MONTREAL: Kimi Antonelli muncul sebagai pemandu Italy pertama dalam tempoh 16 tahun yang berjaya menamatkan saingan di podium Formula Satu (F1) di Canada pada 15 Jun.
Pelumba Mercedes berusia 18 tahun itu berjaya mendapatkan tempat di tangga ketiga kali ini, tetapi tiada siapa yang meragui pemandu F1 termuda ketiga yang meraih tempat tiga teratas itu akan mengulangi keputusan yang serupa.
Pemandu Italy terakhir yang berjaya ke podium ialah Jarno Trulli pada Oktober 2009.
“Saya tahu Kimi muncul menerusi pemanduannya yang baik dan orang sudah bercakap perkara yang hebat mengenai beliau dan saya memerhatikannya,” kata juara dunia empat kali Red Bull, Max Verstappen, yang mendapat tempat di podium pertamanya pada usia 18 tahun.
“Saya fikir apa yang mengagumkan adalah dia secara semula jadi dapat memandu dengan laju. Apa yang saya suka ialah pendekatannya yang tenang. Itu adalah ciri yang hebat untuk dimiliki.
“Saya sangat gembira kerana ia berlaku kepadanya. Ia menambahkan keyakinan dan memberi rangsangan yang bagus. Dan ia hanya akan menjadi lebih baik,” tambah pemandu Belanda itu.
Antonelli telah mengambil tempat yang dikosongkan oleh juara dunia sebanyak tujuh kali, Lewis Hamilton, tetapi pasukan itu telah menekankan bahawa beliau memerlukan masa untuk belajar, dan akan membuat beberapa kesilapan.
Malah, beliau telah mencatatkan sangat sedikit kesilapan dalam musim yang telah menyaksikannya menjadi pemandu termuda yang mengambil petak pertama, walaupun ketika memecut, mendahului perlumbaan dan mencatat pusingan terpantas.
“Saya hanya berharap perlumbaan itu akan cepat tamat,” kata Antonelli mengenai kejayaannya merampas tempat ketiga daripada pendahulu kejuaraan McLaren, Oscar Piastri, pada pusingan pembukaan dan kemudian bertahan.
Antonelli berkata beberapa pusingan terakhir sangat mencabar, dengan Piastri semakin hampir, tetapi kereta keselamatan yang tiba selepas Piastri dengan rakan sepasukan, Lando Norris, berlanggar telah mengurangkan tekanannya.
Melangkah keluar ke podium Montreal dan mendengar laungan orang ramai di litar di bandar yang terdapat ramai masyarakat Italy itu adalah lebih baik daripada apa yang dibayangkannya. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg