Kekalahan kepada Indonesia bukan sahaja meninggalkan Singapura tanpa mata dalam aksi pembukaan Piala Asean Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Ia malah memaksa skuad Singa mencari jalan untuk bangkit tanpa kehadiran pemain pertahanan berpengalaman, Safuwan Baharudin menjelang pertemuan dengan Bangladesh pada 28 September.

Safuwan dilayangkan kad merah pada minit ke-70 dalam perlawanan menentang Indonesia, yang mana beliau didapati menghalang peluang jelas Indonesia untuk menjaringkan gol.

Walau bagaimanapun, menurut ketua jurulatih Singa, Gavin Lee, meskipun ketiadaan Safuwan bakal menyukarkan keadaan, ia mungkin ada hikmahnya.

“Apabila Saf (Safuwan) tiada, keadaan pastinya tidak begitu mudah. Saf selalunya menjadikan tugas kami jauh lebih mudah,” katanya semasa ditemui wartawan.

Namun, menurut Lee, ia membuka ruang kepada pemain lain untuk bangkit, menunjukkan semangat serta perwatakan mereka, untuk melupakan kekecewaan kekalahan perlawanan pembukaan.

“Ia memberi kami peluang bagi pemain lain untuk bangkit membuktikan keupayaan mereka,” tambahnya.

Dengan Safuwan tidak dapat diturunkan, perhatian akan beralih kepada pilihan pertahanan lain dalam skuad, seperti Irfan Najeeb dan Jacob Mahler.

Irfan Fandi juga menjadi antara nama yang mungkin disebut apabila membincangkan benteng pertahanan Singapura, tetapi pemain pertahanan itu tidak disenaraikan dalam skuad Singa untuk Piala Asean kali ini.

Ketua jurulatih Singa, Gavin Lee, mahu para pemainnya memberikan persembahan terbaik dan mempamerkan karakter sebenar di atas padang apabila menentang Bangladesh pada 28 September.
Ketua jurulatih Singa, Gavin Lee, mahu para pemainnya memberikan persembahan terbaik dan mempamerkan karakter sebenar di atas padang apabila menentang Bangladesh pada 28 September. - Foto FAS

Tumpuan Lee adalah kepada pemain yang berada bersamanya di Indonesia dan bagaimana mereka boleh memberikan tindak balas selepas kekalahan kepada Indonesia.

“Setiap perlawanan adalah perlawanan yang wajib dimenangi. Tiada bezanya,” katanya apabila ditanya sama ada perlawanan menentang Bangladesh kini menjadi perlawanan wajib menang.

Namun Lee tidak mahu pemainnya terlalu memikirkan kedudukan kumpulan atau keputusan pasukan lain.

“Perhatian kami kembali kepada apa yang boleh kami kawal, dan itu adalah persembahan kami sendiri,” tambah Lee.

Singapura sebenarnya menunjukkan peningkatan selepas separuh masa pertama yang sukar menentang Indonesia.

Selepas mendapatinya sukar untuk menyesuaikan diri dengan tempo permainan lawan, Singa tampil lebih yakin pada separuh masa kedua dan masih cuba bermain mengikut identiti mereka walaupun kehilangan seorang pemain.

Bagi Lee, pengalaman itu sepatutnya menjadi pembakar semangat menjelang perlawanan menentang Bangladesh.

“Persoalan bagi kami dalam kejohanan ini sekarang ialah, bagaimana anda bertindak balas? Kerana sama seperti mana-mana kejohanan yang anda sertai, anda tidak sentiasa berada dalam situasi yang selesa,” katanya.

Beliau mahu pasukannya menjawab persoalan itu di atas padang.

“Kami yakin pada diri sendiri untuk mempunyai identiti yang sangat jelas – pasukan yang tidak pernah menyerah kalah, tidak pernah mengaku kalah.

Ini adalah saat yang hebat untuk kami turun ke padang dan menunjukkan siapa kami yang sebenarnya,” kata Lee.

Pemain tengah Singa, Shah Shahiran, mahu rakan sepasukan melupakan kekecewaan lalu dan fokus meraih tiga mata penuh menentang Bangladesh pada 28 September.
Pemain tengah Singa, Shah Shahiran, mahu rakan sepasukan melupakan kekecewaan lalu dan fokus meraih tiga mata penuh menentang Bangladesh pada 28 September. - Foto BH oleh ABDUL QAYYUM SARIP
Pemain tengah Singa, Shah Shahiran berkata Skuad Singa bertekad untuk bangkit dalam perlawanan menentang Bangladesh pada 25 September selepas tumpas 0-2 kepada Indonesia dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A Piala Asean Fifa.
Pemain tengah Singa, Shah Shahiran berkata Skuad Singa bertekad untuk bangkit dalam perlawanan menentang Bangladesh pada 25 September selepas tumpas 0-2 kepada Indonesia dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A Piala Asean Fifa. - Foto FAS

Pemain tengah Singa, Shah Shahiran, berkata seluruh skuad tidak sabar untuk kembali beraksi dan melupakan kekecewaan kekalahan pembukaan itu.

“Sudah tentu, semua pemain sangat kecewa dengan keputusan tersebut, tetapi selepas menilai semula perlawanan itu, seperti yang dikatakan oleh jurulatih, kami cuma perlu lebih mempercayai diri sendiri.

“Bagi perlawanan menentang Bangladesh, kami sangat bersemangat dan tidak sabar untuk beraksi menentang mereka. Harapnya kami dapat meraih tiga mata dan menampilkan persembahan yang jauh lebih baik,” kata pemain berusia 26 tahun itu.

Bagi Lee, tindak balas yang diinginkan bukan sekadar mengenai keputusan pada wisel penamat, malah bagaimana pemain beraksi sepanjang 90 minit.

“Jika kami melangkah keluar dari padang dengan kesedaran bahawa kami telah memberikan sebaik mungkin, maka pada saat itulah saya rasa kami boleh berbangga dengan diri kami sendiri dan membuatkan orang ramai turut berbangga dengan kami,” ujarnya.