MADRID: Ketua penganjur Piala Dunia 2030 Sepanyol meletak jawatan pada 26 Mac selepas dituduh memanipulasi proses pemilihan stadium untuk memberi keutamaan kepada sebuah bandar, lapor media Sepanyol.
Maria Tato berundur diri daripada jawatannya di Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) menyusuli laporan akhbar El Mundo yang mendakwa penilaian bagi lokasi berpotensi telah diubah bagi memihak kepada Stadium Anoeta di San Sebastian.
Ini sekali gus menjejas Stadium Balaidos di Vigo sebagai lokasi berpotensi.
“Pada 25 Jun 2024, Stadium Balaidos berada dalam kalangan 11 lokasi (di Sepanyol), tetapi pada 27 Jun senarai itu diubah,” kata Datuk Bandar Vigo, Abel Caballero, di platform X.
“Ini adalah perkara yang sangat serius. Kami menuntut penjelasan daripada mereka yang mengubahnya, mengapa dan berdasarkan syarat apa.”
RFEF tidak memberi maklum balas terhadap permintaan komen daripada AFP.
Persekutuan itu mengumumkan pada 2024 bahawa Sepanyol akan mempunyai 11 lokasi pada kejohanan tersebut, termasuk Stadium Camp Nou yang telah dibina semula di Barcelona dan Stadium Santiago Bernabeu milik Real Madrid.
Manakala rakan penganjur, Portugal dan Maghribi, masing-masing mempunyai tiga dan enam lokasi.
RFEF telah dilanda pelbagai krisis sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Bekas presidennya, Luis Rubiales, meletak jawatan dalam keadaan memalukan pada September 2023 selepas mencium bintang Piala Dunia Wanita, Jenni Hermoso, secara paksa selepas kemenangan Sepanyol di Sydney.
Pewarisnya, Pedro Rocha, digantung tugas kerana salah guna kuasa selepas mula memegang jawatan presiden sementara RFEF, sebelum Rafael Louzan mengambil alih pada Disember 2024. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg