Selepas bangkit dengan penuh bergaya untuk menewaskan Republik Czech 2-1, Korea Selatan kembali menjadi tumpuan, namun atas sebab yang jauh berbeza daripada aksi mereka di padang.

Pasukan itu, yang diketuai kapten Son Heung-min, dilaporkan telah memboikot media Korea Selatan selepas timbulnya komen yang mempersendakan perkhidmatan ketenteraan beliau.

Kontroversi itu tercetus selepas beberapa anggota media Korea Selatan dituduh membuat dakwaan bahawa Son “tidak menjalankan khidmat ketenteraan dengan betul”.

Sebagai tindak balas, Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) mengecam komen berkenaan dan mempertahankan kapten pasukan kebangsaan itu, sambil menegaskan bahawa Son telah memenuhi semua syarat di bawah undang-undang Korea Selatan.

Di Korea Selatan, semua lelaki yang sihat dari segi fizikal dan mental wajib menyelesaikan perkhidmatan tentera selama kira-kira 21 bulan.

Namun, Son, bersama pasukannya pada Sukan Asia 2018, memperoleh pengecualian tentera menerusi sumbangannya dalam kempen kemenangan pingat emas di pertandingan tersebut.

“Dengan tanggungjawab mewakili Korea Selatan di pentas global Piala Dunia, skuad Korea Selatan sedang melakukan yang terbaik demi membalas sokongan dan harapan rakyat.

“Namun begitu, perbualan tidak beralas baru-baru ini yang melibatkan beberapa pegawai media di tapak latihan telah mencetuskan kejutan besar dan kekecewaan kepada pasukan.

“KFA akan terus mengutamakan perlindungan skuad berkenaan dan berusaha untuk mewujudkan persekitaran media yang sihat,” kata KFA dalam satu kenyataan.

Pertikaian itu dilaporkan telah membawa kepada peletakan jawatan salah seorang pegawai media pasukan tersebut.

Namun, skuad kebangsaan masih belum mengesahkan laporan peletakan jawatan berkenaan.

Son sebenarnya pernah menjalani latihan ketenteraan asas selama tiga minggu di Korea Selatan yang melibatkan pendedahan kepada gas pemedih mata, latihan menembak menggunakan peluru, dan kegiatan berjalan kaki sejauh 30 kilometer.

Bekas penyerang Tottenham Hotspur itu menyelesaikan tempoh latihan berkenaan pada 2020, ketika perlawanan Liga Perdana England (EPL) ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

Son merupakan pemain yang mempunyai penampilan terbanyak buat negaranya – dengan 144 penampilan – dan kini beraksi dalam Piala Dunia yang keempat buat dirinya.

Beliau menyatakan dengan jelas keterujaannya untuk kembali mewakili negaranya di pentas terbesar itu sekali lagi.

“Saya sangat gembira dapat kembali ke padang Piala Dunia, sesuatu yang saya impikan sejak dari usia yang sangat muda," katanya sebelum perlawanan pembukaan peringkat kumpulan menentang Republik Czech.

‘Sama ada ia Piala Dunia pertama atau keempat saya, saya tetap berasa seperti seorang anak kecil semula. Ini adalah pentas impian saya.’”

Pemain tengah Korea Selatan, Hwang In-beom, meraikan gol pertama pasukannya dalam kemenangan 2-1 ke atas Republik Czech dalam aksi pembukaan Kumpulan A.
Pemain tengah Korea Selatan, Hwang In-beom, meraikan gol pertama pasukannya dalam kemenangan 2-1 ke atas Republik Czech dalam aksi pembukaan Kumpulan A. - Foto AFP

Pasukan bimbingan Hong Myung-bo memulakan kempen mereka dengan kemenangan 2-1 ke atas Republik Czech, menerusi jaringan daripada Hwang In-beom dan Oh Hyeon-gyu.

Mereka bakal menentang pasukan penganjur bersama Mexico pada 19 Jun di Guadalajara, sebelum menutup saingan Kumpulan A dengan menentang Afrika Selatan di Monterrey pada 25 Jun.