Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kesatuan Ragbi S’pura juara edisi pertama kejohanan kerusi roda

Pemain berkerusi roda dan biasa gabung tenaga sebagai satu pasukan dalam Piala Ragbi Berkerusi Roda Singlife 2025
Apr 21, 2025 | 5:30 AM
Piala Ragbi Berkerusi Roda Singlife 2025, merupakan acara yang menyaksikan atlet, penyokong dan anggota masyarakat berkumpul untuk meraikan kejayaan dan semangat kesukanan yang bersifat terangkum pada 12 April.
Piala Ragbi Berkerusi Roda Singlife 2025, merupakan acara yang menyaksikan atlet, penyokong dan anggota masyarakat berkumpul untuk meraikan kejayaan dan semangat kesukanan yang bersifat terangkum pada 12 April. - Foto SINGLIFE

Pasukan Kesatuan Ragbi Singapura (SRU) muncul juara edisi pertama Piala Ragbi Berkerusi Roda Singlife 2025, selepas menewaskan Akademi Kelab Kriket Singapura (SCC) dengan keputusan 8-4 dalam perlawanan akhir yang mendebarkan.

Acara itu, yang menyaksikan pemain berkerusi roda dan pemain biasa bergabung tenaga dalam satu pasukan, berlangsung pada 12 April di North London Collegiate School (Singapura).

Ia dianjurkan oleh Persatuan Ragbi Kerusi Roda Singapura (WRAS) serta ditaja oleh syarikat perkhidmatan kewangan tempatan, Singlife.

Ragbi berkerusi roda dimainkan di atas gelanggang sebesar gelanggang bola keranjang, dengan bola yang digunakan ialah bola tampar.

Untuk mendapatkan mata, pemain mesti melintas garisan gol pihak lawan sambil memegang bola.

Kejohanan itu menampilkan lima pasukan, yang mana pasukan SRU menduduki tangga teratas dengan enam mata hasil tiga kemenangan dan satu kekalahan. 

Akademi SCC turut mendapatkan enam mata, namun dibezakan dengan perbezaan mata jaringan yang lebih rendah, sekali gus melayakkan mereka ke perlawanan peringkat akhir.

Walaupun mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang peringkat liga, Akademi SCC gagal menandingi keampuhan SRU dalam perlawanan penentu.

Kapten pasukan SRU, Tan Whee Boon, 60 tahun, menyifatkan kejayaan pasukannya sebagai hasil kerjasama pasukan.

“Menjuarai Piala Ragbi Berkerusi Roda Singlife merupakan satu perasaan yang luar biasa. Kami kaji permainan dan strategi lawan dengan teliti serta bekerjasama erat untuk mencari jalan menewaskan mereka,” kata beliau.

Azhar Samsuddin, 56 tahun, yang mewakili Akademi SCC, pula menyuarakan rasa bangga walaupun tewas.

“Walaupun kami kalah, saya tetap bangga dengan pasukan Akademi SCC. Kebanyakan daripada kami masih baru dalam sukan ini, tetapi kami berani berdepan lawan yang kuat,” kata beliau.

Acara tersebut menarik kehadiran ramai penyokong, anggota keluarga dan rakan-rakan yang hadir memberi sokongan dan semangat kepada para atlet.

Muhammad Taufik Omar, 57 tahun, pengguna kerusi roda yang bermain untuk pasukan SRU dalam pertandingan ini, menekankan kepentingan sokongan komuniti.

“Sokongan daripada penaja, Singlife, serta sorakan daripada penonton memberikan motivasi yang sangat besar. Ini menunjukkan bahawa ragbi berkerusi roda semakin mendapat pengiktirafan,” kata pengguna kerusi roda itu.

Singlife mengumumkan penajaan mereka untuk WRAS pada 4 April sebagai sebahagian daripada kempen “SG60 and Beyond” yang dijalankan syarikat tersebut, selari dengan usaha mereka menyokong sukan tempatan, serta memupuk nilai keterangkuman dan ketahanan dalam masyarakat sukan Singapura.

Sheikh Muhd Danial Bawthan, Naib Presiden WRAS, menekankan aspek komuniti dalam sukan ragbi berkerusi roda.

“Ia membina ketahanan diri, memupuk persahabatan dan memberi kuasa kepada individu untuk mengatasi batas diri mereka,” kata pemain ragbi kerusi roda berusia 31 tahun itu.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Singlife.

“Impian tetap impian, kita perlu berusaha untuk mencapainya — dan Singlife berada bersama kami untuk merealisasikan impian ini,” tambah beliau.

Selain acara itu, Singlife akan menaja acara Cabaran Korporat Ragbi Kerusi Roda Singlife 2025, yang dijadualkan berlangsung pada September.

Acara itu akan melibatkan pasukan korporat dalam format yang menyeronokkan, dengan objektif memupuk semangat berpasukan dan komuniti.

Inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha Singlife membantu WRAS meningkatkan kesedaran dan mengembangkan sukan ini.

Acara-acara seperti itu juga merupakan sebahagian daripada persiapan WRAS untuk menghantar atlet mereka bertanding di Sukan Paralimpik 2029.

Ditubuhkan pada 2020, WRAS kini mempunyai lebih daripada 50 anggota yang terlibat secara kompetitif dan secara riadah.

Namun, menurut pengurus pasukan WRAS, Muhammad Aidil Khalip, mereka masih memerlukan lebih ramai untuk menyertai sukan itu secara kompetitif.

Dengan penajaan SingLife, beliau berharap dapat mengembangkan pasukan, meningkatkan penyertaan dan kesedaran tentang sukan ini di peringkat tempatan dan antarabangsa. 

Beliau juga berharap ini bermakna WRAS boleh mendapatkan peralatan yang lebih baik dan memastikan pemain mendapat sokongan yang mencukupi dalam perjalanan ke Sukan Paralimpik.

“Kami telah mencapai kemajuan yang hebat. Kami telah mengalahkan beberapa pasukan teratas di Asia Tenggara seperti Thailand, jadi saya yakin bahawa dengan kerja keras berterusan, kami akan bersedia untuk cabaran tersebut,” kata beliau.

Kejayaan hasil kerjasama pasukan

“Menjuarai Piala Ragbi Berkerusi Roda Singlife merupakan satu perasaan yang luar biasa. Kami kaji permainan dan strategi lawan dengan teliti serta bekerjasama erat untuk mencari jalan menewaskan mereka.” 
Tan Whee Boon, kapten pasukan Kesatuan Ragbi Singapura (SRU).
Aspek komuniti dalam sukan ragbi berkerusi roda

“Ia membina ketahanan diri, memupuk persahabatan dan memberi kuasa kepada individu untuk mengatasi batas diri mereka.” 
Sheikh Muhd Danial Bawthan, Naib Presiden Persatuan Ragbi Kerusi Roda Singapura (WRAS).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg