depan gol apabila meledak gol kedua Real Madrid dalam perlawanan tersebut.
Pasukan dari Sepanyol itu bangkit daripada ketinggalan 1-0 untuk menang 2-1, sekali gus mara ke pusingan seterusnya dengan agregat 3-1.
“Saya rasa ada perkara yang lebih besar daripada perlawanan ini, lebih besar daripada bola sepak,” ujar Tchouameni yang menjaringkan gol penyamaan pada separuh masa pertama.
“Vinicius mengekalkan keyakinannya dan dia terus fokus pada apa yang perlu dia lakukan.
“Saya fikir keputusan untuk tidak membenarkan pemain itu (Prestianni) beraksi adalah tepat.
“Seperti yang saya katakan, ada perkara yang lebih penting daripada bola sepak dan ini adalah kemenangan untuk kita semua.”
Bek kanan Real Madrid dan England, Trent Alexander-Arnold, berkata Vinicius kelihatan seperti biasa dan amat tenang menjelang perlawanan itu.
“Beliau tak perlu menjaringkan gol untuk membuktikan apa-apa atau menghantar mesej tentang pemikirannya,” kata bekas pemain Liverpool itu.
“Sudah tentu saya gembira, bukan sahaja kerana gol yang cantik itu, tetapi kerana ia dijaringkan olehnya. Beliau memang layak,” kata pengurus Real Madrid, Alvaro Arbeloa.
“Saya gembira melihat Vini terus menari (untuk meraikan golnya), kerana itu bermakna beliau akan terus menjaringkan gol,” kata penjaga gol Real, Thibaut Courtois.
Perlawanan itu turut menyaksikan kepulangan Jose Mourinho ke stadium Real Madrid sejak membimbing kelab itu dari 2010 hingga 2013, namun beliau tidak dapat berada di bangku pasukan kerana menjalani penggantungan perlawanan.
Namun terdapat satu berita kurang baik buat Real.
Pemain penyerang mereka, Kylian Mbappe, terlepas aksi akibat kecederaan lutut dan dijangka diketepikan untuk masa yang agak lama.
“Selepas pertandingan tersebut, kami berbincang dengan doktor dan juga dengannya.
“Kami merasakan keputusan terbaik ialah memberinya masa untuk pulih sepenuhnya dan kembali dalam keadaan terbaik, yakin serta bebas daripada sebarang kesakitan bagi menghadapi jadual penting yang bakal tiba,” kata Arbeloa. – Agensi berita.

