Kontinjen S’pura pantau keadaan konflik semakin memuncak
Kontinjen S’pura pantau keadaan konflik semakin memuncak
Acara naikkan bendera bagi Sukan SEA 2025 diadakan di Bangkok
Kontinjen Singapura di Sukan SEA di Thailand sedang bekerjasama dengan Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Thailand serta Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura untuk memantau keadaan konflik di sempadan Thailand-Kemboja.
Ini untuk memastikan keselamatan maksimum kontinjen, kata chef-de-mission atau pemimpin kontinjen pasukan negara, Lawrence Leow.
Leow menggesa rakyat Singapura yang melakukan perjalanan ke Thailand bagi menyaksikan Sukan SEA supaya mendaftar pelan perjalanan mereka dengan MFA.
Beliau berkata demikian sebagai jawapan kepada pertanyaan Berita Harian (BH) mengenai reaksi kontinjen negara selepas Thailand melancarkan serangan udara di sepanjang sempadannya dengan Kemboja pada 8 Disember.
Ini menyusuli pertempuran yang tercetus di sempadan yang dipertikaikan itu, sekali gus mengancam perjanjian damai yang telah disaksikan Amerika Syarikat pada Oktober.
Sekurang-kurangnya seorang askar Thailand terbunuh dan lapan lagi cedera dalam pertempuran terkini yang semakin memuncak pada 8 Disember, ujar tentera Thailand.
Sementara itu pada 8 Disember, Singapura mengadakan acara menaikkan bendera bagi Sukan SEA 2025 di luar Stadium Tertutup Hua Mark, Bangkok, Thailand.
Bercakap kepada media, Leow berkata kontinjen negara berada dalam keadaan baik di Thailand dengan atlet serta pegawai daripada 20 acara sukan telah tiba, sehari sebelum acara pembukaan pada 9 Disember.

