PARIS: Perenang Perancis, Rafael Fente-Damers, melayakkan diri ke Sukan Paris selepas mendapat tempat kedua di peringkat akhir sukan renang gaya bebas 100 meter di percubaan Olimpik Perancis pada 18 Jun.
Namun, semasa meraikan kelayakannya, beliau mengalami kecederaan di bahunya.
Fente-Damers, yang berjaya mendapatkan tempat dalam pasukan 4x100 meter berganti Perancis selepas memperolehi tempat kedua di belakang Maxime Grousset di Chartres (sebuah bandar di Perancis), juga mencatatkan masa terbaik beliau, 48.14 saat, melepasi masa kelayakan Olimpik, 48.34 saat.
Sejurus selepas perlumbaan, perenang berusia 17 tahun itu dengan ghairah menepis air kolam renang sebelum memegang bahu kirinya dalam kesakitan.
Beliau kemudian digambarkan di podium dengan tangannya beranduh, dengan pihak media Perancis melaporkan bahawa bahunya terkehel dan beliau dibawa ke hospital.
“Saya harap ia berjalan lancar kerana kami sedang menantikannya untuk acara berganti ini,” kata Grousset, yang mendapatkan perhatian kakitangan perubatan selepas perlumbaan itu dan membantu Fente-Damers keluar dari kolam.
“Beliau terlalu terbawa-bawa, namun itu sebabnya beliau bagus. Beliau tidak takut apa-apa dan saya rasa beliau akan maju,” tambah Grousset.
Pertandingan renang di Olimpik Paris akan berlangsung dari 27 Julai hingga 4 Ogos di arena Paris La Defense. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg