Laluan Singapura di peringkat kumpulan Piala Asean Hyundai 2026 tidak boleh dianggap mudah.

Jika Singapura mahu mengulangi pencapaian mara ke separuh akhir seperti edisi lalu, mereka hampir pasti perlu menamatkan saingan di kelompok dua pasukan terbaik dalam Kumpulan A.

Bintang Vietnam, Nguyen Xuan Son (jersi merah), semasa beraksi dalam kejohanan edisi 2024. Beliau sekali lagi menjadi tonggak pasukan negaranya dalam usaha mempertahankan kejuaraan Piala Asean Hyundai kali ini.
Bintang Vietnam, Nguyen Xuan Son (jersi merah), semasa beraksi dalam kejohanan edisi 2024. Beliau sekali lagi menjadi tonggak pasukan negaranya dalam usaha mempertahankan kejuaraan Piala Asean Hyundai kali ini. - Foto AFP

Vietnam: Juara bertahan

Vietnam muncul sebagai pilihan utama untuk menjuarai Kumpulan A.

Juara bertahan itu masih mengekalkan sebahagian besar tonggak yang membawa mereka muncul juara pada 2024, termasuk Nguyen Quang Hai dan Nguyen Xuan Son, manakala jurulatih Kim Sang-sik terus diberi kepercayaan membimbing pasukan.

Singapura turut mempunyai kenangan pahit apabila disingkirkan Vietnam di separuh akhir edisi lalu.

Aksi di Vietnam pada 31 Julai bakal menjadi ujian terbesar skuad Singa pimpinan Gavin Lee dalam usaha membuktikan mereka kini mampu bersaing dengan pasukan terbaik di Asia Tenggara.

Skuad Kemboja bimbingan Koji Gyotoku bukan lagi pasukan yang mudah dibelasah dan dijangka mampu memberikan saingan sengit terutama semasa beraksi di padang sendiri.
Skuad Kemboja bimbingan Koji Gyotoku bukan lagi pasukan yang mudah dibelasah dan dijangka mampu memberikan saingan sengit terutama semasa beraksi di padang sendiri. - Foto INSTAGRAM FFC_OFFICIAL_IG

Kemboja: Tidak lagi dianggap pasukan ‘hingusan’

Perlawanan pembukaan pada 24 Julai di Phnom Penh mungkin menjadi antara aksi paling penting buat Singapura.

Hakikatnya, Kemboja bukan lagi pasukan yang mudah ditewaskan.

Dengan gabungan pemain tempatan berbakat seperti Sieng Chanthea serta beberapa pemain naturalisasi, mereka semakin bersaing dalam kejohanan serantau.

Bermain di Stadium Nasional Morodok Techo di depan penyokong sendiri turut memberi kelebihan buat skuad bimbingan Koji Gyotoku.

Bagi Singapura, tiga mata pada aksi pembukaan ini bukan sahaja penting dari sudut kedudukan kumpulan, malah mampu membina momentum sebelum bertemu lawan yang lebih mencabar.

Walaupun tanpa beberapa pemain yang beraksi di Eropah, barisan skuad Indonesia kekal bahaya dan bakal menjadi pencabar utama Singapura bagi perebutan slot separuh akhir.
Walaupun tanpa beberapa pemain yang beraksi di Eropah, barisan skuad Indonesia kekal bahaya dan bakal menjadi pencabar utama Singapura bagi perebutan slot separuh akhir. - Foto INSTAGRAM TIMNASINDONESIA

Indonesia: Tetap bahaya walau tanpa beberapa bintang

Indonesia sekali lagi dilihat sebagai antara pencabar utama.

Namun, seperti Singapura, mereka tidak dapat menurunkan beberapa pemain yang beraksi di Eropah kerana kejohanan berlangsung di luar kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dan kelab tidak diwajibkan melepaskan pemain.

Sebaliknya, skuad bimbingan John Herdman banyak dibarisi pemain berbakat yang bermain di Liga Indonesia serta beberapa tonggak yang dilepaskan kelab masing-masing.

Walaupun tanpa kekuatan penuh, Indonesia tetap memiliki barisan pemain bermutu seperti Marselino Ferdinan dan Marc Klok.

Aksi terakhir peringkat kumpulan pada 7 Ogos menentang Indonesia di Stadium Jalan Besar berpotensi menjadi penentu kepada perebutan tempat ke separuh akhir.

Skuad Timor-Leste layak ke kejohanan utama selepas menundukkan Brunei dengan agregat 6-1 dan bakal menguji benteng pertahanan Singa pada 27 Julai.
Skuad Timor-Leste layak ke kejohanan utama selepas menundukkan Brunei dengan agregat 6-1 dan bakal menguji benteng pertahanan Singa pada 27 Julai. - Foto INSTAGRAM FFTL.OFFICIAL

Timor-Leste: Jangan dipandang rendah

Timor-Leste merupakan pasukan dengan ranking paling rendah dalam kumpulan.

Namun mereka layak ke kejohanan utama selepas menewaskan Brunei dengan keputusan agregat 6-1 dalam aksi play-off, sekali gus membuktikan mereka bukan lagi pasukan yang mudah ditundukkan.

Mereka mempunyai gandingan penyerang Paulo Gali dan Joao Pedro yang lebih daripada mampu untuk menghukum mana-mana barisan pertahanan lawan.

Pasukan Singa akan berdepan Timor-Leste di depan penyokong sendiri di Stadium Jalan Besar pada 27 Julai.

Vietnam dilihat sebagai calon utama untuk menjuarai kumpulan.

Ini menjadikan perebutan satu lagi slot separuh akhir berkemungkinan melibatkan Singapura, Indonesia dan Kemboja.

Jika Singapura berjaya memanfaatkan aksi menentang Kemboja dan Timor-Leste, mereka berpeluang memasuki dua perlawanan terakhir menentang Vietnam dan Indonesia dengan nasib masih berada di tangan sendiri.