Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kisah pelarian tinggalkan Kabul, kejar emas Olimpik

Atlet taekwando asal Afghanistan Farzad Mansouri terpilih sertai Pasukan Olimpik Pelarian IOC di Paris
Jun 28, 2024 | 5:30 AM
Farzad Mansouti  dipilih menyertai  Pasukan Olimpik Pelarian Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) didorong oleh negara yang ditinggalkannya, Afghanistan, dan diceriakan oleh negara hosnya, United Kingdom, yang menyambut kehadirannya.
Farzad Mansouti dipilih menyertai Pasukan Olimpik Pelarian Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) didorong oleh negara yang ditinggalkannya, Afghanistan, dan diceriakan oleh negara hosnya, United Kingdom, yang menyambut kehadirannya. - Foto FACEBOOK FARZAD MANSOURI

KABUL (Afghanistan): Dengan memakai jubah putih tradisional, tunik (pakaian luar) bercorak dan pelitup muka hitam, Farzad Mansouri dengan bangganya mengangkat masuk bendera Afghanistan ke Stadium Olimpik semasa Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Semasa beliau berjalan di hadapan tempat duduk kosong dan jutaan penonton televisyen di serata dunia, Mansouri tidak tahu bahawa beberapa minggu selepas itu beliau akan berebut untuk meninggalkan negara yang diwakilinya dalam taekwando.

Remaja itu tidak dapat meramalkan adegan terdesak di lapangan terbang Kabul apabila beliau dan puluhan ribu rakan senegaranya cuba menaiki penerbangan pemindahan untuk melarikan diri daripada Taliban.

Mansouri tidak tahu beliau akan bersedihan dek kematian rakan sepasukannya dalam satu serangan bom nekad.

Beliau juga tidak dapat membayangkan dirinya akan menghabiskan masa berbulan-bulan tinggal bersama lima ahli keluarganya dalam satu bilik di kem pelarian di Abu Dhabi sebelum menuju ke United Kingdom (UK) sendirian.

“Apabila saya meninggalkan negara dan rumah saya, satu-satunya pakaian yang saya ada ialah kit Olimpik saya,” katanya kepada BBC Sport.

“Satu-satunya matlamat saya ialah Sukan Olimpik. Saya berkata saya akan meneruskan apa sahaja yang saya boleh supaya saya boleh pergi ke Sukan Olimpik Paris 2024.”

Dan selepas latihan di tempat sementara di kem pelarian, tidak berjumpa ibu bapanya lebih dua tahun dan terlepas banyak pertandingan kerana masalah visa, Mansouri berjaya jua.

Kini, pada usia 22 tahun, beliau akan bersaing di bawah bendera berbeza di Paris.

Apabila para atlet belayar menyusuri Sungai Seine di Paris pada majlis perasmian pada Julai, Mansouri akan berada di bawah sepanduk yang tertera logo Olimpik.

Beliau telah dipilih untuk menyertai Pasukan Olimpik Pelarian Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), didorong negara yang ditinggalkannya dan diceriakan oleh rumah baru yang menyambut kehadirannya.

Mansouri berada di Tokyo, selepas tewas dalam perlawanan 16 peserta terakhir dalam kategori 80 kilogram di Sukan Olimpik, apabila seorang saudara lelakinya yang tinggal di London menghubunginya.

Mesej saudaranya jelas: “Jangan pulang ke Afghanistan. Saya tahu semuanya akan menjadi buruk.”

Satu perikatan pasukan asing, yang diketuai Amerika Syarikat dan termasuk UK, telah berundur dari Afghanistan selepas mencapai satu perjanjian bersama Taliban, dua dekad selepas menyingkirkan kumpulan Islam tegar itu daripada kuasa.

Semasa Mansouri bertanding di Olimpik Tokyo, Taliban mengambil alih kuasa dengan pantas apabila tentera Amerika berundur dan mengurangkan sokongan kepada tentera Afghanistan.

Walaupun setelah mendengar apa yang telah berlaku, Mansouri memberitahu saudaranya beliau akan pulang: “Saya sedang membawa bendera saya. Saya akan tinggal di Afghanistan hingga saya selamat.

“Saya perlu pergi ke Afghanistan kerana jika saya pergi ke London, mereka akan berkata, ‘oh, beliau mungkin membawa benderanya hanya untuk menunjuk’. Tetapi ia tidak seperti itu.

“Saya pulang ke Afghanistan dan selepas dua minggu keadaan menjadi sangat teruk.”

Taliban mengambil alih kuasa ke atas Kabul pada 15 Ogos 2021, dengan ibu kota itu menjadi huru-hara. Bimbang akan kembalinya pemerintahan tegar Taliban, rakyat Afghanistan dan warga asing bergegas mencari peluang terbang keluar dari negara itu.

Mansouri, yang ketika itu berusia 19 tahun, berkata beliau segera menyedari bahawa beliau perlu menyertai mereka.

Semasa menjadi pelarian di Abu Dhabi bersama ribuan pelarian Afghanistan lain, Mansouri terus berlatih bagi mengekalkan kecergasannya, dan ketika itu juga beliau mendapat pelbagai tawaran dari banyak negara, termasuk Belanda dan Azerbaijan.

Namun baginya tawaran daripada UK paling menarik kerana atlet dan kemudahan taekwondonya bertaraf dunia.

Semasa tiba di England, Mansouri berhadapan masalah berbahasa Inggeris.

Lama-kelamaan beliau selesa dalam bahasa Inggeris dan diterima dengan tangan terbuka oleh pasukan taekwondo Britain.

Sementara itu, IOC telah memperkenalkan pasukan pelarian dalam Olimpik 2016.

Bagi Olimpik Paris 2024, pasukan itu akan memaparkan 36 atlet dari 11 negara berbeza, dan akan terlibat dalam 12 sukan berbeza.

“Apabila saya fikirkan tentang situasi saya pada masa lalu di Abu Dhabi dan di lapangan terbang di Kabul, itu yang memberi saya banyak motivasi untuk berlatih lebih bersungguh-sungguh.

“Saya akan cuba mendapatkan keputusan terbaik (dalam Sukan Olimpik Paris) buat negara saya, buat mereka yang membantu saya di Great Britain (GB) dan pasukan Taekwondo GB dan jurulatih saya, serta keluarga saya.

“Terutamanya keluarga saya yang meninggalkan negara asal kami semata-mata untuk saya.

“Jadi saya akan berusaha mendapatkan keputusan terbaik buat pasukan Olimpik pelarian dan secara bersama kami dapat bersaing dalam Olimpik,” ujar Mansouri. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg