NOTTINGHAM: Dengan Manchester United ketinggalan 1-0 kepada Nottingham Forest, pengurus United, Ruben Amorim melihat ke bangku simpanannya, mencari pemain yang boleh membantu pasukannya mengelakkan kekalahan ke-13 musim.
Amorim sudah pun keluarkan Joshua Zirkzee, yang telah menjaringkan tiga gol sejak kedatangannya bernilai £36.5 juta ($63 juta) ke Old Trafford pada Julai 2024.
Rasmus Hojlund, yang telah menjaringkan 13 gol sejak kedatangannya bernilai £72 juta pada 2023, sudah dimasukkan padang.
Dengan pilihan penyerang yang terhad, Amorim memilih pendekatan mudah, iaitu untuk meletakkan pemain pertahanan yang gagah sebagai penyerang.
Dan walaupun akhirnya United tetap kalah 1-0, Harry Maguire menghasilkan persembahan yang cukup baik sebagai penyerang.
Percubaan beliau pada minit ketujuh masa tambahan berjaya melepasi penjaga gawang Forest, Matz Sels, tetapi bukan pemain pertahanan mereka, Murillo.
Maguire menghasilkan lebih percubaan yang tepat sasaran dalam masa sembilan minit (satu percubaan) berbanding dengan Zirkzee dalam masa 78 minit dan juga Hojlund apabila dimasukkan pada separuh masa kedua.
Ini memberikan gambaran yang muram bagi United apabila ancaman terbesar mereka dalam kotak penalti lawan adalah seorang pemain pertahanan berusia 32 tahun.
“Kami mencuba dengan beberapa peluang yang bagus, tetapi tidak berjaya menghasilkan hantaran terakhir yang cukup baik. Dan jika kami tidak dapat lakukan perkara itu, kami tidak boleh menjaringkan gol,” kata Amorim selepas perlawanan.
“Kami kenal pemain-pemain Forest, dan mereka hanya memerlukan satu gol untuk kawal perlawanan. Kami perlu menjaringkan dua gol untuk menang perlawanan tersebut dan ia mengecewakan kerana gawang kami dibolosi pada awal perlawanan. Kami membantu mereka untuk mendapatkan tiga mata.”
Ia jelas dilihat bahawa menjaringkan gol merupakan satu cabaran terbesar United.
Mereka hanya menjaringkan 37 gol dalam 30 perlawanan liga musim ini, lebih rendah daripada jumlah jaringan terendah dalam sejarah mereka, iaitu 49 gol pada musim 2015-16.
Namun, menjaringkan gol merupakan hanya salah satu daripada pelbagai masalah United.
Mereka hanya mempunyai 37 mata selepas 30 perlawanan, dan ini bermakna mereka hanya memperoleh secara purata hanya 1.23 mata setiap perlawanan musim ini.
Mata terendah yang diperoleh United dalam era EPL mereka adalah 58 (1.57 mata setiap perlawanan), semasa mereka di bawah bimbingan Ole Gunnar Solskjaer dan Ralf Rangnick.
United perlu menang tujuh daripada lapan perlawanan mereka hanya untuk sepadan dengan jumlah itu.
Namun, itu pun kelihatan seperti tugas yang berat kerana sejauh musim ini, United hanya berjaya peroleh tujuh kemenangan dalam 21 perlawanan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg