GUADALAJARA (Mexico): Korea Selatan bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk mencatatkan kemenangan 2-1 yang mendebarkan ke atas Republik Czech dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A Piala Dunia pada 11 Jun.

Meskipun pemain gantian, Oh Hyeon-gyu, menjaringkan gol kemenangan buat Korea Selatan, Hwang In-beom muncul sebagai wira pasukan.

Hwang mencetus semangat kebangkitan menerusi gol penyamaan pada minit ke-67, sebelum mengumpan bola kepada Oh pada minit ke-80 untuk menggenggam kemenangan pertama mereka dalam kempen Piala Dunia 2026.

Terdahulu, pada hari yang sama di Stadium Azteca, Mexico meraikan kemenangan bergaya ke atas Afrika Selatan di hadapan 80,000 penyokong.

Negara tuan rumah bersama itu menewaskan Afrika Selatan 2-0 dalam satu pertembungan sengit yang menyaksikan tiga kad merah dilayangkan.

Kedua-dua pasukan Korea Selatan dan Republik Czech dilihat agak buntu pada babak pertama.

Korea Selatan mempamerkan corak hantaran yang tajam, manakala Republik Czech lebih menonjol menerusi kelebihan fizikal serta kebijaksanaan memanfaatkan strategi semasa hantaran percuma.

Republik Czech akhirnya membuka tirai jaringan pada minit ke-59 menerusi Ladislav Krejci, yang melompat tinggi untuk menanduk masuk balingan bola jarak jauh oleh Vladimir Coufal.

Gol tersebut menyemarakkan lebih 44,000 penyokong yang hadir di Stadium Guadalajara, sekali gus mendorong Korea Selatan meningkatkan asakan demi memadamkan api semangat pihak lawan.

Usaha itu berbaloi apabila Hwang menemui gol penyamaan pada minit ke-67.

Beliau memukau benteng lawan dengan gerakan cerdas, lalu menjaring gol mudah ke dalam gawang yang tidak terjaga.

Beliau kemudian bergabung dengan Oh untuk memberi Korea Selatan kelebihan pada minit ke-80.

Hantaran silang Hwang ditemui Oh, yang mengatasi Matej Kovar dengan rembatan yang hebat.

Republik Czech terus mengancam benteng Korea Selatan demi meraih sekurang-kurangnya keputusan seri, namun terpaksa mengaku kalah.

Penyerang Korea Selatan, Hwang In-beom (kanan), menjaringkan gol pertama pasukannya untuk menyama kedudukan kepada 1-1 pada minit ke-67.
Penyerang Korea Selatan, Hwang In-beom (kanan), menjaringkan gol pertama pasukannya untuk menyama kedudukan kepada 1-1 pada minit ke-67. - Foto REUTERS
Gol oleh Oh Hyeon-gyu (tengah) memberi Korea Selatan kelebihan pada minit ke-80, sekali gus memastikan kemenangan 2-1 ke atas Republik Czech dalam perlawanan Kumpulan A Piala Dunia 2026 pada 11 Jun di Stadium Guadalajara.
Gol oleh Oh Hyeon-gyu (tengah) memberi Korea Selatan kelebihan pada minit ke-80, sekali gus memastikan kemenangan 2-1 ke atas Republik Czech dalam perlawanan Kumpulan A Piala Dunia 2026 pada 11 Jun di Stadium Guadalajara. - Foto EPA

Perlawanan pertama Piala Dunia 2026 di Stadium Azteca antara Mexico dan Afrika Selatan turut berlangsung dengan penuh aksi.

Jaringan awal oleh Julian Quinones pada minit kesembilan meredakan tekanan awal tuan rumah itu dan mencetuskan sorakan gemuruh di seluruh stadium.

Quinones merampas bola daripada benteng Afrika Selatan yang kucar-kacir sebelum mengatasi penjaga gawang, Ronwen Williams.

Kerapuhan Afrika Selatan hanya bertambah apabila Yaya Sithole dilayang kad merah kerana menghalang peluang jaringan Mexico.

Penyerang Mexico, Julian Quinones, meraikan gol pertama pasukannya ketika menewaskan Afrika Selatan 2-0 di Stadium Azteca pada 11 Jun.
Penyerang Mexico, Julian Quinones, meraikan gol pertama pasukannya ketika menewaskan Afrika Selatan 2-0 di Stadium Azteca pada 11 Jun. - Foto AFP

Mexico terus memanfaatkan kekurangan seorang pemain pihak lawan itu.

Raul Jimenez kemudian menggandakan kelebihan pasukannya dengan menanduk bola ke dalam gawang, hasil hantaran silang yang tepat oleh Roberto Alvarado pada minit ke-67.

Aksi perlawanan berbaki pula menutup secara dramatik, dengan dua lagi kad merah dilayang.

Pemain Afrika Selatan, Themba Zwane, dan pemain Mexico, Cesar Montes, masing-masing dilayang kad merah atas kekasaran terhadap pihak lawan.

Namun begitu, Mexico tetap bangga kerana akhirnya menamatkan nasib malang apabila gagal memenangi perlawanan pertama dalam kempen Piala Dunia selama tujuh edisi yang lalu.

Mexico dan Korea Selatan akan bersua pada 9 pagi pada 19 Jun (waktu Singapura), manakala Republik Czech akan menentang Afrika Selatan pada 12 pagi. – Agensi berita.

Penyerang Mexico, Raul Jimenez (kanan), menggandakan kelebihan pasukannya dengan gol kedua dalam kemenangan 2-0 ke atas Afrika Selatan semeasa perlawanan Kumpulan A Piala Dunia 2026 pada 11 Jun di Stadium Azteca.
Penyerang Mexico, Raul Jimenez (kanan), menggandakan kelebihan pasukannya dengan gol kedua dalam kemenangan 2-0 ke atas Afrika Selatan semeasa perlawanan Kumpulan A Piala Dunia 2026 pada 11 Jun di Stadium Azteca. - Foto REUTERS

Perlawanan Piala Dunia 2026 pada 13 Jun (waktu Singapura):

  1. Canada vs Bosnia dan Herzegovina – 3 pagi
  2. Amerika Syarikat vs Paraguay – 9 pagi