Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Piastri atasi Norris di F1 Miami, luaskan kedudukan teratas

McLaren pamer handal dengan menguasai kedudukan 1-2 dengan George Russell dari Mercedes duduki tempat ketiga
May 5, 2025 | 2:26 PM
Sukan, F1, Oscar Piastri, McLaren
Pemenang perlumbaan Grand Prix di Miami, Florida, Oscar Piastri dari Australia dan pasukan McLaren meraikan kemenangannya itu pada 4 Mei. - Foto AFP

MIAMI: Pelumba McLaren, Oscar Piastri, menang buat kali keempat dalam enam perlumbaan sepanjang lima bulan pertama 2025, apabila beliau menewaskan rakan sepasukannya Lando Norris dalam perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Miami yang penuh aksi.

Kedua-dua pemandu McLaren bertarung sengit dengan pendahulu awal Max Verstappen daripada pasukan Red Bull ketika memulakan perlumbaan.

Piastri, yang bermula di petak keempat, memandu dengan cemerlang untuk melepasi kedua-dua pemandu Mercedes, Kimi Antonelli dan kemudian Verstappen sebelum beliau berupaya mendahului, dan meluaskan jurangnya dengan pelumba lain hingga ke garisan penamat.

Norris pula mundur ke tempat keenam pada pusingan pertama selepas keretanya tersasar ketika bersaing dengan Verstappen.

Norris mendahului Piastri pada separuh masa kedua perlumbaan tetapi pelumba Australia itu mengekalkan kedudukannya di hadapan.

George Russell dari Mercedes pula mendapat manfaat daripada salah satu daripada tiga tempoh kehadiran kereta keselamatan maya (VSC) untuk mendahului Verstappen dan menaiki podium apabila menamatkan saingan di tempat ketiga.

Perlumbaan tersebut menimbulkan ketegangan dalam pasukan Ferrari apabila permintaan Lewis Hamilton untuk melepasi rakan sepasukan Charles Leclerc ketika mereka berlumba dengan strategi tayar yang berbeza, mulanya ditolak. Namun permintaan Hamilton itu kemudian mendapat ‘lampu hijau’ daripada pasukannya.

Hamilton dibenarkan berbuat demikian bagi mencabar Antonelli di hadapannya, tetapi gagal mengejar pemandu Italy itu, mahupun memotong di hadapan Leclerc.

Sesi permulaan perlumbaan penuh dengan drama dengan Verstappen memandu jauh ke selekoh pertama dan Norris cuba melepasinya di selekoh seterusnya.

Tetapi Verstappen membelok ke arahnya dan Norris terkeluar daripada litar, lantas kehilangan tempat kepada Antonelli, Piastri, Russell dan Alex Albon daripada pasukan Williams.

Norris mengadu bahawa Verstappen telah menyebabkan beliau tersasar keluar daripada litar, tetapi para pengendali perlumbaan memutuskan langkah itu adalah sah, lalu tiada tindakan ke atas Verstappen.

Ini menyebabkan kedua-dua pemandu McLaren itu perlu membuat keputusan untuk cuba menyaingi Verstappen, dan mereka memulakan usaha itu dengan penuh semangat dan keazaman.

Di kelompok pelumba hadapan, Piastri melepasi Antonelli dengan berani pada sektor pertama pusingan, sebelum memecut mengejar Verstappen.

Piastri berada di belakang Verstappen pada pusingan kelapan dan mula berusaha cara untuk melepasi pemandu Red Bull itu.

Verstappen berulang kali dapat menangkisnya, memaksa Piastri ke bahagian luar.

Selepas beberapa percubaan, Piastri akhirnya berjaya memintas pesaingnya itu pada pusingan ke-14.

Verstappen sekali lagi bertahan ke bahagian dalam di selekoh terakhir, dan itu membolehkan Piastri memecut ke arahnya untuk memintas.

Piastri kemudian cuba memintas lagi di bahagian luar dalam Pusingan Satu, dan berjaya melakukannya.

Persaingan antara mereka telah membolehkan Norris mendekatkan jurang dengan kededua pelumba di hadapannya itu.

Norris berjaya melepasi Verstappen dengan memintas di bahagian luar pada pada pusingan ke-17, tetapi beliau tersasar keluar dari landasan semasa melakukannya, dan terpaksa mengalah.

Tetapi satu pusingan kemudian, beliau berjaya membuat gerakan dengan mudah.

Verstappen kelihatan tidak “kuasa” bertahan selepas merasakan persaingannya sudah tamat.

Verstappen dengan pantas mengalah pula kepada pemandu McLaren, kehilangan sembilan saat dalam seberapa banyak pusingan sebelum hentian pitnya.

Hari bagi juara dunia itu menjadi lebih buruk apabila VSC dioperasikan semasa tempoh di perhentian pit.

Russell, yang merupakan satu-satunya pemandu dalam 10 tempat teratas yang memulakan perlumbaan dengan tayar keras, masih belum melakukan perhentian pit dengan VSC membenarkannya untuk mendapatkan tayar baru.

Untuk sementara waktu, Verstappen mendekati Russell, namun gagal membuat sebarang kemajuan.

Pengendali perlumbaan kemudiannya menolak bantahan oleh Red Bull bahawa warga Britain itu gagal untuk memperlahankan keretanya semasa di bawah bendera kuning.

Di bahagian depan, Norris menghalang Piastri, tetapi selepas mengurangkan separuh defisitnya kepada empat saat, pemandu Australia itu meningkatkan rentaknya untuk menunjukkan yang beliau mempunyai banyak masa sebelum mendahului dengan selesa hingga ke penghujung.

Ia adalah kali pertama pemandu McLaren memenangi tiga perlumbaan berturut-turut sejak Mika Hakkinen sepanjang musim 1997-1998.

Kemenangan Piastri mengukuhkan kedudukannya di atas senarai kedudukan pemandu, mengatasi Norris dengan kelebihan tujuh mata, dengan Verstappen ketinggalan di tempat ketiga.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg