LONDON: Baru sahaja pengurus Arsenal, Mikel Arteta, dan penyokong mereka menyambut kepulangan Bukayo Saka daripada kecederaan, mereka kini berdepan dengan kehilangan pemain pertahanan utama mereka, Gabriel Magalhães.
Pemain berusia 27 tahun itu terpaksa dikeluarkan pada separuh masa pertama dalam kemenangan 2-1 Arsenal ke atas Fulham akibat kecederaan otot paha atau hamstring, pada 2 April.
Masalah kecederaan menghantui pasukan kendalian Arteta musim ini, yang menyaksikan penyerang Kai Havertz tidak dapat beraksi bagi tempoh yang panjang akibat kecederaan serupa.
Kecederaan yang sama juga menyebabkan Saka terlepas beraksi selama 101 hari musim ini.
Menambah kepada kebimbangan Arteta, seorang lagi pemain pertahanannya, Jurrien Timber, juga terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan lutut, sementara Ben White dan Roccardo Calafiori tidak dapat beraksi akibat kecederaan yang sama.
Ini menimbulkan masalah bagi Arteta yang akan berdepan Real Madrid untuk peringkat suku akhir Liga Juara-Juara pada 9 April.
Namun, kepulangan Saka membantu melegakan sedikit tekanan ke atas Arteta, yang mengharapkan kehadiran pemain yang mampu meningkatkan mutu permainan anak-anak didiknya.
Pemain sayap itu hanya mengambil masa tujuh minit selepas dimasukkan untuk menjaringkan gol beliau, yang membantu Arsenal memperoleh kemenangan ke atas Fulham.
“Saya rasa ia detik yang indah untuk saksikan bagaimana penyokong kami menghargai dan menantikan kepulangan Bukayo,” kata Arteta selepas perlawanan.
Saka disambut dengan sorakan daripada peminat apabila namanya diumumkan untuk dimasukkan ke padang.
Penyokong Arsenal dan kelabnya tahu betapa penting Saka untuk kejayaan mereka.
Musim ini, mereka hanya mempunyai harapan untuk memenangi trofi Liga Juara-Juara sahaja, dan demi mencapai sasaran itu, Arsenal memerlukan Saka untuk membantu mengatasi Real Madrid agar dapat mara ke pusingan separuh akhir.
Bagi Gabriel pula, agak sukar baginya pulih daripada kecederaan hamstring dalam masa hanya enam hari untuk bermain menentang Real Madrid.
Beliau merupakan antara pemain utama Arteta – bukan sahaja dari segi pertahanan, malah menjaringkan gol.
Gabriel telah menjaringkan tiga gol dan merintis tiga peluang jaringan dalam 28 perlawanan Liga Perdana England (EPL) musim ini.
Tiada pemain pertahanan yang menjaringkan lebih banyak gol daripada pemain Brazil itu – sebanyak 17 – sejak penampilan pertamanya menentang Fulham pada September 2020. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg