Topik diikuti
Pergi ke BHkuKes dadah: Atlet remaja tidak akan digantung, Valieva diizin beraksi
Kes dadah: Atlet remaja tidak akan digantung, Valieva diizin beraksi
Kes dadah: Atlet remaja tidak akan digantung, Valieva diizin beraksi

BEIJING: Kamila Valieva boleh beraksi di Olimpik Musim Sejuk di China selepas Mahkamah Timbang Tara (CAS) memutuskan atlet remaja itu tidak akan dikenakan penggantungan awal kerana gagal ujian dadah.
Dalam kenyataannya semalam, CAS berkata menghalang Valieva, 15 tahun, daripada terus beraksi dalam acara gelungsur ais akan menjejas warga Russia itu dengan cara yang tidak boleh dipulihkan.
"Atlet seharusnya meraih manfaat daripada keadaan yang luar biasa ini. Beliau masih berusia bawah 16 tahun dan dianggap sebagai orang yang dilindungi di bawah kod Agensi Anti Penggunaan Dadah Sedunia (Wada)," ujar Matthieu Reeb, Setiausaha Umum CAS.
Valieva, yang diuji positif bagi sejenis dadah pada 25 Disember tahun lalu telah digantung pada 8 Februari.
Atlet itu telah menentang keputusan tersebut dan Agensi Anti Penggunaan Dadah Russia (Rusada) telah menggugurkan penggantungan itu pada hari selanjutnya.
Keputusan CAS itu bermakna Valieva kini bebas untuk beraksi dalam pertandingan gelungsur ais perseorangan wanita pada hari ini.
Valieva, yang juga merupakan juara Eropah dalam acara itu disifatkan sebagai pilihan utama untuk memenangi pingat emas di Beijing.
Sementara itu, perhatian terhadap pasukan sokongan bagi Valieva telah meningkat selepas Wada berkata ia akan menyiasat orang dewasa yang bertugas dengan remaja itu.
Menyusuli itu, Wada berkata ia akan meminta jabatan siasatan dan risikannya untuk menyiasat doktor, jurulatih dan orang dewasa lain yang berkhidmat untuk Valieva.
Antara perkara yang sedang dipersoalkan adalah bagaimana eseorang atlet semuda Valieva boleh terlibat dalam penggunaan dadah.
Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) awal dari itu telah menggesa Wada untuk menyiasat pasukan sokongan Valieva. - Agensi berita.
