MADRID: Pelumba harapan Mercedes, Kimi Antonelli, semakin menghampiri gelaran juara dunia Formula Satu (F1) selepas memenangi perlumbaan sulung Grand Prix (GP) Sepanyol di litar baharu Madrid, Madring, pada 13 September, hasil sedikit tuah yang menyebelahi dirinya.

Kemenangan pelumba berusia 20 tahun dari Italy itu di Madring – yang juga kemenangan kelapannya musim ini – mengukuhkan kedudukannya di puncak kejuaraan dengan kelebihan 81 mata selepas 14 pusingan.

Antonelli mendapat kelebihan daripada kemunculan kereta keselamatan maya (VSC) tepat pada masanya serta kesilapan di tempat hentian pit pasukan McLaren pada pusingan ke-16 daripada 57 pusingan. 

Insiden itu meragut peluang pelumba yang mendahului pada peringkat awal, Lando Norris, untuk memenangi perlumbaan di litar yang menyaksikan aksi memotong hampir mustahil untuk dilakukan.

“Saya rasa ia satu kemenangan yang baik hari ini, tetapi perasaannya tidak begitu memuaskan kerana saya rasa Lando lebih layak untuk menang. Tetapi, kami tetap terima keputusan ini,” kata Antonelli.

Pelumba Red Bull, Max Verstappen, menduduki tempat kedua manakala Norris berada di tempat ketiga.

Antonelli kini mengumpul 292 mata, manakala pencabar terdekat yang juga rakan sepasukannya, George Russell – yang menamatkan perlumbaan di tempat kelima – mengumpul 211 mata.

“Tiada apa yang boleh saya lakukan... cuma nasib tidak menyebelahi kami,” kata Norris.

Antonelli terpaksa menyerahkan semula kedudukan pendahulu sebanyak dua kali kepada Norris pada pusingan pertama selepas terbabas keluar litar dan memanfaatkannya ketika bersaing di selekoh awal.

Namun, pelumba Britain itu kembali menemui rentak dan mula melebarkan jarak.

Verstappen juga sempat memotong Antonelli sebelum terpaksa menyerahkan semula kedudukan itu kepadanya, selain bersaing sengit bertukar kedudukan dengan Lewis Hamilton sebelum pelumba Ferrari itu terpaksa menarik diri akibat masalah brek.

Norris mendahului dengan selesa, dengan kelebihan enam saat dan keadaan juga kelihatan terkawal.

Kemudian, pelumba Aston Martin, Lance Stroll, menyalakan isyarat VSC selepas keretanya tersangkut di litar pada pusingan ke-14.

Ketiga-tiga Antonelli, Verstappen dan Russell mengambil kesempatan untuk membuat hentian pit yang menjimatkan masa (cheap pit stop), namun Norris gagal berbuat demikian kerana telah melepasi laluan masuk.

Apabila beliau melintasi laluan itu semula pada pusingan berikutnya, tempoh VSC telah tamat.

Meskipun begitu, McLaren tetap memanggil Norris memasuki pit pada pusingan ke-16 untuk menukar tayar keras. 

Namun, hentian pit yang memakan masa tujuh saat itu menyebabkannya kembali ke litar di kedudukan kelima.

Insiden itu ternyata menjadi detik penentu perlumbaan, dengan baki saingan petang itu sekadar menyaksikan pergerakan kereta berkelajuan tinggi menuju ke garisan penamat tanpa sebarang insiden besar.

Ini meskipun terdapat kebimbangan awal berlakunya siri kemalangan dan kibaran bendera merah seperti yang berlaku dalam perlumbaan kategori junior sebelum itu.

Antonelli melintasi garisan penamat dengan kelebihan 4.351 saat di hadapan Verstappen, manakala Norris menyusul 0.7 saat di belakang.

Sementara itu, juara dunia tujuh kali, Hamilton, pada 13 September berkata Antonelli dan pasukan Mercedes hampir pasti merangkul gelaran juara F1 2026.

“Tiada apa yang mampu menghalang beliau dan Mercedes (daripada merangkul kejuaraan) tahun ini,” kata Hamilton, yang kekal di kedudukan ketiga keseluruhan selepas terpaksa menarik diri daripada GP Sepanyol.

“Mereka telah melakukan tugas yang sangat menakjubkan dan mereka memang layak menerimanya.”

Mercedes mendahului 145 mata di hadapan Ferrari yang menduduki tempat kedua, manakala juara bertahan, McLaren, ketinggalan 52 mata di belakang Ferrari. – Reuters.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti