Selepas lebih dua tahun memegang jawatan Ketua Kenal Pasti Bakat di Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Kenneth Santa telah meninggalkan persatuan tersebut pada 14 Januari.
Santa, 42 tahun, yang dilantik pada Januari 2023, sebelum ini berkhidmat dalam pelbagai peranan mencungkil bakat di arena bola sepak Denmark.
Beliau juga pernah bertugas di beberapa negara Asia, termasuk di Akademi Aspire di Qatar dan Punjab FC di India.
Jawatan ini diwujudkan oleh FAS pada 2023 untuk memperkukuh struktur cungkil bakat.
Santa diberi tanggungjawab membangunkan rangka kerja yang kukuh bagi mengenal pasti pemain muda berbakat untuk pasukan bola sepak remaja Singapura.
Dalam kenyataan kepada The Straits Times (ST), jurucakap FAS memaklumkan bahawa persatuan itu telah mencapai persetujuan bersama dengan Santa untuk “berpisah secara baik dalam usaha FAS mencari hala tuju baru bagi sistem mengenalpasti bakat di Singapura”.
“Kenneth telah membangunkan struktur dan proses mengenalpasti bakat dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini,” kata jurucakap itu.
“Struktur dan proses – termasuk ujian kebangsaan untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia bawah 8 hingga bawah 15 tahun serta pangkalan data mencungkil bakat – telah membantu mengenal pasti dan memilih pemain bagi Pusat Pembangunan Nasional (NDC), Pusat Pembangunan Nasional Junior (JNDC) dan juga pemain berpotensi untuk pasukan bola sepak remaja kebangsaan kami.
“FAS akan terus memperkukuhkan program mengenalpasti bakat ini dengan memberi penekanan kepada kerjasama lebih erat dengan para pemegang taruh.”
FAS turut menegaskan bahawa proses mengenal pasti pemain adalah “usaha berterusan” yang akan diteruskan walaupun selepas pemergian Santa, dan proses ini kini berada di bawah bidang kuasa Pengarah Teknikal FAS, Michael Browne.
Santa merupakan rakan rapat Browne, yang kontraknya dilanjutkan setahun lagi pada Ogos lalu.
Sebagai Ketua Jabatan Kenal Pasti Bakat, Santa memainkan peranan penting dalam menubuhkan jabatan tersebut, termasuk melaksanakan inisiatif seperti mengerahkan pencungkil bakat sambilan untuk mencari bakat di perlawanan kelab dan akademi swasta, Sukan Sekolah Kebangsaan, serta ujian FAS.
Beliau juga mengetuai kursus mengenalpasti bakat FAS yang bertujuan melatih pencungkil bakat dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk mengenal pasti pemain muda berbakat.
Namun, ST difahamkan bahawa walaupun Santa berjaya merasmikan struktur pencungkilan dan mengenalpasti bakat di FAS, sesetengah individu yang bekerja dengannya mendapati beliau sering meluahkan rasa tidak puas hati terhadap bola sepak Singapura dan kadangkala kurang bekerjasama dengan pemegang taruhan yang lain.
Santa enggan memberi komen apabila dihubungi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg