Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kesabaran berbaloi, Faiz Basha kini lebih dekat wakili S’pura di Olimpik

Atlet S’pura capai tahap kelayakan untuk acara ‘slalom’ di temasya Olimpik Musim Sejuk 2026 yang akan dihoskan Italy
Jul 2, 2025 | 3:08 PM
Meskipun diuji dengan kecederaan serius dan komitmen Perkhidmatan Negara (NS), atlet ‘ski alpine’ Singapura, Faiz Basha, kini selangkah lebih dekat untuk menjadi ‘atlet ski’ alpine pertama Singapura di Sukan Olimpik Musim Sejuk.
Meskipun diuji dengan kecederaan serius dan komitmen Perkhidmatan Negara (NS), atlet ‘ski alpine’ Singapura, Faiz Basha, kini selangkah lebih dekat untuk menjadi ‘atlet ski’ alpine pertama Singapura di Sukan Olimpik Musim Sejuk. - Foto ST

Atlet ski alpine Singapura, Faiz Basha, mampu mencapai kelajuan sehingga 140 kilometer sejam menuruni cerun curam yang diliputi salji, sambil mengemudi selekoh tajam sepanjang perjalanan.

Namun begitu, dalam sukan yang mengutamakan kelajuan, pengajaran paling besar yang Faiz peroleh bukan tentang kepantasan – tetapi kesabaran.

Nilai tersebutlah yang membantunya kekal bersemangat untuk mengejar impian Olimpik Musim Sejuk meskipun melalui pelbagai halangan.

Lima tahun lalu, impian Faiz untuk layak ke Sukan Olimpik Belia Musim Sejuk Lausanne 2020 musnah apabila beliau mengalami kemalangan ketika bertanding, mengakibatkan kecederaan pada ususnya – kecederaan yang hampir menyebabkan beliau meninggalkan sukan tersebut secara tetap.

Usahanya merebut tempat ke Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 pula tergendala akibat komitmen Perkhidmatan Negara (NS).

Tetapi Faiz tidak pernah berputus asa.

Pada Januari 2024, beliau berjaya menghampiri impiannya apabila mencapai syarat kelayakan minimum untuk acara slalom dalam Olimpik Musim Sejuk 2026 yang akan berlangsung di Milan dan Cortina d’Ampezzo, Italy.

“Waktu di sekolah, apabila kita buat sesuatu kita dapat lihat hasilnya dengan cepat.

“Tapi dalam sukan ski, segalanya datang dengan perlahan dan memerlukan kesabaran yang tinggi,” kata Faiz sambil mengimbas perjalanan yang dilaluinya.

“Kadangkala bertahun-tahun berlatih tapi hasilnya hanya muncul musim berikutnya. Ia mengajar saya melihat situasi secara menyeluruh – dari segi peningkatan diri dan nilai kesabaran.”

Menurut The Straits Times, Persatuan Ski dan Papan Salji Singapura (SSSA) masih perlu melengkapkan proses “pengesahan dan pemilihan” untuk memastikan Faiz memenuhi semua kriteria sebelum mencalonkan Faiz kepada Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (Snoc) untuk kelulusan rasmi menjelang temasya 2026.

Jika dicalonkan, Faiz akan menjadi atlet Singapura pertama yang bertanding dalam acara ski alpine dalam temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk.

Sebelum ini, satu-satunya wakil Singapura yang pernah beraksi di temasya tersebut ialah peluncur laju trek pendek, Cheyenne Goh, yang bersaing dalam Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang 2018.

Tahun 2025 bermula dengan cemerlang buat Faiz apabila prestasinya dalam kejohanan ski alpine Persekutuan Ski Antarabangsa (FIS) di Val Palot, Italy, membantunya memenuhi syarat kelayakan.

Untuk bertanding dalam acara slalom atau giant slalom di Olimpik, atlet perlu mengumpul secara purata kurang daripada 120 mata berdasarkan lima keputusan terbaik mereka dalam senarai FIS Olimpik antara 1 Julai 2024 dengan 18 Januari 2026.

Faiz layak selepas mencatatkan purata 106.59 mata – menjadikannya atlet ski pertama dari Singapura yang mencapai tahap kelayakan Olimpik.

Olimpik 2026 akan menampilkan lima acara ski alpine bagi lelaki dan wanita: slalom, giant slalom, super-G, downhill dan acara berpasukan campuran.

Acara slalom melibatkan atlet untuk melalui antara tiang-tiang atau ‘gate’ menerusi laluan terpendek tetapi dipenuhi dengan selekoh tajam, manakala laluan giant slalom lebih lebar dan selekohnya kurang tajam.

Dalam kededua acara tersebut, peserta perlu menjalani dua perlumbaan ujian masa, dan peserta yang mencatat masa terpantas akan ditentukan sebagai pemenang.

Presiden SSSA, Marco Bardelli, berkata atlet seperti Faiz memainkan peranan penting dalam memperluaskan jumlah bakat sukan ski di Singapura, sambil menekankan bahawa adalah sukar mencari atlet ski di negara beriklim tropika.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg