YOKOHAMA (Jepun): Pemain Liverpool, Wataru Endo, mendedahkan beliau pernah gagal menyertai kelab Yokohama F Marinos selepas menjalani satu ujian bakat bersama kelab Liga Jepun itu pada suatu ketika dahulu.
Pemain tengah dari Jepun itu berkata demikian selepas pulang ke tanah airnya pada 30 Julai sebagai pemain Liverpool.
Ini adalah kali pertama Endo beraksi dengan memakai jersi Liverpool di tanah airnya dalam satu perlawanan persahabatan pramusim menentang Yokohama.
Juara Liga Perdana England itu menewaskan Yokohama 3-1 dalam perlawanan tersebut.
“Saya sebenarnya menyokong kelab ini dan pernah menjalani satu ujian bakat, tetapi saya tidak berjaya menyertai kelab ini.
“Kini saya kembali ke sini sebagai pemain Liverpool. Ia adalah satu impian yang menjadi nyata,” kata Endo kepada laman web rasmi Liverpool.
“Ia adalah saat yang menakjubkan bagi saya kerana saya kembali ke Jepun sebagai pemain Liverpool. Bagi saya, ia sangat bermakna,” tambahnya.
Endo, 32 tahun, membuat penampilan pertama dalam kategori senior bersama kelab Shonan Bellmare, yang berpangkalan di Hiratsuka, lebih 30 kilometer dari Yokohama.
Beliau pernah bermain untuk kelab Bundesliga Jerman, VfB Stuttgart, sebelum menyertai Liverpool pada 2023.
Tonggak pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk, telah menyerahkan lilitan kapten kepada Endo semasa Endo menggantikan pemain Belanda itu pada separuh masa kedua.
“Saya rasa ia adalah satu isyarat yang sangat baik. Saya rasa mungkin semua rakyat Jepun mahu saya menjadi kapten,” ujar Endo.
Liverpool akan memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Liga Perdana England dengan perlawanan di tempat sendiri menentang Bournemouth pada 15 Ogos. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg