Topik diikuti
Pergi ke BHkuKinoshi undur diri sebagai ketua jurulatih BG Tampines Rovers
Kinoshi undur diri sebagai ketua jurulatih BG Tampines Rovers
Kinoshi undur diri sebagai ketua jurulatih BG Tampines Rovers
Alasan keluarga telah dinyatakan sebagai punca peletakan jawatan ketua jurulatih BG Tampines Rovers, Katsuhito Kinoshi, baru-baru ini.
Perkara itu menjadikan pemergiannya sebagai pengurus keempat di kelab tersebut dalam tempoh kurang daripada setahun.
Menerusi satu kenyataan di laman Instagram rasmi kelab itu pada 15 April, jurulatih dari Jepun itu memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat atas faktor keluarga.
Kinoshi baru sahaja mengendalikan pasukan tersebut bagi dua perlawanan selepas dilantik secara rasmi pada 3 April.
Buat sementara waktu, pengurus besar dan jurulatih penjaga gol, William Phang, akan mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih sementara sehingga penghujung musim 2025/26.
Pelantikan Phang dilihat sebagai langkah kesinambungan oleh pihak kelab, memandangkan beliau telah bersama Tampines sejak 2017 serta mempunyai pemahaman mendalam terhadap struktur, taktikal dan falsafah permainan pasukan.
Sepanjang tempohnya bersama Tampines, beliau turut memainkan peranan penting dalam membentuk barisan penjaga gol termasuk kapten kelab, Syazwan Buhari, yang kekal sebagai tonggak utama pasukan musim ini.
Mengulas mengenai peranan barunya, Phang berkata beliau sentiasa bersedia untuk menyahut cabaran apabila diperlukan oleh kelab.
“Saya sentiasa bersedia untuk melangkah ke hadapan apabila kelab memerlukan saya,” kata jurulatih berusia 44 tahun itu.
“Saya teruja dan berbesar hati untuk memimpin pasukan dalam enam perlawanan terakhir ini, dan berharap dapat membimbing pasukan dalam perebutan kejuaraan yang masih berlangsung.”
Pengerusi kelab, Shungo Sakamoto, turut mengakui bahawa situasi semasa mungkin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penyokong, namun menegaskan bahawa kestabilan kekal menjadi keutamaan utama kelab.
“Kami memahami bahawa penyokong mempunyai kebimbangan dalam tempoh ini. Dalam situasi yang tidak dijangka, matlamat kami adalah untuk mengekalkan kesinambungan pasukan walaupun berdepan perubahan yang pantas,” ujarnya.
Beliau menjelaskan bahawa keputusan melantik Phang dibuat selepas menilai pilihan dalaman, dengan mengambil kira pengalaman luas serta penglibatan jangka panjangnya bersama pasukan.
“Kami yakin beliau adalah calon terbaik buat masa ini kerana pemahaman mendalamnya terhadap taktikal dan falsafah teras kelab,” tambahnya.
Menurut Sakamoto lagi, pelantikan tersebut juga telah disahkan mematuhi peraturan Liga Perdana Singapura (SPL) musim 2025/26 serta kriteria pelesenan kelab Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Beliau turut menyuarakan keyakinan penuh terhadap kemampuan Phang untuk memimpin pasukan, sambil menyeru semua pihak agar kekal bersatu menjelang baki saingan musim ini.
“Kami mempunyai keyakinan penuh terhadap beliau dan berharap pasukan akan terus bersatu serta mengharungi baki kempen liga ini dengan semangat yang tinggi,” katanya.
Dengan berbaki enam perlawanan, Tampines masih bersaing bagi memburu kejuaraan liga.
Mereka menduduki tangga kedua dengan 36 mata, di belakang pendahulu SPL, Lion City Sailors, yang mempunyai 44 mata.
Namun, Tampines mempunyai kelebihan satu perlawanan dalam tangan.
Yang jelas, Phang menghadapi tugas mencabar dan anak didiknya tidak mampu cicir mata jika mahu mengejar Sailors.
