Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Konfederasi Sepak Takraw S’pura yakin dapat pengiktirafan Istaf

Dec 20, 2023 | 5:22 PM
HILANG PENGIKTIRAFAN: Keahlian Persekutuan Sepak Takraw Singapura telah dilucutkan oleh Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa pada November berikutan satu mesyuarat jawatankuasa eksekutif di Kuala Lumpur. 
HILANG PENGIKTIRAFAN: Keahlian Persekutuan Sepak Takraw Singapura telah dilucutkan oleh Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa pada November berikutan satu mesyuarat jawatankuasa eksekutif di Kuala Lumpur.  - Foto fail

Presiden sementara Konfederasi Sepak Takraw Singapura (KSS), Mohamed Salim Ebrahim Marican yakin bahawa badannya, yang berhasrat menjadi Persatuan Sukan Nasional (NSA) baru untuk sepak takraw di Singapura, boleh mendapat pengiktirafan daripada Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf).

Di bawah perlembagaan Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC), sebuah badan perlu diiktiraf oleh persekutuan antarabangsa, seperti Istaf, untuk menjadi NSA.

Keahlian SNOC kemudian boleh memudahkan NSA mencalonkan atlet untuk bersaing dalam temasya sukan utama.

Mohamed Salim, bekas naib presiden Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses), berkata pengalaman luas anggota dalam jawatankuasa KSS, yang juga dikenali sebagai Perses II, dapat membantu konfederasi itu mendapat pengiktirafan Istaf.

Meskipun enggan mendedahkan identiti anggota dalam KSS, beliau memberitahu Berita Harian (BH) bahawa mereka terdiri daripada pegawai yang telah lama berkecimpung dalam sepak takraw, pernah duduk dalam badan sepak takraw dan Persatuan Rakyat serta ahli korporat.

Menurut satu kiriman e-mel KSS kepada BH pada 30 November, ia mendedahkan Shamsuri Hasberi sebagai setiausaha agung sementara badan itu.

“Dengan pegawai yang kami ada, saya yakin bahawa Istaf dan Astaf (Persekutuan Sepak Takraw Asia) dapat menerima kami,” kata Salim.

Pada 20 November, satu gabungan melibatkan 10 persatuan sepak takraw, bersama Rangkaian Sukan Masyarakat (CSN), telah mengemukakan permohonan kepada Pendaftar Persatuan (ROS) untuk pembentukan KSS.

Ini menyusuli perlucutan keahlian Perses daripada Istaf, yang diumumkan persekutuan antarabangsa itu pada 28 November berikutan satu mesyuarat jawatankuasa eksekutif di Kuala Lumpur. 

Ia menyatakan “salah laku serius dalam kepimpinan Perses” sebagai sebab atas tindakan tersebut.

Keputusan itu bermakna atlet Singapura akan dilarang daripada bertanding di kejohanan dunia dan Asia, temasya sukan utama dan pertandingan yang disokong oleh Istaf dan Astaf.

Pada November 2022, Astaf menggantung presiden Perses, Mohd Nasri Haron, dan setiausaha agungnya, Zahid Abdul Aziz, daripada sukan itu masing-masing selama 10 tahun dan lima tahun atas tuduhan salah laku.

Mohd Nasri didakwa telah membuat kenyataan bertulis yang dianggap tidak sopan, menghina dan tidak sesuai. Beliau turut dikatakan cuba mengganggu dan atau menjejas kestabilan pentadbiran Astaf.

Zahid pula didakwa antara lain telah “secara sengaja atau dengan niat jahat, membuang atau mengeluarkan secara tidak wajar dan atau menyebabkan kerugian harta Astaf bernilai AS$9,700 ($13,176)... tanpa pengetahuan Astaf”.

Penggantungan itu termasuk mereka dilarang terlibat dalam sebarang pengurusan atau kegiatan Perses.

Namun, pada 14 Oktober, Mohd Nasri dan Zahid menyertai Mesyuarat Agung Tahunan Perses.

Malah, mereka dilantik semula sebagai presiden dan setiausaha agung Perses buat empat tahun lagi.

Perlucutan keahlian Istaf itu turut mengakibatkan SNOC memutuskan Perses tidak lagi layak menjadi kerabatnya.

Difahamkan tempoh mendapat kelulusan bagi permohonan ROS akan mengambil masa sebulan dua.

Bagaimanapun, hasrat KSS menjadi NSA untuk sepak takraw di Singapura telah diketahui Istaf dan SNOC.

Mohamed Salim mengesahkan bahawa KSS telah berhubung dengan pemangku presiden Istaf, Boonchai Lorhpipat dan berkongsi tujuannya menjadi NSA bagi sepak takraw negara.

Sementara itu, seorang jurucakap SNOC berkata bahawa KSS telah memaklumkan kepadanya mengenai hasrat konfederasi itu untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai NSA bertanggungjawab untuk sukan tersebut di tanah air.

“Kami akan menunggu kemas kini lanjut mengenai status mereka dan permohonan mereka untuk bergabung dengan SNOC,” kata beliau.

Dalam pada itu, untuk menjadi NSA, sebuah badan pula dikehendaki menjadi badan amal berdaftar, memenuhi keperluan pertubuhan lain dan menunjukkan ambang tadbir urus untuk melayakkan diri bagi mendapatkan dana awam yang menjurus ke arah mencapai matlamat yang sejajar dengan matlamat sukan Singapura. 

Ia juga mesti mematuhi peraturan Agensi Antidadah Dunia.

BH juga telah menghubungi Perses untuk mendapatkan komen.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg